Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Memaparkan catatan dengan label Isu Umat Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Umat Islam. Papar semua catatan

Khamis, 5 November 2009

Satu Malaysia Satu Mufti :

SHAHIDAN CADANG HANYA SATU JAWATAN MUFTI DI MALAYSIA :
KANGAR: 05 Nov. 2009 - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mencadangkan hanya satu jawatan mufti diwujudkan di negara ini bagi mengelakkan pertikaian dan perselisihan pendapat sesama mereka. Katanya, pada masa ini, setiap negeri mempunyai mufti dan perbezaan pandangan di kalangan mufti-mufti akan menimbulkan keresahan rakyat kerana isu agama adalah sensitif. "Perkara ini perlu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan pada mesyuarat akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) berhubung kenyataan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain AlGhari mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Zamihan baru-baru ini mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Dr Mohd Asri membabitkan Bahasa Arab dan Sastera dan pendedahan itu disifatkan Shahidan sesuatu perkara yang mengaibkan. Shahidan juga berharap peraturan baru diwujudkan berhubung pelantikan mufti termasuk memastikan mereka mempunyai pendidikan bertaraf doktor falsafah (PhD) dan hafal Al-Quran selain mahir dalam hal ehwal syariah.
Sementara itu, Shahidan berkata, laporan kepada Jaips dibuat bagi membersihkan nama baik kerajaan negeri Perlis yang telah melantik Dr Mohd Asri sebagai Mufti Perlis sebelum ini. Pengarah Jaips, Malek Hussin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perlis (Maips) berkata, laporan Shahidan itu akan dikaji dan dipanjangkan ke peringkat Maips termasuk menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Maips. Mengiringi Shahidan membuat laporan itu ialah bekas Pengarah Jaips, Md Sadik Ismail.
Semalam, Shahidan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kenyataan Zamihan, selain memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu Dr Mohd Asri. - Bernama
Ulasan Selempang Merah :
Mufti bagi setiap negeri di Malaysia telah wujud sekian lama semenjak Kesultanan Melayu menerima dan menganut agama Islam. Mufti memainkan peranan penting dalam Kesultanan Melayu untuk memberi pandangan dan teguran kepada pemerintah. Ianya wujud sejak zaman Kerajaan Bani Umaiyyah lagi.
Dalam menjaga keharmonian dan perpaduan umat Islam, sememangnya amat wajar jika di negara kita hanya ada seorang mufti. Namun begitu, kita mesti menghormati hak istimewa Sultan-Sultan atau Raja-Raja Melayu dalam negara kita yang menjadi lambang kepada Ketua Agama bagi setiap negeri. Jika jawatan Mufti bagi setiap negeri telah dimansuhkan, ianya juga boleh mengundang masalah yang lain dan ianya perlu dikaji dengan lebih terperinci lagi.
Bagi pandangan saya, sepatutnya setiap kenyataan Mufti bagi setiap negeri perlulah mengadakan muzakarah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan kecelaruan penerimaan masyarakat yang kebanyakkannya jahil tentang hukum ahkam permasaalahan agama. Bagi saya, Jabatan Mufti perlu diwujudkan dalam negara kita bagi menyelaraskan pandangan-pandangan atau fatwa yang bakal dikeluarkan. Oleh itu, Mufti bagi setiap negeri akan merujuk kepada Ketua Mufti Malaysia. Manakala kenyataan fatwa hanya boleh diumumkan oleh Ketua Mufti. Adapun Majlis Fatwa yang ada sekarang kurang memainkan peranan yang penting. Adalah lebih munasabah jika Kerajaan melantik seorang yang benar-benar layak iaitu individu yang tidak menyebelahi mana-mana politik untuk menjawat sebagai Ketua Mufti Malaysia yang sebaris dengan jawatan Menteri Kabinet.
Walau bagaiamanapun, bagi golongan awam (yang bukan ahli agama) perlu diingat bahawa perbezaan pandangan bagi setiap mufti mempunyai hujjah atau dalil yang berpandukan al-Qur'an dan al-Hadis. Dalam hal ini, perkara yang perlu dinilai ialah hujjah siapa yang lebih kukuh atau kuat. Contohnya; hujjah dengan menggunakan ayat alQur'an adalah lebih kuat berbanding al-Hadis. Namun, tanpa sokongan hadis, maka hujjah seseorang itu akan menjadi lemah. Adapun dalam hadis pula terdapat peringkat-peringkat tertentu dalam membuktikan kekuatan kebenaran hadis itu sendiri. Sebagai contoh, terdapat hadis yang martabatnya Hadis Soheh, Hadis Mursal, Hadis Dho'ef, Hadis Maudu' dan sebagainya.
Bagi golongan yang mengkaji dan mendalami agama, sudah pasti mereka ini mahir dalam menentukan hujjah siapa yang paling kukuh dan kuat berdasarkan sumber-sumber rujukan yang muktabar (yang diakui kesahehannya). Seseorang ahli agama belum tentu hebat jika dia kurang membaca dan mengkaji. Walaupun jika kita ada segulung Ijazah Syari'ah, belum tentu membuktikan kehebatannya jika ilmunya tidak ditambah dan diperkembangkan lagi. Sebab itu kebanyakkan Ulamak Silam, merasakan diri mereka semakin jahil dalam ilmu agama setelah bertahun-tahun lamanya mendalami ilmu Islam. Semakin lama semakin tawadduk (merendah diri).
Sebab itu dalam satu riwayat yang ma'aruf menjelaskan bahawa Imam Syafi'e r.a. bersembahyang dengan mengikut kaedah mazhab gurunya iaitu Mazhab Maliki ketika menjadi imam dalam solat di negara yang berfahaman Mazhab Maliki sebagai tanda hormatnya kepada tok gurunya Imam Malik r.a.. Begitu juga pengorbanan Imam Ahmad bin Hanbal r.h. yang tegas walaupun disebat dengan cemeti dan dipenjara, namun beliau tetap mempertahankan pendapatnya bahawa al-Qur'an itu Qadim dan akhirnya dipersetujui oleh umat Islam sehingga ke hari ini.
Peranan golongan agama hari ini mestilah berani dalam membetulkan permasaalahan yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini. Dari segi akidah, kita semua (penganut agama Islam di Malaysia), adalah berfahaman Ahli Sunnah Wal-Jama'ah. Manakala maksud Ahli Sunnah Wal-Jama'ah ialah golongan yang berpegang teguh dengan al-Qur'an, Sunnah Rasulullah s.a.w., dan perkara yang dibawa oleh para sahabat, serta menentang perkara-perkara bida'ah.
Wallahu a'lam..

Ahad, 1 November 2009

UMAT ISLAM WAJIB MEMELIHARA IMEJ ISLAM :






Penting memelihara nama baik Islam :

Kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipilih khusus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul terakhir, adalah untuk membawa agama yang benar daripada Allah serta memelihara nama baiknya daripada tercemar. Justeru baginda melakukan yang terbaik bagi memastikan kesinambungan nama baik Islam terus berada pada tahap dan keadaan yang sempurna.

Dalam Sirah baginda, jelas menunjukkan bahawa baginda sedaya upaya menjernihkan Islam daripada angkara keceluparan mulut, tindakan atau perbuatan yang boleh merudumkan nama baik Islam seperti tidak berakhlak mulia di hadapan bukan Islam, sedangkan ketika bersama sesama Islam baginda berbuat baik dengan mereka. Baginda tidak memakai pakaian yang boleh menjatuhkan imejnya bukan sahaja sebagai seorang Nabi, tetapi sebagai seorang Muslim yang mempratikkan Islam.

Contoh mengenainya terlalu banyak berdasarkan Sirah baginda mendaulatkan Islam selama 23 tahun yang tercatat dalam sejarah tamadun Islam. Ia dapat dilihat bagaimana baginda menunjukkan sikap positif terhadap semua bangsa manusia, tidak kira sama ada mereka golongan sahabatnya, bukan Islam atau musuh-musuh Islam yang terkenal pada masa itu dengan golongan 'munafiqin' atau 'Zindiq' yang berpura-pura menerima Islam di hadapan Rasulullah s.a.w.

Jabir bin Abdullah antara sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis pernah berkata: "Ketika baginda membahagikan harta rampasan perang (ghanimah) bani Hawazin di kalangan orang ramai di Jaaranah, maka seorang lelaki daripada bani Tamim bangun lalu berkata: 'Wahai Rasulullah! Bahagikan ghanimah itu dengan adil', maka baginda s.a.w. pun memarahinya sambil menegaskan; jika Muhammad tidak berlaku adil, maka siapa yang lebih adil daripada aku? Jika aku tidak berlaku adil sudah tentu ramai orang termasuk engkau juga tidak mendapat keadilan sewajarnya, mereka semua akan rugi".

Saiydina Umar bin al-Khattab pun bangun lalu berkata:
"Wahai Rasulullah! Biarkan aku saja yang membunuh lelaki ini? Nabi bersabda: 'Aku berlindung daripada Allah supaya tidak akan ada umat yang akan berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya', Rasulullah pun menambah: "Sesungguhnya lelaki berkenaan dan sahabatku juga adalah mereka yang membaca al-Quran, cuma mungkin tidak memahaminya dengan baik."
- Hadis sohih riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari

Dalam satu peristiwa lain, satu daripada para sahabat ada menyaksikan beberapa individu di Madinah melakukan perbuatan sumbang, iaitu memburuk-burukkan nama baik negara yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang dikenali dengan pentadbiran berasaskan 'Piagam yang adil' atau Piagam Madinah. Maka baginda memanggil para pembesar sahabat yang menjawat jawatan menteri dan penasihat negara, supaya bertindak ke atas mereka dengan pelaksanaan undang-undang (ta'zir) yang setimpal dengan perbuatan mereka, akan tetapi baginda berpesan supaya mengelak daripada cemuhan manusia yang mungkin akan berkata bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.

Begitu juga dalam mengukuhkan hubungan dengan para pembesar negara-negara dunia ketika itu, terdapat daripada mereka yang bukan Islam, baginda amat menitik-beratkan pendekatan 'Robbaniyyah/ketuhanan' ketika berurusan dengan mereka. Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 58 surah al-Anfal yang bermaksud:
"Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat".

Demikian juga dengan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w., di mana setiap individu daripada mereka amat mementingkan penjagaan nama baik agama Islam, sehingga tidak terdapat seorang pun daripada mereka melakukan tindakan, perbuatan atau keceluparan mulut mereka yang boleh merosakkan nama baik, sama ada dari sudut penmapilan diri, hubungan sesama manusia, mentadbir negara, dalam peperangan, semuanya dilakukan berdasarkan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. agar Islam sentiasa dipandang mulia.

Adakah umat hari ini menjaga nama baik Islam?

Islam bukanlah hak untuk orang-orang terdahulu daripada kita semata-mata, atau untuk sesuatu bangsa tertentu, atau parti tertentu, tetapi ia adalah hak mutlak kepada semua mereka yang beragama Islam tanpa mengira asal-usul keturunan, kedudukan, pangkat, jantina atau warganegara. Justeru setiap individu Muslim baik lelaki atau perempuan bertanggungjawab untuk memelihara dengan semaksimum mungkin.

Persoalannya di sini, benarkah kita selaku umat Islam yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad lalu menuruti jejak langkah yang ditunjukkan oleh baginda kepada kita, yang paling penting kita menunjukkan segala pusaka ilmu yang diwariskan kepada kita dapat dibuktikan dengan sebaik-baiknya.

Itulah yang dikehendaki oleh Islam daripada kita, namun terdapat individu yang menconteng arang ke arah Islam dengan melakukan tindakan, perbuatan, perkataan yang berbaur penghinaan terhadap Islam, sekali gus merosakkan nama baik Islam pada mata bukan Islam.

Ia dapat dilihat bagaimana umat Islam hari tidak menjaga Islam hingga sanggup terlibat dalam memberi dan menerima rasuah, lebih buruk lagi istilah itu digantikan dengan politik wang. Ada yang terlibat dengan pembunuhan kejam hingga meletupkan jasad mangsa bagi menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga yang merompak, merogol lalu membakar mangsanya, meragut, menderhaka terhadap kedua-dua ibu bapa hingga sanggup membawa kes ibu kandung ke mahkamah dan banyak lagi.

Tidakkah mereka terfikr bahawa tindakan bodoh mereka itu sebenarnya telah mengaibkan Islam pada mata bukan Islam, apakah mereka (non-Muslim) terdorong untuk menerima dan memeluk Islam jika melihat tindak-tanduk umat Islam yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.

Apakah penglibatan remaja-remaja dalam program-program realiti hari ini mencerminkan mereka sebagai orang Islam Sejati? Dalam hiburan program televisyen masa kini, terlalu banyak yang mendedahkan percampuran bebas peserta lelaki dan wanita dalam sebuah banglo yang mendapat tunjuk ajar daripada guru-guru yang bebas bersalam antara satu sama lain, berpeluk seolah-olah macam saudara kandung sendiri. Apakah penampilan mereka itu direstui baginda Rasulullah s.a.w. apatah lagi ia berlangsung pada bulan 'Maulidur Rasul' dan 'Bulan Dakwah' peringkat kebangsaan.

Dan banyak lagi perbuatan, tindakan, perkataan umat hari ini yang tidak selari dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kesemua itu berlaku akibat membelakangkan pendekatan baginda Rasulullah s.a.w. menerusi Sirahnya yang tidak lagi dianggap penting oleh umat hari ini. Sama-samalah kita fikirkan, kerana setiap diri akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t. pada hari Kiamat kelak.

KELEBIHAN DOA NABI YUNUS A.S. :

Maksudnya :

"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah, melainkan engkau, ya Allah. Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim".

(Surah Al-Anbiyak : Ayat 87)

Doa Nabi Allah Yunus a.s. ketika di dalam perut ikan Nun. Ibnu sunni meriwayatkan Rasulullah s.a.w telah menerangkan bahawa : "Barangsiapa yang membaca kalimah ini, orang itu akan dilapangkan Allah s.w.t. dari segala kesempitan". Kalimah itu ialah doa yang diucapkan oleh nabi Allah Yunus a.s. ketika di dalam perut ikan Nun.


Menurut riwayat, nabi Allah Yunus a.s. telah dicampakkan ke laut setelah diundi beberapa kali, tatkala kapal yang dinaiki oleh baginda hampir karam. Allah memerintahkan kepada ikan Nun untuk menelannya. Keadaan di dalam perut ikan Nun itu sungguh tidak selesa dan baginda berharap agar Allah mengeluarkan baginda dari perut ikan tersebut.

Allah telah mengilhamkan Nabi Allah Yunus a.s. untuk membaca doa tersebut. Dan apabila Nabi Allah Yunus a.s. membaca doa tersebut, baginda terasa lapang dan tenang. Akhirnya Nabi Allah Yunus a.s. terselamat apabila dimuntahkan kembali oleh ikan Nun dan baginda terdampar di tepi pantai serta diselamatkan oleh orang lain. Jadi, jikalau kita rasa susah hati dan menghadapi kesusahan serta kepayahan, maka bacalah doa ini.

Disamping itu kita jangan lupa berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah s.w.t.. Zikir ini juga dapat mengukuhkan iman dan menimbulkan keinsafan di dalam diri kita. Tatkala kita membacanya patut kita hayati sungguh-sungguh bahawa kita telah menzalimi diri kita.

Oleh itu kita hendaklah bertaubat daripada segala dosa, samada kecil atau besar, yang disedari atau tidak, terhadap manusia atau dosa terhadap Allah s.w.t.. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengampunkan segala dosa kita dan melapangkan segala kesempitan kita. Setiap muslim berdoa dengan ayat ini akan diperkenankan doanya.(HR Tirmizi)

"TAHAJJUD" DARI PERPEKSTIF PERUBATAN :

Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai solatulail (sembahyang di tengah malam). Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD :
Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja. Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja.
Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selam tiga jam.Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang athlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.
Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk ( drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti 'berzikir' dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antara agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian,Tao, Confusies dan Sikh.

PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT :
BARAT Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang. Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : " The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep." Maksudnya " Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur".
"The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night." - Longfellow Maksudnya " Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. " Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.
Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur. Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.
Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak merasa nikmat oksigen ini.

RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM SOLAT :
Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat.Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak ( qiyam ) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat - kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan. Ketika ruku' dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar ( parallel to the ground ) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.
Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki.dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan. Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawahan lain-lain otot lagi.
Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk - pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain. Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.
Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam. Abdullah Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : " Zikir yang termulia ialah LA ILAHA ILLALLAH dan doa yang terbaik ialah istighfar".
Sekian.

KEKELIRUAN TERHADAP JIHAD :



TERDAPAT banyak kekeliruan di kalangan umat Islam tentang pengertian jihad. Kekeliruan pertama ialah tentang makna jihad itu sendiri yang sering dimengertikan sebagai peperangan mengangkat senjata yang membawa kepada pertumpahan darah dan pembunuhan. Yang kedua ialah tentang golongan yang menjadi sasaran jihad atau golongan yang harus diperangi itu.

Ketika berlaku krisis Perang Teluk yang melibatkan dua buah negara Islam iaitu Iraq dan Kuwait, maka kedua-dua belah pihak mendakwa bahawa masing-masing sedang berjihad. Kedua-dua belah pihak mendakwa bahawa mangsa peperangan mereka yang gugur dalam peperangan itu adalah gugur syahid, kerana kedua-duanya sedang berperang jihad.

Peperangan yang dikatakan perang jihad ini sebenarnya tidak menepati makna jihad yang dimaksudkan dalam agama, dan sasaran yang diperangi itu juga bukanlah merupakan sasaran jihad yang sebenarnya seperti yang dituntut oleh agama.

Oleh itu perkara pertama yang seharusnya difahami tentang pengertian jihad ini ialah maksud dan tuntutan jihad serta siapakah atau apakah objek yang seharusnya diperangi dalam menegakkan jihad ini menurut ajaran agama Islam yang suci.

Sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w dari permulaan baginda dibangkitkan menjadi Rasul untuk menegakkan agama Allah s.w.t yang suci di kalangan umat manusia sehinggalah baginda berjaya mengembang dan menegakkan Islam dengan amat kuat sekali sehingga ke hari kiamat nanti, adalah penuh dengan catatan sejarah dan pengajaran yang dapat dijadikan panduan yang amat baik dalam memahami pengertian jihad dan matlamatnya.

Rasulullah s.a.w pada peringkat awal perutusannya di Mekah tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menentang kekuatan golongan musuhnya dalam pelbagai bidang, khususnya kekuatan fizikal dan mental para pengikut baginda yang amat terhad bilangannya. Oleh itu, jihad baginda pada peringkat awal ini ialah melalui pengajaran baginda bagi menguatkan akidah dan pendidikan bagi meningkatkan rohani dan semangat serta keyakinan diri di kalangan penganut Islam itu sendiri.

Jihad baginda pada peringkat seterusnya ialah kesanggupan baginda dan para sahabat setianya untuk berkorban meninggalkan segala kesenangan dan keselesaan hidup di tanah tumpah darah di Mekah berpindah ke Madinah. Baginda berhijrah ke Madinah dengan segala susah payahnya, adalah satu perintah Allah s.w.t sebagai satu strategi yang penting dan bersejarah dalam perkembangan agama Allah s.w.t dalam fasa barunya, dan dalam mendidik ummah agar dapat mempertingkatkan daya juang mereka dari segi rohani, mental dan fizikal.

Akhirnya setelah baginda mempunyai persiapan yang lengkap dan kekuatan yang dapat menandingi kekuatan musuh serta struktur negara yang kukuh, maka baginda diizinkan berperang menentang pencerobohan dan pengkhianatan para penentangnya yang sengaja melakukan langkah-langkah provokasi bagi menghancurkan agama dan umat Islam. Dalam konteks ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi (kaum Muslimin), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa menolong mereka itu, (iaitu) orang-orang yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: Tuhan kami hanyalah Allah".
(Al-Haj, ayat 39-40).

Maka ketika inilah baginda memasuki medan jihad yang merupakan peperangan suci untuk mempertahankan agama dan diri daripada musuh-musuh yang sememangnya ingin menghancurkan agama dan umatnya.

Jika kita lihat sejarah perjuangan baginda, ternyata bahawa jihad baginda sepanjang perutusannya ialah untuk menentang kejahilan, kemiskinan, hawa nafsu, sifat bongkak, munafik dan sebagainya. Jihad baginda bermula dengan wahyu pertama yang menekankan tentang tulis dan baca. Ini merupakan lambang peningkatan ilmu pengetahuan dan kebudayaan manusia yang tinggi sebagai makhluk yang bertamadun. Kemudian berjihad menghapuskan kemiskinan dan kepapaan yang dialami oleh orang miskin dan anak yatim, seterusnya berjihad dalam bidang pengajaran dan pendidikan bagi mendidik jiwa manusia supaya kuat dan dinamik dari segi rohani, badani dan aklinya.

Inilah jihad dan perjuangan Rasulullah s.a.w yang memenuhi hidupnya, iaitu mempertingkatkan kehidupan umat dan mutu agama dalam semua bidang, termasuk mempertingkatkan akhlak dan moral manusia dengan contoh teladan baginda yang amat mulia tutur kata dan tingkah lakunya.

Pengertian jihad inilah yang seharusnya difahami dan direalisasikan oleh angkatan umat Islam kini, terutamanya dalam menghadapi arus globalisasi dan penindasan baru yang amat kuat melanda masyarakat dan negara-negara Islam sekarang. Kita kini seolah-olah berada pada pusingan pertama ketika baginda Rasulullah s.a.w memulakan perjuangan di Mekah, iaitu yang menuntut jihad untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, jihad untuk menghapuskan kemunduran dan kemiskinan, jihad untuk mendidik dan mengajar umat supaya menjadi umat yang dinamik, kuat mental dan fizikalnya.

Tetapi sayangnya pengertian jihad yang sering difahami oleh masyarakat kita, ditambah pula oleh kempen pihak media Barat yang sengaja ingin mencemarkan nama baik Islam ialah jihad yang dihadkan kepada perang sabil atau holy war iaitu berperang dengan menggunakan senjata yang melibatkan pembunuhan dan kekerasan, sedangkan jihad dalam pengertian lain tidak lagi dianggap jihad, dan tidak lagi menjadi cara perjuangan umat kita.

Dalam keadaan inilah timbulnya gejala-gejala yang tidak sihat dalam masyarakat Islam, terutamanya ketika umat Islam akan berperang jihad sesama Islam seperti yang berlaku di Teluk. Dan akhir-akhir ini berlaku di antara umat Islam yang berlainan mazhab dan ideologi politiknya, termasuk jihad yang dilancarkan oleh penyokong seorang ketua negara terhadap golongan yang menentang ketua negara mereka, sedangkan kedua-dua golongan itu adalah terdiri dari sesama Islam, yang mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa serta menunaikan sembahyang yang sama, dengan bacaan dan kiblat yang sama. Dalam mempertahankan seorang yang mereka puja maka masing-masing akan bertindak secara kekerasan terhadap golongan lain, dan perbuatan ini mereka namakan jihad.

Bagi saya jihad yang perlu kita laksanakan dalam masyarakat moden ini haruslah mempunyai strategi bagi memperkuatkan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi dan fizikal umat, dan daya tahan yang kukuh untuk menghadapi segala macam cabaran dan permusuhan yang kita hadapi.
Para belia dan pelajar kita seharusnya melipatgandakan usaha dan kerja mereka berjihad untuk mempertingkatkan pencapaian dan mutu ilmu pengetahuan agar dapat bersaing dan mengatasi golongan lain secara sihat. Kemelut kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang melanda masyarakat Islam kini seharusnya menjadi pendorong untuk kita terus berjihad dalam erti kata yang sebenar, iaitu mencapai kecemerlangan dalam segala disiplin ilmu pengetahuan.

Ketika itu barulah kita dapat berbangga bahawa kita telah menghayati semangat jihad yang sebenar yang dituntut agama, bukan jihad dalam bentuk serangan sesama sendiri, sama ada menggunakan senjata atau lidah yang tidak bertulang.

wALLAHu a'lam..

FAEDAH MENUNDUKKAN PANDANGAN :


Imam Ibnul Qayyim Al-jauziyyah telah menulis beberapa faedah menundukkan pandangan dalam kitabnya berjudul Raudhatul Muhibbun wa Nuzhatul Mustaqin. Tercantum pula dalam kitab Fiqh An-Nadhr karangan Al-Mundziri. Berikut adalah beberapa faedah menundukkan pandangan yang dipetik dari kitab-kitab tersebut :
  • Menundukan pandangan bererti menunaikan perintah Allah swt. Tiada manusia yang bahagia di dunia dan akhirat kecuali dengan menunaikan perintah Allah swt.
  • Menundukkan pandangan akan menguatkan hati dan membahagiakannya. Sebagaimana halnya membiarkan pandangan menjadi liar akan melemahkan hati dan membuatnya gelisah.
  • Menundukkan pandangan membuatkan hati selalu bermesraan dengan Allah swt. Sebaliknya, membiarkan pandangan menjadi liar akan memporak-perandakan hati dan fikiran.
  • Menundukkan pandangan akan melepaskan hati dari tawanan syahwat. Sebagaimana kerap dikatakan, "Orang yang tertawan oleh pandangan matanya, maka itulah sebenarnya tawanan".
  • Menundukkan pandangan akan membentengi seseorang itu dari pintu syaitan.
  • Menundukkan pandangan akan mengosongkan hati dari berbagai kemaksiatan.
Wahai kaum muslimin & muslimat, tundukkanlah pandangan matamu. Sedarilah bahawa membiarkan pandangan mata menjadi liar merupakan pintu pertama pembuka jalan yang kelak akan merosakkan tirai kehormatanmu. Ini syariat dan perintah Allah swt.

Selasa, 27 Oktober 2009

PERANAN UTAMA PENDAKWAH :



Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.

Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa (TAKUT) kepada-Nya.

Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahala, sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat.

Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah / dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal. Ia terbukti, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal.

Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' (Bekalan para pendakwah) ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah.
Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:
"Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan Umat Islam Hari Ini :

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.

Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud:
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),
serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain. Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga.
PERSOALAN..
Benarkah ulamak kini disebukkan dengan urusan berpolitik ???
Mengapakah umat Islam akhir zaman ini, telah tersempang jauh dari landasan Islam ???
Dimanakah kesilapannya ?
Apakah ianya tanggaungjawab ulamak/ustaz/ustazah ? atau Ibu bapa ? atau Para Guru ? atau Pemerintah ?
Mengapa semakin hari, masalah keruntuhan iman umat Islam semakin ketara dikalangan muda mudi yang bakal menyambung syiar Islam ini..?
Dimanakah peranan kita sebagai umat Nabi Muhammad yang merupakan umat dakwah ?
Marilah kita semua, wahai umat Islam.. meneruskan peranan "mengajak orang melakukan kebaikkan, dan mencegah kemungkaran".
Wallahu a'lam..

Khamis, 15 Oktober 2009

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN (BAHAGIAN 2) : KUFUR :

Pengertian KUFUR atau KAFIR ialah seseorang yang tidak beriman dengan rukun iman atau rukun Islam atau salah satu daripadanya.

Firman Allah S.W.T. :

( وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَتَعۡسً۬ا لَّهُمۡ وَأَضَلَّ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٨) ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَرِهُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأَحۡبَطَ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٩
Maksudnya : "Dan orang-orang yang kafir, maka celakalah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (al-Qur'an) lalu Allah S.W.T. menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka".
(SURAH MUHAMMAD; AYAT 8-9)

JENIS-JENIS KUFUR, MAKSUD, DAN CONTOH :

Kufur Terbahagi Kepada Dua Bahagian, Iaitu :


PERTAMA : Kufur Hakikat/Akidah ;

Maksudnya : Tidak beriman kepada rukun iman dan rukun Islam atau menafikan rukun iman dan rukun Islam serta menolak syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Contohnya :

1. Tidak mempercayai rukun iman atau salah satu daripadanya.

2. Tidak mempercayai hukum dan kandungan dalam al-Qur'an.

3. Menafikan ketetapan Allah S.W.T. seperti mengubah hukum solat dan haji sebagai tidak wajib.

4. Memperlekehkan hikmat Allah S.W.T. yang menentukan ketetapan syariat seperti solat hanya membuang masa, haji hanya menghabiskan harta, dan puasa hanya melemahkan manusia.

KEDUA : Kufur Nikmat :

Maksudnya : Mengingkari Khalik atau Allah S.W.T. sebagai pemberi nikmat kepada manusia dan makhluk ciptaan-Nya serta mengingkari hukum-hukum yang disyariat oleh-Nya.

Contohnya :

1. Nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T. digunakan untuk maksiat.

2. Tidak mengeluarkan zakat atau tidak melakukan solat atau tidak menunaikan haji dengan sengaja sekali pun telah memenuhi syarat-syarat wajib melakukannya.

3. Membazirkan nikmat Allah S.W.T. dengan sengaja.

4. Rezeki Allah S.W.T. tidak dimanfaatkan dengan sewajarnya.

PERBEZAAN ANTARA MUKMIN (ORANG YANG BERIMAN) DENGAN KAFIR :

PERTAMA :
Mukmin : Mengucap dua kalimah syahadah (Asyhadu Anlaa Ilaaha Illallaah, Wa Asyhadu Annaa Muhammadar Rasulullaah).
Kafir : Tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah.

KEDUA :
Mukmin : Percaya (beriman) kepada rukun iman.
Kafir : Tidak percaya kepada rukun iman.

KETIGA :
Mukmin : Sentiasa menjaga / melaksanakan ibadah fardhu (wajib), patuh dan taat kepada perintah Allah S.W.T.
Kafir : Mengingkari, menentang dan tidak taat untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.

KEEMPAT :
Mukmin : Mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah S.W.T.
Kafir : Sentiasa mendapat laknat Allah S.W.T.

KELIMA :
Mukmin : Mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan.
Kafir : Menentang segala yang disyariatkan oleh Islam.

KEENAM :
Mukmin : Mendapat balasan syurga.
Kafir : Mendapat balasan neraka.

JENIS-JENIS KAFIR :
PERTAMA : (KAFIR ZIMMI) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang telah menetap di negara Islam (misalnya Malaysia) dan mematuhi undang-undang negara itu serta memberi ketaatan sepenuhnya kepada pemerintah berkenaan (misalnya; MCA, MIC, Gerakan dll).
2. Mereka wajib dilindungi dan haram memeranginya, selagi mereka taat dan mereka dikenakan jizyah (cukai diri/kepala).

KEDUA : (KAFIR MUSTA'MIN) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang mendapat perlindungan pemerintah Islam.
2. Mereka berhak mendapat perlindungan dan tidak boleh dicerobohi.
3. Mereka dikenakan bayaran ufti (bayaran perlindungan atau jaminan) oleh pemerintah.

KETIGA : (KAFIR MAAHAD) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang telah membuat perjanjian damai seperti mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Islam mengikut syarat-syarat persetujuan bersama.
2. Mereka tidak boleh diperangi selagi mereka patuh kepada perjanjian tersebut.

KEEMPAT : (KAFIR HARBI) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang jelas menjadi musuh Islam di mana mereka memerangi orang Islam atau negara Islam seperti Israel dan Amerika.
2. Mereka boleh diperangi dan wajib berperang jika ada bukti mereka akan mengancam keselamatan negara Islam.

FAKTOR-FAKTOR YANG BOLEH MENYEBABKAN KITA MENJADI KUFUR :
1. Kurang didikan agama.
2. Terpengaruh dengan godaan persekitaran kerana iman yang lemah.
3. Kesempitan hidup.

Rabu, 14 Oktober 2009

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN (BAHAGIAN 1) : SYIRIK :

BAHAYA SYIRIK
YANG SEMAKIN MENULAR DIKALANGAN
UMAT ISLAM
DAN
DALAM POLITIK DI MALAYSIA.
Pengertian Syirik :
Syirik bermaksud menyekutukan atau menyamakan Allah S.W.T. dengan sesuatu makhluk-Nya sama ada dari segi zat-Nya, sifat-Nya, ataupun perbuatan-Nya.
Contohnya : Jika seseorang itu menyamakan Allah S.W.T. dengan patung atau sebagainya dalam kepercayaan agama lain adalah dianggap syirik, wal iyazu billah.
Syirik boleh berlaku jika seseorang itu menyekutukan Allah S.W.T., sama ada dengan perbuatan, perkataan, melalui hati.
Mensyirikkan Allah S.W.T. diharamkan kerana perbuatan tersebut menafikan kekuasaan Allah S.W.T. dan merupakan suatu kezaliman yang besar.
Firman Allah yang bermaksud :
“Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya
syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.
(Surah al-Ma’idah, ayat 72)
Firman-Nya lagi yang bermaksud :
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-Nya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”
(Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud :
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-Nya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya”.
(Surah an-Nisa’, ayat 116)

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar".
(Surah Luqman, ayat 13)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk. Sabda Baginda lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu".
Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah S.A.W.:
“Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: “Engkau menjadi suatu yang lain sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini suatu yang berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda menjawab: “Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu sendiri".
(Hadis riwayat Muslim)

Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda mengenai dosa besar iaitu :
mensyirikkan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh nyawa dan memberi penyaksian palsu.
(Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. telah menasihatkan para sahabat dan orang Islam supaya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan hidup seseorang iaitu :
mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. kecuali dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan peperangan dan menuduh perempuan Mukmin suci melakukan zina.
(Hadis riwayat Muslim)

JENIS-JENIS SYIRIK :
Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).
Pertama : Syirik Jali :
ialah syirik yang besar, terang dan nyata atau menyekutukan Allah S.W.T. secara terang-terangan yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur.
Contohnya :
1. Menyembah sesuatu selain Allah S.W.T.
2. Menyatakan Allah S.W.T. tidak bersifat dengan sifat-sifat Allah S.W.T.
3. Meragui tentang kekuasaan Allah S.W.T.
Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu :
1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.

2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.

3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.


Kedua : Syirik Khafi :

ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan sifat peribadi individu muslim sendiri. Sama ada di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Contohnya :

1. Riak, takbur, dan sombong kepada Allah S.W.T.

2. Mengagungkan kehebatan sesuatu selain Allah S.W.T.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud:
“Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya".
(Surah al-Kahfi, ayat 110)
Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.
Rasulullah S.A.W. dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat
supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.
Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi".
(Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh".
(Surah al-Hajj, ayat 31)
Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.
Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.
Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Beberapa langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup manusia, termasuk pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh.
Selain itu diperbanyakkan penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya. Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.
Cara Mengelakkan Perbuatan Syirik :
Pertama :
Umat Islam hendaklah sentiasa didedahkan dengan ajaran Islam secara meluas yang merangkumi semua bidang kehidupan.
Kedua :
Menanamkan keyakinan yang teguh terhadap kekuasaan Allah s.w.t. pada jiwa individu muslim sejak kanak-kanak lagi.
Ketiga :
Mendidik masyarakat Islam supaya mereka mempelajari ilmu agama secukunya. Menuntut ilmu agama adalah wajib bagi setiap muslim sehinggalah ke akhir hayat.
Keempat :
Umat Islam hendaklah diberitahu tentang kesan buruk perbuatan syirik.
Kelima :
Menerapkan akhlak-akhlak mahmudah supaya menjadi amalan dan penghayatan dalam kehidupan harian.
Keenam :
Menghapuskan tempat-tempat yang menjadi punca masyarakat melakukan syirik.
Ketujuh :
Sentiasa berwaspada dengan helah-helah ajaran agama lain dalam negara.
Contoh Perbuatan Syirik Yang Sering Dilakukan Dalam Masyarakat Kita Ialah:
Pertama :
Memohon hajat di kubur yang dianggap keramat dan boleh menunaikan sesuatu hajat.
Kedua :
Percaya pada kuasa lain boleh menyembuhkan penyakit. Seperti kita berkeyakinan bahawa doktor atau pawang atau bomoh atau ustaz yang mengamalkan perubatan Islamlah yang menyembuhkan penyakit. Sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah s.w.t. Adapun ubat, doktor, ustaz perubatan Islam, bomoh dan pawang hanyalah penyebab penyakit kita menjadi sembuh. Manakala yang menyembuhkan sebenarnya ialah Allah S.W.T dengan keizinan-Nya.
Ketiga :
Bersekongkol atau turut serta dalam upacara ibadah agama lain yang sesat lagi menyesatkan. Malah turut serta melakukan upacara yang syirik tersebut.
Keempat :
Percaya dan yakin pada ilmu sihir atau ilmu hitam serta beramal dengannya.
Kelima :
Percaya pada tangkal azimat yang dapat menyembuhkan penyakit atau dapat melindungi kita daripada malapetaka.
Implikasi / Kesan Amalan Syirik :
Perbuatan mensyirikkan Allah s.w.t. dengan sesuatu sangat dilarang oleh Islam. Oleh sebab itu, setiap individu muslim hendaklah menjauhi diri daripada perbuatan tersebut supaya selamat di dunia dan di akhirat.
Syirik mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada individu dan masyarakat, sebagaimana berikut :
A. Terhadap Individu :
1. Membatalkan iman;
2. Hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah s.w.t.;
3. Dibenci oleh umat Islam yang lain;
4. Dimurkai Allah s.w.t.;
5. Menafikan kekuasaan Allah s.w.t.
B. Terhadap Masyarakat :
1. Akidah masyarakat akan menjadi rosak;
2. Maruah masyarakat Islam akan dipandang rendah dan tercemar;
3. Menimbulkan permusuhan dalam masyarakat;
4. Masyarakat Islam akan menjadi lemah.
Kesimpulan :
Wahai saudara seIslamku sekalian. Saya amat berasa sedih kerana masih terdapat segelintir di dalam masyarakat Islam kita yang sanggup melakukan perkara-perkara seperti ini.
Sebenarnya para ustaz dan ustazah telah menerang serta memperjelaskannya secara terperinci di setiap sekolah di seluruh Malaysia dalam sistem pendidikan negara kita. Namun, perbuatan ini tetap juga berlaku. Dimanakah kesilapannya ? Adakah mereka ini suatu ketika dahulu di zaman pelajar sekolah adalah pelajar-pelajar yang ibarat menerima ilmu "masuk telinga kanan, keluar telinga kiri ?
Perbuatan syirik adalah dosa besar yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan boleh jatuh kafir. Amalan syirik merupakan amalan orang kafir yang sentiasa mensyirikkan Allah s.w.t. dengan sesuatu.
Oleh itu, bersegeralah bertaubat nasuhah tanpa mengulangi perbuatan tersebut. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menerima taubat kita. Amin..
Harapan saya ialah agar umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah bertakwa (takut) kepada Allah s.w.t. Apatah lagi, jika kita sebagai ahli politik. Ini penting kerana disebabkan perbuatan kita tersebut (mensyirikkan Allah s.w.t.), maka ianya juga boleh menyebabkan pengikut kita menjadi sesat lagi menyesatkan.
- wALLAHU a'LAM-

Ahad, 4 Oktober 2009

Selamat Datang Melayari Blog Selempang Merah :

Selamat Datang Melayari Blog Selempang Merah

أهلاً وسهلاً ومرحباً بكم

Blog www.selempangmerah69.blogspot.com ini saya dedikasikan khas kepada para pembaca berkenaan isu-isu agama, sosio-politik, sosio-budaya dan ekonomi Melayu-Bumiputera mutakhir. Ia akan memaparkan berita, artikel dan analisa yang membabitkan kesejahteraan Melayu-Bumiputera dalam konteks Malaysia yang multi-etnik, multi-agama dan multi-budaya.

Blog ini tidak bermatlamat mencetuskan sentimen perkauman. Tetapi, bertujuan memberikan dorongan, kesedaran, keinsafan dan pembelaan yang sewajarnya kepada masyarakat Melayu-Bumiputera dan umat Islam seluruh dunia.

Moga-moga Melayu-Bumiputera akan terus menjadi umat Islam dan warganegara Malaysia yang unggul, bermaruah, berwiba, maju dan disegani, kini dan selamanya.

Saya mengalu-alukan sumbangan artikel dan analisis dari seluruh warga maya (net citizens) Malaysia atau dari mana-mana untuk disiarkan dalam blog ini. Kirimkanlah sumbangan tulisan anda ke alamat e-mail : selendang.merah@yahoo.co.uk

Sekian Terima Kasih.

شكراً جزيلاً