Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Sabtu, 31 Oktober 2009

KELAB UMNO LUAR NEGARA (KULN) :

AHLI KULN SEMAKIN BERTAMBAH :

SYABAS & TAHNIAH kepada semua Kelab UMNO Luar Negara seluruh dunia kerana berusaha menambah keahlian kelab masing-masing dari semasa ke semasa. Sehingga kini keseluruhan ahlinya telah mencecah hampir 20,000 orang.


Berikut adalah antara Kelab UMNO yang mempunyai bilangan keahlian tertinggi :-
KULN Bandung - 542 ahli

KULN Ukraine - 308 ahli
KULN Moscow - 293 ahli


Pemandangan pintu masuk Pejabat Pentadbiran Kelab UMNO di aras 5, Ibu Pejabat UMNO, PWTC, Kuala Lumpur.


Pemandangan dalam Pejabat Pentadbiran Kelab UMNO di aras 5, Ibu Pejabat UMNO,
PWTC, Kuala Lumpur.

Sejarah Penubuhan Kelab UMNO Luar Negara berdasarkan simpanan badan sejarah Arkib UMNO, Kelab UMNO Luar Negara pertama kali dikesan penubuhannya ialah pada 1956 di New York, Amerika Syarikat.
Tujuan penubuhan Kelab ini adalah bertumpu menyatukan masyarakat Melayu dan para pelajar yang bermastautin di sana. Bagaimanapun sejarah penubuhan Kelab UMNO yang terawal didokumentasikan dengan terperinci dikenalpasti mula bergerak aktif secara sistematik di United Kingdom pada 1968.
Pada 1970 pula, beberapa Kelab UMNO mula ditubuhkan dengan tujuannya menyatukan masyarakat Melayu serta pelajar yang ramai melanjutkan pelajaran atau bertugas di sana ketika itu. Dari sini, Kelab-Kelab UMNO Luar Negara mula bertambah pula ke negara-negara lain dengan matlamat dan tujuan sebagai pusat tumpuan pelajar serta masyarakat Melayu.
Berikutan bilangan pelajar dan masyarakat Melayu yang terus meningkat melanjutkan pelajaran atau bertugas di luar negara; UMNO telah memberikan tanggungjawab seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk memantaunya di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Khas Pelajar Luar Negara.
Pada mulanya Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Selepas itu, pula disandang oleh Datuk Mohd Shafie Haji Apdal. Daripada 32 Kelab sehingga Februari 2003, Kelab UMNO kini mencapai jumlah 42 kelab yang meliputi 14 negara di seluruh dunia serta lebih 4,000 ahli. Malahan banyak lagi Kelab UMNO telah membuat permohonan penubuhan khususnya di Eropah seperti di Jerman, Perancis, Switzerland dan di mana sahaja adanya ramai pelajar Melayu sejak kebelakangan ini. Ia jelas satu perkembangan mantap keyakinan umat Melayu terhadap UMNO bukan sahaja dalam negara tetapi juga mereka yang berada di luar negera.
Kelab UMNO Luar Negara terus melangkah ke hadapan dengan kini mampu membuka Sekretariatnya sendiri untuk menguruskan kegiatan Kelab-Kelab UMNO di seluruh dunia yang berpejabat di Suite 3.2, Aras 5 Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Ia juga kini telah di bentuk mengikut zon-zonnya tersendiri untuk membolehkan pengawasan dan penyaluran maklumat yang berkesan serta bersepadu.

Senarai KULN 2009 :

BPN United Kingdom
Kelab UMNO London
Kelab UMNO Nottingham
Kelab UMNO Southampton
Kelab UMNO Glasgow
Kelab UMNO Hull
Kelab UMNO Oxford
Kelab UMNO Wellington
Kelab UMNO Christchurch
Kelab UMNO Auckland
Kelab UMNO Otago
Kelab UMNO Melbourne
Kelab UMNO New South Wales
Kelab UMNO New York - New Jersey
Kelab UMNO NY-Connecticut
Kelab UMNO Kursk
Kelab UMNO Moscow
Kelab UMNO Volgograd
Kelab UMNO Nizhny Novgorod
Kelab UMNO Kanada
Kelab UMNO Dublin
Kelab UMNO Jakarta
Kelab UMNO Bandung
Kelab UMNO Makassar
Kelab UMNO Pekanbaru
Kelab UMNO Yogyakarta
Kelab UMNO Iskandariah
Kelab UMNO Kaherah
Kelab UMNO Jordan
Kelab UMNO Jerman
Kelab UMNO Jepun
Kelab UMNO France
Kelab UMNO Ukraine
Kelab UMNO Pakistan
Kelab UMNO Korea

Dipetik dari : http://www.kelab-umno.com/index.php?option=com_content&view=article&id=51&Itemid=3

Antara Perhatian & Cadangan :
1. Kebajikan Ahli Kelab mestilah dibela dan diperkasakan oleh UMNO Pusat.
2. UMNO Pusat sewajarnya memperuntukkan bantuan pelajaran kepada ahli yang mempunyai masalah kewangan untuk membiayai kos sara hidup dan pembayaran yuran pengajian di luar negara.
3. Kerajaan/UMNO sewajarnya memberikan ruang yang seluas-luasnya atau keutamaan kepada Ahli KULN yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka untuk mengisi kekosongan jawatan di semua Kementerian. Ini kerana sepanjang pemerhatian saya, pelajar-pelajar yang pro pembangkang ketika berada di luar negara dan masih menjadi pembangkang setelah kembali ke tanah air mudah mendapat ruang dalam semua kementerian, khususnya Kementerian Pelajaran. Mereka inilah yang telah menikam kerajaan dari belakang dan mereka telah di didik untuk menyuntik perasaan bencikan UMNO dan BN. Mereka jugalah yang telah menyuntik rakan sekerja untuk membenci kerajaan.
4. Ketika proses temuduga, kadangkala penemuduga adalah pembangkang tegar (walaupun dari segi luaran nampak pro kerajaan) yang menyebabkan ahli kelab terpinggir contohnya apa yang telah terjadi dalam temuduga KPLI. Kerajaan/UMNO mestilah memastikan dan menyediakan sijil akuan kepada ahli kelab yang boleh digunakan ketika proses temuduga. Maka, kebajikan ahli akan terbela ketika temuduga.
5. Alumni Kelab UMNO Luar Negara mesti lebih aktif berbanding sekarang. Alumni KULN mesti mengumpulkan semua bekas2 ahli khususnya bekas pengerusi kelab. Dengan adanya maklumat data yg lebih lengkap dan sentiasa dikemaskini, saya yakin ianya boleh membantu kerajaan untuk memastikan tiada lagi kes tikam dari belakang. Bekas ahli KULN lah yang paling wajar menjadi mata-mata kepada UMNO.
6. Begitu juga bekas-bekas/mantan-mantan Pengerusi KULN hendaklah di jemput ke Perhimpunan Agung UMNO dengan tujuan untuk memurnikan semula hubungan yg sedia terjalin dgn lebih erat dan lebih mantap. Perhimpunan Agung UMNO juga boleh dijadikan sebagai MAjlis Keluarga UMNO dan Majlis Keluarga Alumni KULN.
7. Kebanyakkan Ahli Majlis Tertinggi KULN yang telah kembali pulang ke tanah air tidak mendapat tempat dalam Parti UMNO, sama ada di peringkat cawangan dan sebagainya. Saya pun kurang pasti apa yang kurang pada kami.
8. Begitu juga, kebanyakkan bekas ahli KULN bergerak membantu UMNO secara berseorangan dan penyamaran apabila berada dalam setiap kementerian kerana terikat dengan etika pegawai kerajaan. Khususnya dalam kelas profesional kerana menjadi kesalahan berat jika terlibat dengan sebarang parti politik, walaupun parti Kerajaan/UMNO/BN yang memerintah.
9. Antara maklumat terkumpul yang saya perolehi, kebanyakkan majikan dalam setiap kementerian kini, lebih ramai yang pro pembangkang. Khususnya di Kementerian Pelajaran.
Akhir kata, kesemuanya yang saya nyatakan di atas adalah hasil pengamatan saya mengenai nasib kami, bekas-bekas ahli KULN. Oleh itu, UMNO mesti melakukan sesuatu yang lebih drastik.
Walau bagaimanapun, saya mewakili semua bekas ahli KULN akan berjuang dengan penuh keikhlasan demi agama, bangsa dan negara.

Wallahu a'lam.

KPP & PR - PAS BERUBAH ?

Ada dua isu politik menarik yang perlu diberi perhatian hari ini :
Pertama :
Usaha terkini PAS menaik tarafkan Kelab Penyokong PAS ( KPP ) yang menghimpunkan masyarakat bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS yang ditubuhkan sekitar lima tahun lalu menjadi sebuah sayap parti secara rasmi. Perkembangan terbaru kini seakan mengesahkan bahawa PAS telah betul – betul bersedia menerima perubahan besar dalam struktur dan binaan partinya. Mungkin kerana ianya tampak akan memberikan impak yang agak besar, maka ia telah mengambil masa yang agak lama untuk diputuskan.

Kedua :
Usaha menjadikan Pakatan Rakyat ( PR ) sebagai sebuah pakatan politik berdaftar sebagaimana BN. Cadangan ini menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk daripada kalangan golongan ulamak dalam PAS yang sering dilihat lambat atau lebih tepat, terlalu berhati – hati. Walaupun cadangan ini masih baru berbanding cadangan menjadikan KPP sebagai sayap rasmi PAS, kesan positifnya pasti akan menjadi pemangkin kepada usaha – usaha seterusnya untuk menjadikannya sebuah kenyataan.

Beberapa kesan yang akan melonjakkan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berjaya insya'Allah, hari ini dan akan datang.

1) Membuka lembaran lebih luas untuk PAS melumati fiqh kedudukan non muslim di dalam sebuah masyarakat Islam yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai murni dan sejati Islam. Anda sedang melihat bagaimana langkah pertama, iaitu menjadikan KPP sebagai sebahagian binaan PAS telah agak memakan masa. Ia berpunca daripada perbincangan hukum yang diteroka secara lebih mendalam berbanding sebelumnya. Mungkin langkah – langkah seterusnya akan berjalan lebih laju dan meyakinkan. Ini memaksa para bijak pandai dan sarjana Islam untuk bertungkus lumus memecahkan isu – isu tertunda yang mesti disegerakan jawabannya. Ini baik untuk kemajuan Islam dalam negara.

2) Memecahkan tembok yang memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. BN membina tembok ini atas dua perkara. Pertama, mengelakkan PAS daripada mendapat tempat di kalangan masyarakat non muslim, seterusnya meminggirkan PAS daripada arus perdana. Kedua, tradisi politik perkauman dalam BN dan negara telah menjadikan PAS yang memperjuangkan Islam dan tanpa identiti kaum gagal mendapat tempat di hati non muslim. Dengan wujudnya sayap non muslim di dalam tubuh PAS tidak lama lagi, tembok pemisah yang telah mula runtuh secara perlahan melalui ‘engagement’ dengan non muslim semenjak dulu lagi akan segera ranap dan mencetuskan fenomena politik baru yang semakin menarik dan menguntungkan rakyat Malaysia.

3) Meruntuhkan ideologi kebangsaan dan perkauman yang menerasi kemerdekaan dan demokrasi negara secara lebih berkesan. BN dengan kekuatannya sebagai penguasa negara telah berjaya menanam ideologi salah ini sehingga menjadi darah daging yang sukar dibuang daripada jiwa rakyat dan negara. Usaha PAS memahamkan rakyat, samada Islam atau bukan Islam bahawa ideologi tersebut akan merosakkan negara tampak begitu sukar, bahkan PAS pula dituduh punca perpecahan.

Dengan wujudnya sayap rasmi non muslim dalam parti PAS, ia sudah pasti akan menjadi senjata utuh untuk menolak sistem politik warisan penjajah barat tersebut, lalu sistem yang lebih adil akan mula dibentuk. Penerimaan kaum non muslim terhadap Islam dan sistemnya adalah jawaban dan jaminan benarnya seruan rakyat ke arah sistem hidup yang lebih adil dan saksama dilaksanakan di dalam negara kita yang berwajah majmuk. Runtuhnya ideologi kebangsaan bermaksud runtuhnya UMNO dan sekutunya.

4) Gerakan dakwah Islamiyah menjadi lebih terbuka dan berkesan. Salah satu faktor utama yang melambatkan suara dakwah Islam adalah wujudnya sekatan yang menghalang manusia mendengar dan memahami Islam daripada sumbernya yang sebenar dan asli. Justeru agama menyifatkan sekatan itu sebagai sebahagian daripada ‘fitnah’ yang lebih besar dan dahsyat daripada membunuh. Manusia tanpa iman adalah mati. Sayap non muslim dalam PAS bukan bererti non muslim dimestikan masuk usrah dan mendengar sebagaimana ahli PAS mendengar Islam, tetapi ia bererti tiada lagi halangan untuk mereka mendengar, memahami, bahkan menerima Islam sebagai cara hidup di dunia ini. Maka wujudlah suasana yang segar di dalam penyebaran Islam di dalam negara. Tiada paksaan daripada PAS dan tiada sekatan daripada BN.

5) PAS bukan lagi dianggap milik orang Melayu. PAS adalah milik semua kaum yang menerima Islam sebagai cara hidup, samada mereka menganutinya sebagai ugama atau tidak. Persepsi bahawa PAS adalah milik Melayu begitu sukar dihilangkan walaupun PAS telah lama menerima keahlian daripada semua kaum atas sifatnya sebagai parti agama, bukan kaum. Tetapi oleh kerana PAS masih tidak membuka keahliaannya kepada bukan Islam, maka persepsi PAS adalah Melayu terus kekal sehingga begitu sukar untuk dinafikan walaupun setelah terbentuknya Kelab Penyokong PAS ( KPP ) yang telah menerima semua keahlian tanpa mengira kaum, agama dan warna. Dengan terbentuknya sayap bukan Islam dalam PAS, ia dengan sendirinya mengubah persepsi masyarakat negara yang berbilang kaum terhadap PAS. PAS akan lebih mudah didekati dan difahami.

6) Membuktikan keadilan, keterbukaan dan kesejagatan Islam. Ia adalah tiga ’aset’ penting bagi sesebuah parti politik untuk bertapak di dalam dunia demokrasi liberal hari ini. Dengan persembahan dan penayangan Islam yang lemah dalam kehidupan, PAS sentiasa berdepan dengan cabaran membuktikan keadilan, keterbukaan dan kesejagatannya untuk memimpin negara. Selagi pembuktian praktikal kekal lemah, selama itulah PAS berada di dalam igauan cabaran tersebut. Pembentukan Pakatan Rakyat yang berdaftar dan penerimaan sayap bukan Islam untuk menjadi sebahagian binaan parti PAS pasti menjadi bukti yang kukuh dan cukup signifikan terhadap keterbukaan dan kesejagatan PAS yang akan menarik sokongan seluruh lapisan rakyat kepada PAS.

7) PAS diterima sebagai parti perpaduan. Isu utama negara kita adalah perpaduan kaum. Perpaduan rakyat yang majmuk adalah faktor besar kesejahteraan ekonomi negara. Justeru parti – parti politik negara terdesak sekali untuk membuktikan diri masing – masing sebagai peneraju perpaduan negara. Walaupun PAS telah banyak membuktikan dalam sejarah dan politik semasa bahawa mereka adalah sebuah parti yang menyeru kepada perpaduan kaum, kelahiran sayap bukan Islam sebagai organ penting parti dan gabungan parti PAS dalam Pakatan politik berdaftar pastinya mempunyai impak yang terlalu besar ke arah penerimaan seluruh rakyat terhadap wibawa dan kesungguhan PAS memperteguhkan perpduan kaum. PAS akan dilihat paling mampu memberi jaminan keselamatan dan perpaduan.
Memudahkan usaha menyelesaikan pergeseran di dalam Pakatan Rakyat. Ia adalah keuntungan semasa yang terlalu dibutuhkan. Sesuatu pergeseran dalam apa jua bentuk memerlukan medium perdamaian yang berwibawa yang boleh mencetuskan sikap saling mempercayai dan toleransi di antara kumpulan yag bertelagah. Samada pembentukan Pakatan Rakyat yang berdaftar atau pun sayap rasmi bukan Islam dalam PAS, kedua – duanya pasti menjadi pemudah cara yang akan membantu merapatkan jurang di antara parti – parti pakatan pembangkang ke arah merealisasikan kemenangan yang diimpikan.

9) Melenyapkan ketakutan terhadap tuduhan kaitan PAS dengan kumpulan pengganas. PAS pernah dicop sebagai agen dan dikaitkan dengan rangkaian keganasan antarabangsa. Walaupun ianya terbukti salah dan bersifat tuduhan liar, tetapi sifat PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai rangkaian antarabangsa yang sesetengahnya dikaitkan dengan keganasan seperti HAMAS menjadikan PAS terus berdepan kemungkinan dicop sekali lagi sebagai pengganas. Wujudnya keahlian dan sayap bukan Islam dalam PAS akan menjadi benteng utama menolak dakwaan yang tidak berasas itu. Apatah jika PAS mempunyai wakil bukan Islamnya di parlimen nanti.

10) Idea dan sumbangan PAS kepada negara menjadi lebih gagah. Tidak dapat dinafikan betapa besarnya peranan bukan Islam di dalam memajukan negara terutama di dalam bidang ekonomi, politik, pembangunan dan lain – lain. Walaupun sering dinafikan peranannya, parti politik pembangkang sering menyumbang idea dan pendapat yang akhirnya diterima pakai oleh pemerintah dan negara. Wujudnya sumbangan, buah fikiran dan kepakaran yang baru dan bernas daripada orang – orang Cina, India dan lain – lain bangsa di dalam PAS pasti akan menaikkan imej PAS di mata rakyat sebagai parti yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran daripada semua sudut.

11) Jaringan antara bangsa PAS menjadi lebih luas. Jika sebelum ini PAS hanya dikenali dan diraikan oleh gerakan dan parti Islam di peringkat antara bangsa dan oleh negara – negara Islam sahaja, maka kewujudan sayap bukan Islam di dalam PAS pastinya akan melebar luaskan jaringan antarabangsanya kepada parti – parti dan negara – negara bukan Islam juga. Ini akan membuka laluan lebih besar kepada PAS untuk memainkan peranan politik yang penting di peringkat antara bangsa.

12) PAS layak menerajui negara. Inilah impian semua parti politik. Yang paling bagus dan meyakinkan, itulah yang paling layak menerajui negara.
Cabaran politik baru yang diharungi dengan berani oleh PAS hari ini sudah pasti akan memberikan kesan positif ke arah PAS yang lebih ideal dan diterima. Walau bagaimana pun, kesan – kesan positif di atas hanyalah akan diperolehi jika persekitarannya juga adalah positif. Justeru PAS mestilah juga memugar dan memelihara persekitarannya yang baik dan kondusif. Jika sebaliknya, paling tidak, kita gagal memetik buah yang diimpikan. Saya akan menukilkan beberapa cabaran yang perlu dilepasi di dalam tulisan akan datang, insya Allah.
*****************
Persoalan :
1. Bersediakah kita (UMNO/BN) menghadapi kenyataan ini jika benar-benar terjadi ?
2. Sejauh manakah kejayaan UMNO/BN menanganinya ?

LEMBAGA DISIPLIN PAS BERSIDANG ESOK :

Harakahdaily Fri Oct 30, 09 3:36:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt: Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya mulai esok jam 10.30 pagi selepas mendapat Arahan Segera menyelesaikan Beberapa Isu Dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya. "Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS. "Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor. Arahan ini dibuat oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam. Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti. Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini. Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau. "Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.
Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.
*******************************
Cadangan Penulis Agar PAS Bincang Sekali Berkenaan :
1. Hukum Bergabung Dengan Musuh Islam Untuk Menjatuhkan Kerajaan Islam Malaysia.
2. Hukum PAS Membenarkan Musyrikin Malaysia Mempermain-mainkan Ayat Suci Al-Qur'an Dalam Kempen Politik.
3. Hukum Pemimpin PAS Yang Sudah Mensyirikkan Allah Dalam Upacara Keagamaan Mereka.
4. PAS Mesti Keluar Dari Pakatan Rakyat Yang Telah Menyesatkan Hala Tuju PAS Dari Landasan Perjuangan Yang Benar.
5. Perjuangan PAS Kini Terlalu Jauh Perbezaannya Ketika Era Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
6. Adakah PAS Rela DAP Atau PKR Yang Memerintah Dan Bukannya PAS Yang Memerintah Negeri/Negara ?
7. Kembalikan Semula Sifat Persaudaraan Sesama Islam Dengan UMNO Berbanding Tidur Sebantal Dengan Musuh Islam Yang Terang-Terang Anti Islam.
8. PAS Mesti Keluar Dari Pakatan Rakyat Agar Perjuangan PAS Menjadi Tulin.
9. Buat Kajian Kebaikkan Dan Keburukkan Bergabung Dalam Pakatan Rakyat Berbanding Bergabung Dengan UMNO.
Wallahu A'lam..

Rabu, 28 Oktober 2009

MARILAH MEMPERBAIKI IMEJ UMNO...(sambungan)

sambungan...

TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT :

Berdasarkan dalil Al-Quran dan Al-Hadith yang saya nyatakan sebelum ini, ianya amat jelas menerangkan kepada kita berkenaan isu aurat. Isu aurat kaum wanita bukanlah suatu isu yang baru dan remeh-temeh. Ini kerana ianya amat jelas termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ianya juga merupakan salah satu dosa yang berat, yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Oleh kerana itulah dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, berlakunya kes perceraian suami isteri akibat curang, membunuh atau membuang anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan sebagainya. Kita sudah sedia maklum, bahawa Syaitan telah berjanji kepada Allah s.w.t. untuk menyesatkan manusia hingga ke hari kiamat. Inilah dendam kasumat Iblis/Syaitan terhadap Nabi Adam a.s. hingga ke anak cucunya. Perihal Syaitan yang mensasarkan dosa 'membuka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya telah dijelaskan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud :-

" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .."
(Surah Al-A'raf : Ayat 20)

Oleh itu, sebagai kesimpulan mengenai tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita diwajibkan menutup aurat adalah seperti berikut :-

a) MEMBEZAKAN MANUSIA DENGAN BINATANG :

Allah SWT berfirman :

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan"
( Surah Al-A'raf : Ayat 26)

Dalam ayat di atas, amat jelas sekali bahawa Allah s.w.t. menerangkan kepada kita sebagai umat manusia agar sentiasa menutup aurat. Ayat tersebut ditujukan kepada sesiapa sahaja iaitu kepada sekalian anak Adam (manusia) tanpa mengira lelaki atau perempuan, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Justeru barangsiapa yang berpaling dari perintah ini, secara lojiknya dari akal fikiran yang waras, ia boleh menyebabkan seseorang itu jatuh martabatnya sebagai manusia yang berakal dan boleh disama-tarafkan seperti binatang yang tidak berakal.

b) DAPAT MENGURANG ATAU MENGHINDARKAN KES CABUL DAN ROGOL :

Dalam penjelasan saya di atas, kes ini dapat dibendung apabila umat manusia mematuhi perintah Allah s.w.t. dengan sepenuh keimanan mereka. Ianya jelas berdasarkan hujah yang saya jelaskan sebelum ini dan berpandukan kepada nas Al-Qur'an sebagaimana firman Allah s.w.t. dari surah Al-Ahzab : ayat 59 :

" Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu,
anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua
hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab (tudung) mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka
agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu".
(Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

c) MENUTUP AURAT ADALAH SIMBOL SYIAR ISLAM :

Ia juga boleh difahami dari surah Ahzab ayat 59 di atas, apabila Allah s.w.t. menyebut : ("... yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam... "). Ianya jelas menunjukkan kepada kita iaitu salah satu fungsi tutupan aurat juga merupakan simbol syiar Islam kepada setiap individu penganut Islam. Firman Allah : (" Barangsiapa yang membesarkan syi'ar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati ").

d) KETAATAN PADA PERINTAH ALLAH MERUPAKAN SATU UJIAN :

Saya yakin hal ini amat jelas, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

" Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji
siapakah yang terlebih baik amalannya ".
(Surah Al-Mulk : Ayat 2)

e) UNTUK MEMBEZAKAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN :

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa setiap pakaian, mestilah menepati cita rasa kita sebagai pengguna. Malah yang pasti, ketika kita memilih pakaian tersebut mestilah bersesuaian dengan jantina kita. Sebab itulah Islam hanya mewajibkan wanita memakai tudung dan haram bagi lelaki memakainya. Jika lelaki yang memakai tudung, pasti kita akan gelak ketawa serta menganggap lelaki tersebut sebagai gila atau pondan. Oleh itu, bagaimana pula jika kaum wanita yang tidak bertudung ? Tidakkah, mereka telah menyerupai kaum lelaki kerana tidak bertudung ? Dalam Kitab Sahih Al-Bukhari ada menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda ;

" Allah s.w.t. melaknat lelaki yang cuba menyerupai wanita
dan wanita yang cuba menyerupai lelaki ".
(Riwayat Al-Bukhari)

f) MEMPERKASAKAN IMEJ PAKAIAN SYI'AR ISLAM :

Kebanyakkan 'trend' masyarakat hari ini, sama ada dalam sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini, pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Sudah pasti ianya bertujuan untuk menjaga standard khas bagi organisasi dan restoran tersebut ditahap terhebat. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya ataupun dikalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Kesemuanya ini adalah untuk menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.

Justeru, Islam adalah satu agama yang amat sempurna di dunia ini dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan yang melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walau bagaimanapun, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional. Justeru itu, sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.

Ungkapan "don't judge a book by it's cover" ini sering kita dengari. Saya yakin, anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya lebih baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat. Malah, ada di antara andaian mereka bahawa "wanita yang bertudung pun ramai yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi". Mereka juga mengaku baik, tidak mengganggu orang lain, tidak mengumpat dan buat benda-benda tidak elok. Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya, lantas berhujah dengan hadith Nabi s.a.w. yang soheh iaitu :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu,
tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu".
(Riwayat Muslim)

Hujah seperti ini amat dikesali apabila mereka berhujah dengan sewenang-wenangnya menggunakan hadis ini untuk menyokong imej pakaian dan nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu". Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang". Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging,
yang bila ianya baik maka baik seseorang itu,
dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu,
ketahuilah, ia adalah hati".
(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat melalui tindak tanduknya. Maksudnya di sini ialah apabila tindakan seseorang sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai. Manakala baik di peringkat kedua ialah samada hatinya bertujuan kerana Allah atau selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja. Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض "
فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه ,
"فإنما أقطع له قطعة من النار
Maksudnya :
"Sesungguhnya aku hanya manusia,
dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku,
dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya,
maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang ku dengari sahaja.
Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman
dan hukuman itu mengambil hak yang lain
(akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah),
maka janganlah kamu mengambilnya,
sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka".
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ;
Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadis ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan maklumat pendakwaraya dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah s.w.t. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam. Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat dalam satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :

من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها "
" من غير أن ينقص شيئاً
Maksudnya :
" Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk,
maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya
tanpa sedikit kurang pun dosanya.. "
( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih)

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? Setelah dosa yang menggunung telah mengaratkan hatinya ?

Sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Adil dan Maha Pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah s.w.t. dengan mentaati-Nya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinlah.. bahawa janji Allah s.w.t. itu pasti benar, Rasul-Nya juga pasti benar, Syurga dan Neraka juga pasti benar. Jika mempercayai-Nya (beriman dengan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya), maka mengapa tindakan kita masih seolah-olah meraguinya ?

Semoga kita dikurniakan hidayah untuk kembali ke pangkal jalan yang betul.. Carilah keberkatan hidup dan keredhaan dari-Nya.. Pasti kita tergolong dikalangan orang yang bersyukur dan berjaya. Amin..
Sekian.

Selasa, 27 Oktober 2009

MARILAH MEMPERBAIKI IMEJ UMNO..

WAHAI PUTERI DAN WANITA
UMNO
(PARTI MELAYU ISLAM)
MARILAH KITA SAMA-SAMA BERUBAH,
MEMPERBAIKI IMEJ UMNO
UNTUK
AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.

BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT
MENGELAKKAN KES ROGOL ATAU CABUL ?

Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.

Hakikatnya, sebagai hamba Allah s.w.t. dan umat Rasulullah s.a.w. kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman :-

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka.
Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali
(sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu".
(Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik".

Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)

Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah s.w.t. adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

BANTAHAN YANG SERING DISUARAKAN OLEH KAUM HAWA :

"Eleh, tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?". Inilah hujah balas yang sering saya dengar bila isu ini ditimbulkan.

"Demikianlah juga nafsu jahat. Apabila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya. Sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam. Tidak dapat dinafikan juga, peranan vcd, laman porno di internet, akhbar, majalah dan novel lucah amat besar peranannya dalam kes cabul dan rogol ini" terang saya.

Persoalan yang sering timbul ialah, mengapa menutup aurat tidak dapat mencegah kes cabul dan rogol ?
Islam bukanlah agama yang membebankan atau menyusahkan penganutnya. Malah setiap perintah dan larangan Allah s.w.t. ada hikmah yang tersurat mahupun tersirat. Jika kita lihat dengan teliti, ayat 59 - surah al-Ahzab di atas sebenarnya ayat tersebut ditujukan kepada seluruh kaum wanita, sama ada Islam ataupun bukan Islam agar tidak berpakaian seksi. Kemaslahatan atau kepentingan menutup aurat adalah bertujuan untuk menjaga semua kaum wanita dari dicabuli atau dirogol oleh lelaki yang bernafsukan kebinatangan. Sebenarnya, ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa seluruh wanita bertanggungjawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing.

Maka, apabila ada yang seksi, ini bermakna ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang ketagihan, bagaikan penagih dadah yang gila ketagihan dadah.

Tapi itulah cabaran terbesar bagi kaum lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA. Wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya merupakan ujian terbesar sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah s.w.t. :

زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat
dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."

Ayat tersebut dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi s.a.w. juga pernah bersabda :

ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Maksudnya :
"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku
yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita"
(Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

BAHAYA JIKA HUKUM DIPERMAINKAN :

Dalam sebuah hadith ada menjelaskan : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!".
(Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)
- Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.

Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi s.a.w. bersabda :-

ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya,
maka kalimah itu boleh mencampakkannya
di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat"
( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988 )

Contohnya, apabila seseorang berkata (kebiasaan yang diperkatakan oleh seseorang lelaki) apabila terpandang wanita seksi :"tak pe ustaz kan.., pandangan pertama tak berdosakan? Pandangan pertama, rezeki namanya..". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka. Perkataan sedemikian sebenarnya termasuk dalam bab mempermain-mainkan agama.

KETIDAKSEMPURNAAN MENUTUP AURAT
DIKALANGAN KAUM HAWA HARI INI :

Masalah ini timbul disebabkan kejahilan dan keegoan wanita Islam hari ini berhubung penutupan aurat yang betul mengikut syari'at Islam. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?
Antara jawapannya adalah seperti berikut :-
KESILAPAN PERTAMA :
Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan
nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESILAPAN KEDUA :
Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESILAPAN KETIGA :
Bertudung tetapi baju kebarung, kainnya terbelah.
KESILAPAN KEEMPAT :
Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESILAPAN KELIMA :
Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul
dan hujung rambutnya (memakai selendang).
KESILAPAN KEENAM :
Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja.
Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESILAPAN KETUJUH :
Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher,
maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESILAPAN KELAPAN :
Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis
sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian kaum hawa menyangka bahawa tutup aurat itu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT, ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR."
(an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Manakala yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, iaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi, yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat tersebut ialah apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.

Dalam ayat di atas Allah s.w.t. memerintahkan kepada kaum perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin. Yang sependapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a. Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.

Menurut Syeikh Al-Qaradhawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.

Namun demikian, perlu diambil perhatian, seorang muslimah mesti bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri jika perlu, demi menjaga meluasnya kerosakkan, kemaksiatan dan banyaknya kefasikkan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikhuwatiri akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan
perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya."
(Surah An-Nur: Ayat 31)
Kesemua jenis berpakaian yang disebutkan tadi adalah diharamkan sebagaimana yang telah disepakati oleh para Ulama' Islam. Perintah menutup aurat ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang semestinya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: bahagian dada perempuan, paha, betis dan sebagainya.

Hadis yang menjelaskan kenyataan di atas ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu :(l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi
yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam);
(2) Perempuan-perempuan yang berpakaian
tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat
dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat,
rambutnya sebesar punuk unta.
Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga,
serta tidak dapat akan mencium bau syurga,
padahal bau syurga itu mudah dicium sejauh perjalanan demikian dan demikian".
(Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian, kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat. Oleh itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qardhawi)

‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.

Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah lagi, apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini.

ISLAM MELARANG UMATNYA BERPAKAIAN NIPIS :

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan :
"Hai Asma'!
Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya),
tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu,
melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya".
(Riwayat Abu Daud)

Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis di atas, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.

Dr Yusof Al-Qardhawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

KESILAPAN KESEMBILAN :
Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات

Maksudnya :
Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang
(di sebelah dalamnya)
(Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .

Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi s.a.w. memalingkan wajahnya. Maka para sahabat pun berkata : dia (wanita itu) memakai seluar. Maka Rasulullah s.a.w. memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.

KESILAPAN KESEPULUH :
Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Sama ada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya. Kita tidak tahu ke arah manakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga boleh membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan atau berunsur dakwah.

Larangan ini telah dijelaskan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit".
(Surah Al-Ahzab : Ayat 32)
Bersambung...

PERANAN UTAMA PENDAKWAH :



Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.

Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa (TAKUT) kepada-Nya.

Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahala, sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat.

Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah / dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal. Ia terbukti, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal.

Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' (Bekalan para pendakwah) ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah.
Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:
"Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan Umat Islam Hari Ini :

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.

Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud:
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),
serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain. Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga.
PERSOALAN..
Benarkah ulamak kini disebukkan dengan urusan berpolitik ???
Mengapakah umat Islam akhir zaman ini, telah tersempang jauh dari landasan Islam ???
Dimanakah kesilapannya ?
Apakah ianya tanggaungjawab ulamak/ustaz/ustazah ? atau Ibu bapa ? atau Para Guru ? atau Pemerintah ?
Mengapa semakin hari, masalah keruntuhan iman umat Islam semakin ketara dikalangan muda mudi yang bakal menyambung syiar Islam ini..?
Dimanakah peranan kita sebagai umat Nabi Muhammad yang merupakan umat dakwah ?
Marilah kita semua, wahai umat Islam.. meneruskan peranan "mengajak orang melakukan kebaikkan, dan mencegah kemungkaran".
Wallahu a'lam..

Khamis, 22 Oktober 2009

GEMPAR..Ikan Duyung Di Kudat, Sabah.

IKAN DUYUNG MENYERUPAI MANUSIA
MATI TERDAMPAR
DI PULAU BALAMBANGAN,
BETUL KE ???

02 Okt. 2009. Baru-baru ini di Kudat, Sabah telah digemparkan dengan klip video ikan duyung separuh manusia, separuh ikan yang mati terdampar di Pulau Balambangan. Sebuah pulau berdekatan Pulau Banggi, dalam daerah Kudat. Klip video ini disebarkan dengan cepat melalui khidmat pesanan ringkas. Kononnya bangkai ikan duyung ini ditemui oleh sekumpulan pelajar UMS di pulau Balambangan (itu khabar yang saya dengar dari mulut ke mulut).
Lihat klip video ini:
(Klip video ikan duyung yang dikatakan terdampar di pulau Balamabangan) :

Sebaik saja saya melihat klip video ini, saya terus membuat penyelidikan bagi menjawab teka-teki mengenai kesahihan klip video berkenaan. Sila berkunjung ke laman ini: http://www.disclose.tv/action/viewvideo/10441/Dead_Mermaid_Found_After_Hurricane_Ike/

Di laman web Disclose.tv, truth revealed, mereka mengatakan bahawa objek menyerupai ikan duyung ini sebenarnya rekaan seorang artis terkenal Juan Cabana. Laman web Disclose.tv juga turut menyiarkan klip video ini dengan objek ikan duyung yang sama, cuma penggambaran klip video dilakukan di tempat yang berbeza (walaupun hampir sama) Selain dari tempat penggambaran yang berbeza, klip video yang dihantar di Disclose.tv sudah agak lama iaitu pada tahun 2008.

Anda boleh bandingkan kedua-dua klip video ini selepas anda menontonya. Banyak lagi laman web yang mengaitkan Juan Cabana dengan makhluk-makhluk ganjil ciptaanya. Rajin-rajinlah cari informasi berkaitan ikan duyung berupa manusia ini di Google. Di sini ada beberapa ekor makhluk ganjil yang sempat saya download dari laman web ini:

http://blogs.myspace.com/index.cfm?fuseaction=blog.viewcustom&friendId=103746561&blogId=343686561&swapped=true

Ikan duyung aneh yang dikatakan pernah terdampar di Malaysia sekitar tahun 2006.

Bagaimanapun terpulanglah kepada anda untuk menilainya. Kita berhak untuk mengakui dan menolaknya. Dalam dunia maya ini, semua yang mustahil, tidak mustahil menjadi sesuatu yang tidak mustahil lagi. Namun segalanya mungkin.. kerana ianya tidak mustahil bagi Allah s.w.t. untuk mengwujudkan sesuatu mengikut kehendak dan iradah-Nya. Walau bagaimanapun, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah s.w.t. dan berusaha menjauhi larangan-Nya.

Semoga ceria-ceria selalu... Wallahu A'lam..

Ahad, 18 Oktober 2009

SEMANGAT PEMUDA UMNO :

BENARKAH KHAIRY
MUSUH RAKYAT NO 1 ???


PEMUDA UMNO TUBUH
"BILIK PERANG PEMUDA"
BAGI MENGHADAPI PILIHANRAYA


16 OKTOBER 2009. Pemuda Umno akan membentuk "BILIK PERANG PEMUDA" untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang; kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin. Tambahnya lagi, pergerakan itu akan menukar strateginya dalam menghadapi pembangkang dalam pilihanraya akan datang. Setelah mengalami beberapa pilihanraya kecil, pergerakan itu akan mengambil pendekatan ‘menyerang’ pembangkang. “Kita tidak biarkan lagi Umno dicerca, ditabur fitnah tanpa bukti. Lihat di Bagan Pinang, mereka (PAS) mengisytiharkan jihad, tetapi ahli Umno berada di barisan hadapan untuk menjaga maruah parti,” katanya ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung Umno di PWTC .
Pemuda Umno juga, katanya, akan mengadakan permukiman dengan ketua dan naib ketua Pemuda bahagian sebelum akhir tahun ini untuk membentuk semangat berpasukan dalam parti.“Dalam pilihanraya Manek Urai dan Bagan Pinang, kita menang di saluran muda (pengundi muda). Ini disebabkan gerak kerja yang mantap dan tersusun untuk menambah undi dari golongan pemuda,” katanya.“Kursus latihan itu untuk mencapai KPI (Kunci Indeks Pencapaian) yang ditentukan untuk menangkan selera anak muda,” katanya.

Khairy berkata, pergerakan itu akan berkerjasama dengan biro politik yang diketuai oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menggerakkan iltizam untuk mencapai misi menarik pengundi muda. Katanya, beliau juga akan menerapkan budaya ikhlas bagi memupuk prinsip kesatuan fikiran, kesatuan matlamat, kesatuan hati dan kesatuan amal sepertimana yang digariskan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy juga menyentuh mengenai cadangan Pemuda yang menitikberatkan golongan muda dengan mencadangkan kerajaan memberi insentif kepada golongan muda. Ia termasuk memberikan bantuan kewangan untuk membeli rumah, memberi peluang pekerjaan dan pinjman kewangan termasuk menubuhkan Bank Belia.