KUALA LUMPUR 1 April - Cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengaitkan kerajaan dengan Israel melalui surat perjanjian syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) mendedahkan satu lagi penipuan besar Ketua Pembangkang itu.
Ini kerana, adalah sesuatu yang pelik apabila surat Apco (GDI International) yang didakwa Anwar dihantar oleh syarikat itu kepada Kerajaan Israel bertarikh 23 Disember 1991 menggunakan kepala surat Kerajaan Israel.
Lazimnya, kepala surat sesebuah kerajaan hanya boleh digunakan jika surat itu dihantar oleh kerajaan tersebut kepada pihak lain dan bukannya daripada sebuah syarikat swasta kepada sesebuah kerajaan.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika diminta mengulas mengenai 'senario pelik' itu berkata, beliau tidak hairan dengan apa yang berlaku kerana mendakwa Anwar memang seorang kaki putar belit.
"Saya secara peribadi tidak lagi percaya apa yang Anwar cakap. Nama-nama Yahudi yang dia sebut itu semuanya individu yang dia kenal.
"Jadi apa nak pelik dengan penggunaan kepala surat sebuah kerajaan asing kerana Anwar memang seorang yang terkenal dengan kehebatan putar belit," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Penggunaan kepala surat kerajaan Israel itu dikesan selepas Anwar memuat turun surat yang didakwa sebagai perjanjian antara kerajaan Israel dengan GDI International dalam blognya http://anwaribrahimblog.com semalam.
Selain surat perjanjian tersebut, Anwar turut memuat turun dua lagi surat perjanjian setuju terima dan surat perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Apco.
Mengulas lanjut, Zahrain berkata, isu tentang Israel yang cuba dikaitkan oleh Anwar tidak timbul sebenarnya kerana Apco adalah syarikat antarabangsa yang diakui antara terbaik dalam industri perundingan.
"Apa yang Anwar kata ini tidak boleh pakai, dia sengaja nak pusing isu bagi menunjukkan kepada rakyat kononnya kerajaan kita adalah barua Israel," jelasnya.
"Saya pelik juga tetapi penipuan boleh berlaku dalam apa keadaan pun sekarang," ujarnya. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan