Islam Agama Keamanan

Member Bloger :

Rabu, 24 Februari 2010

Mengaku Cinta Rasul, Tetapi Dustai Ajarannya :


Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita dipanjangkan usia dan insya-Allah, kita sama-sama akan berkesempatan menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w. pada tanggal 12 Rabiulawal 1431 (26 Februari 2010) ini.


Mengenang kelahiran, seterusnya mengimbau sirah baginda termasuk pahit getirnya menyerukan Islam, akan terasa betapa dekat diri ini padanya. Namun demikian, hanya tinggal perasaan yang hakikatnya pada hari ini, kita semakin hari semakin jauh daripada kekasih Allah s.w.t. tersebut s.a.w. .


Apa tidaknya, kita cukup bimbang mulut kita saja berkomat-kamit menyebut nama Rasulullah s.a.w. dalam majlis-majlis seperti berzanji dan sambutan Maulidur Rasul sedangkan cara hidup kita tersasar daripada sunnah baginda s.a.w. .


Memang betul pada majlis-majlis khas itu, kadangkala kita begitu terbawa-bawa dalam memuji-muji Rasulullah s.a.w. .


Malangnya dalam kehidupan kita hari ini, secara kita sedar atau tidak, ada di antara kita sebenarnya telah menghina Islam yang telah didakwahkan sepenuh jiwa oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya itu.


Semua peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang perlu diikuti oleh manusia sudah termaktub dalam kitab al-Qur'an dan hadis, tetapi apakah kita termasuk pemerintah, mengikuti atau sesiapa sahaja dikalangan umat Islam telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya?


Atau kita bermain-main terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., mengikuti apa yang kita fikirkan sesuai untuk diri dan menolak apa yang difikirkan tidak sesuai?


Dalam perkembangan semasa di negara kita, kita amat dukacita apabila kes-kes jenayah yang berkaitan dengan perundangan Islam masih belum mampu dimartabatkan oleh kita sebagai umat Muhammad s.a.w. yang sepatutnya meta'ati segala perintah Allah s.w.t. . Malah, kes-kes jenayah tersebut diadili oleh Mahkamah Sivil yang kadangkalanya diadili oleh orang bukan Islam yang jelas menolak Islam.


Jelas sekali dalam menangani kes seperti ini Islam tidak diperlukan, lantas apakah maknanya kita meluangkan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. pada majlis-majlis khas seperti Maulidur Rasul?


Saban tahun pada majlis-majlis seperti ini pemimpin akan beretorik, mengucapkan pesanan penuh syahdu seperti 'teladanilah Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat' atau pun 'Rasul adalah contoh ikutan'.


Namun, dengan mengetepikan hukum-hakam Islam, dan kemudian membabitkan diri dalam membuka keaiban orang dalam suasana paling jijik dalam sejarah, tidak malukah kita untuk terus mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah s.a.w.?


Tanyalah diri kita secara jujur, adakah kita tergolong sebagai golongan munafiq (hipokrit paling besar)?


Adakah kita hanya sekadar mendabik dada mengaku cintakan Rasul, tetapi sebenarnya kita tergolong sebagai golongan penghina ajaran baginda s.a.w. ?


Ramai dikalangan umat Islam pada masa ini adalah kaki rasuah, perompak harta negara, pengamal riba dan pemakan duit haram daripada sumber judi dan arak. Namun ianya menjadi sungguh aneh pada sambutan Maulidur Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit memberitahu satu dunia bahawa kita amat cintakan Rasul.


Oleh itu, contohilah Rasulullah s.a.w. . Rumah Rasul terlalu daif, biasanya dapurnya tidak berasap selama beberapa hari. Selalu berlapar, pakaiannya bertampal, perabot beliau hanya katilnya yang kasar dan apabila meninggal dunia tidak meninggalkan harta.

Ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Dimartabat, Negara Pasti Selamat :




Pada 12 Rabi'ul Awwal 1431 Hijriah bersamaan 26 Februari 2010 Masihi ini, seluruh umat Islam akan memperingati peristiwa penting yang paling agung dalam sejarah umat manusia iaitu memperingati serta menghayati hari kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.


Firman Allah dalam ayat 21, surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya :

"Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya".


Setiap kali kedatangan bulan Rabi'ul Awwal pada setiap tahun, maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama-sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w.


Bangsa baginda adalah arab tetapi Islam yang dibawa dianuti oleh semua bangsa bukannya terbatas kepada bangsa arab sahaja. Tempat kelahiran baginda pula di Mekah, namun dakwah Islam dirasai oleh umat Islam seluruh pelusuk dunia tanpa terhad di sekitar bumi arab sahaja.


Pada diri nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik.


Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w., maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.


Sidang Sabda Rasulullah s.a.w. :

قال الرسول الله صلى الله عليه وسلم : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ - متفق عليه

Maksudnya :

"Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia".


Antara adab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada nabi ialah :


[1] mentaati nabi dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia.


[2] Cinta kepada nabi dan menghormatinya lebih daripada segala yang lain.


[3] Cinta kepada orang yang dicintai oleh nabi dan benci kepada orang yang dibenci oleh nabi, redha dengan apa yang diredhai oleh nabi dan marah kepada apa yang dimarahi oleh nabi.


[4] Menjunjung tinggi nabi dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlak nabi.


[5] Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh nabi samada daripada urusan agama atau dunia.


[6] Menghidupkan sunnah nabi, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan nabi.


[7] Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam nabi dan dalam masjid nabawi bagi yang berkesempatan ke sana.


[8] Cinta kepada ulama’ dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana nabi cinta kepada golongan tersebut.


Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab nabi benci dan memusuhi golongan ini.


Firman Allah dalam ayat 7, surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :

"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)".


Tanda kasih dan sayang kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. tidak cukup sekadar memuji sifat dan perjalanan hidupnya sahaja tetapi kita mesti melaksanakan segala ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.


Kegagalan dalam menghayati cara hidup yang pernah ditunjukkan oleh nabi berasaskan al-Quran menyaksikan pelbagai kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di sekeliling kita.


Jika pada masa kelahiran nabi Muhammad s.a.w., manusia berada dalam keadaan jahiliah akibat jauh daripada petunjuk wahyu Allah s.w.t. sehingga terkenal dengan amalan yang jahat seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup atas alasan membawa sial maka pada hari ini akibat meninggalkan sistem al-Quran maka manusia tanpa perikemanusiaan sanggup membuang dan membunuh anak kecil yang tidak berdosa tanpa mengira jantina yang kebanyakannya lahir daripada hasil zina kesan daripada kejahilan, cara hidup bebas daripada agama.


Kecurian, samun, ragut, pecah rumah semakin meningkat dan membimbangkan tanpa mengira tempat dan masa bagaikan tidak gerun terhadap hukuman yang kebanyakannya jauh daripada sistem perundangan Islam ditambah lagi dengan sikap umat Islam sendiri yang lebih yakin kepada undang-undang ciptaan manusia daripada undang-undang Allah s.w.t. .


Adakah manusia takabbur ini yakin bahawa dia lebih hebat daripada Allah s.w.t. dan dia mampu melawan kuasa Allah s.w.t. .


Tidak cukup sekadar berarak membawa sepanduk sebagai tanda cinta kepada nabi sedangkan sifat amanah yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w. tidak mahu diikut yang menyebabkan masalah rasuah dan pecah amanah terus membarah sehingga menggugat keselamatan negara seperti yang terbaru laporan bahawa adanya penjualan rahsia keselamatan negara kepada negara lain selepas isu penjualan enjin jet dan kapal selam yang baru tidak mampu menyelam dan sebagainya.


Kita sentiasa diperingatkan tentang peristiwa besar terhadap diri nabi Muhammad s.a.w. ketika berada dalam asuhan Halimah di mana dada Rasulullah s.a.w. telah dibelah oleh dua malaikat bagi membersihkan hatinya daripada penyakit dunia dan syaitan bagi persediaan awal kepada kenabian.


Hati merupakan raja segala anggota di mana jika hati baik maka manusia akan baik tetapi jika hati jahat maka manusia turut bersikap jahat. Dalam menjaga hati maka umat Islam mestilah sentiasa mengingati Allah s.w.t. sepanjang masa.


Umat Islam yang mempunyai hati yang sentiasa ingat dan dekat kepada Allah s.w.t. sahajalah yang akan diberikan pertolongan dan kemenangan oleh Allah s.w.t. di dunia dan akhirat. Manakala umat Islam yang hatinya sentiasa lalai daripada mengingati Allah s.w.t., maka ia mudah dikalahkan oleh musuh terutama syaitan.


عن ابن عباس رضى الله عنهما قال : قال الرسول : الشَيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ فَإِذَا ذَكَرَ الله َتَعَالَى خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

( أخرجه البخاري مُعَلَّقًا )

Maksudnya :

"Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia. Apabila manusia menyebut nama Allah maka ia akan mengundur diri dan apabila manusia lalai maka ia akan membisikkan kejahatan".


Imam al-Ghazali menukilkan bagaimana berlakunya perbuatan dosa kerana didorong oleh empat faktor iaitu :


[1] Sifat Rububiyyah (sifat ketuhanan) iaitu apabila seseorang itu mengambil atau memakai sifat-sifat Tuhan seperti takabbur, sukakan pujian dan sanjungan. Pada hal sifat-sifat itu hanya layak bagi Allah SWT.


[2] Sifat Syaitaniyyah (sifat syaitan)Apabila wujud dalam diri seseorang sifat seperti hasad dengki, tipu helah dan sebagainya, kerana sifat ini boleh mendorong kepada perbuatan mungkar, maksiat dan seumpamanya.


[3] Sifat Bahimiyyah (sifat kehaiwanan) Seperti tamak haloba, memperturutkan hawa nafsu perut, menimbun harta kekayaan untuk kepuasan nafsu semata-mata dan sebagainya.


[4] Sifat-sifat Subu’iyyah (sifat kebuasan) Seperti marah, dendam, membunuh, memukul, mencaci maki orang dan seumpamanya.


Semua sifat berkenaan adalah punca dan pendorong ke arah perlakuan dosa dan maksiat. Apabila ia dibiarkan bermaharajalela, maka akan rosak binasalah manusia.


Dosa itu ibarat racun dalam tubuh manusia yang akan meresap ke seluruh tubuh badan dan boleh membawa maut jika tidak diubati dengan segera.


Firman Allah dalam ayat 92, surah an-Nahlu :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)".


Selasa, 23 Februari 2010

MUJADID & PERANANNYA DALAM MENGHADAPI ISRAEL :

Siapakah itu Mujaddid dan apa peranan mereka?

Kalau kita faham, persoalan Mujaddid ini amat penting kepada umat Islam. Namun rata-rata umat Islam tidak faham bahkan tidak tahu adanya Mujaddid. Malangnya termasuk para ulama turut memandang sepi terhadap persoalan penting ini. Kalau pun ada menyebut tentang tokoh Islam sepanjang zaman, nama Mujaddid tidak sedikit pun pernah di sentuh .
Ini adalah satu kegagalan kita umat Islam dan kejayaan besar musuh-musuh Islam terutamanya Yahudi. Yahudi bukan sahaja tenggelamkan sejarah Mujaddid bahkan Yahudi berjaya meyakinkan umat Islam bahawa Mujaddid tidak ada apa-apa peranan atau perananya kecil sahaja. Sebaliknya tertonjol ulama yang berperanan kecil tetapi digambarkan sebagai tokoh Islam yang berjasa.
Mengapa Yahudi berusaha keras menutup kebesaran Mujaddid? Kerana Yahudi tahu bahawa Mujaddid sajalah yang telah benar-benar mampu menghidupkan roh Islam serta Mujaddid juga yang bakal mengalahkan Yahudi. Sebagai contoh, mana ada dikalangan umat Islam menonjolkan ketokohan para Mujaddid yang lalu. Kalau ada pun kisah hidup Mujaddid tersebut hanyalah sekadar bersifat fakta sejarah tetapi bukan falsafah disebalik sejarah dan peribadi mereka.
Adakah kita benar-benar mengenali dan menghayati sejarah perjuangan Umar Ibnu Abd Aziz, Abu Hassan Ashaari, Imam Shafei, Imam Fakhruddin Ar Razi, Imam Ghazali, Imam As Sayuti, cukup sekadar menyebut nama Mujaddid terdahulu. Kita hanya mengenali mereka pada nama dan ilmunya. Jauh sekali dari mengkagumi mereka dan dijadikan sebagai idola.
Kemunculan Mujaddid akan datang ditunggu dan paling ditakuti ole Yahudi. Mereka akan memerangi Mujaddid yang bakal datang. Sebelum kemunculannya, Yahudi sudah pun memerangi Mujaddid tersebut secara perang saraf bertujuan menghakis sama sekali keyakinan umat Islam terhadap Mujaddid. Termasuk para ulama. Bahkan melalui ulama Yahudi berjaya mengajarkan bahawa asal saja disebut Mujaddid akan cuba disesatkan. Maka umat Islam memandang serong kepada siapa saja yang dikatakan Mujaddid. Sekali gus hilang kekuatan umat Islam.

Siapa itu Mujaddid?
Hadis Rasulullah s.a.w. ada menyebut lebih kurang maksudnya, "Akan lahir setiap awal kurun seorang yang akan membaharui agama". Membaharui agama itulah Mujaddid, bukan membawa agama baru tetapi mentajdid atau mengembalikan roh agama sehingga umat Islam dizaman itu dapat merasakan roh Islam itu seolah-olah baru beragama. Kaedah, pendekatan, teknik, uslub yang dibawa Mujaddid tidak sama dengan ulama sezaman. Mereka adalah Sohibuzzaman, wakil Tuhan, rasul lil Rasul, ulama berwatak Rasul, pemimpin kebenaran dan ketua para Wali. Mujaddid sangat dipimpin oleh Allah swt dab Rasulullah saw. Mereka mendapat ilham dan ilmu hikmah. Mereka juga amat berjaya dalam memimpin roh manusia.

Peranan Mujaddid.
Setiap Mujaddid yang Tuhan utus setiap awal kurun itu beserta peranan masing-masing. Setiap Mujaddid membawa peranan untuk menyelesaikan atau mengatasi masaalah yang paling utama dizaman Mujaddid itu muncul. Contohnya zaman Umar Ibnu Abd Aziz masaalah besarnya ialah kepimpinan. Maka Beliau mentajdidkan kaedah kepimpinan. Zaman Abu Hassan Ashaari umat Islam menghadapi masaalah dengan percampuran ilmu ketuhanan dengan falsafah.
Beliau membawa kaedah mengenali Allah s.w.t. melalui kaedah Ilmu Sifat Dua Puluh. Zaman Imam Shafei pula bekaitan dengan memahami hukum hakam dalam Islam. Beliau memperkenalkan Usul Fiqh dan Qawaidul Fiqh. Imam Fakhruddin mengenai Ilmu Al Quran dan Imam Al Ghazali mengenai penggabungan ilmu atau menyatukann ilmu. Dan begitulah seterusnya. Amat besar jasa para Mujaddid dan Mujaddid juga dijamin kejayaan dalam perjuangan mereka kerana mereka adala pemimpin yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Kita berada diawal kurun ke 15.
Seorang Mujaddid telah muncul diawal kurun ini. Hanya tidak diketahui siapa orangnya. Kemungkinan besar ini adalah Mujaddid terakhir menjelang kiamat. Mujaddid akhir atau Mujaddid bongsu ini ada keistimewaan tersendiri. Diantaranya Mujaddid bongsu ini diberi kuasa pemerintahan. Perjuangannya bensambung kezaman empayar Islam pimpinan Al-Mahdi.
Beliau juga adalah orang kanan Al-Mahdi bergelar Putera Bani Tamim(PBT). Perjuangan PBT bersama Al-Mahdi inilah bakal mengambil alih semula Baitul Muqaddis setelah terlebih dahulu ditawan sepenuhnya oleh Israel. Banyak hadis-hadis mengenai Mujaddid termasuk PBT yang sangat tidak difahami oleh para ulama sezaman kecuali diri Mujaddid itu sendiri faham kerana difahamkan secara ilham oleh Allah swt.
Di kalangan Mujaddid hanya dua orang sahaja yang diberi keistimewaan kuasa pemerintahan iaitu Umar Ibnu Abd Aziz, selaku Mujaddid pertama di kurun kedua dan Mujaddid bongsu Putera Bani Tamim di kurun ke 15 ini. Peranan PBT ini amat besar kerana dizamannya umat Islam menghadapi berbagai masalah. Seolah-olah seluruh masalah dizaman Mujaddid terdahulu semuanya terhimpun dizaman Mujaddid bongsu ini.
Oleh itu Mujaddid bongsu ini diberi kelebihan untuk mampu mengatasi semua masaalah yang banyak serta berbagai jenis itu.

Mengapa Yahudi takut dan berusaha memusnahkan Mujaddid bongsu ini namun gagal?
Yahudi gagal memusnahkan Putera Bani Tamim kerana atas faktor janji Tuhan. Kalau bukan atas faktor janji Tuhan semasa diawal perjuanganya sudah dimusnahkan. Namun Tuhan membela biarpun Yahudi usahakan melalui berbagai cara. Hasil dari kegagalan usaha untuk memusnahkan PBT itu, membuatkan Yahudi semakin yakin terhadap PBT serta yakin akan kekalahan dipihak mereka. Yang tidak yakin hanyalah umat Islam.
Para ulama turut menyumbang dalam menjadikan umat Islam ragu terhadap Mujaddid PBT ini. Begitu juga terhadap Al-Mahdi. Secara licik Yahudi melahirkan Al-Mahdi palsu sebagai mana liciknya Yahudi melahirkan Mustapha Kamal Atatturk yang maha zalim itu. Hingga natijah dari ramainya Al-Mahdi palsu maka Al-Mahdi sebenarnya pun turut ditolak oleh umat Islam. Namun atas faktor janji Tuhan maka PBT serta Al Mahdi tetap muncul dan bakal menguasai dunia sekaligus mengalahkan Yahudi.

Mengetahui situasi inilah maka Yahudi amat takut kepada dua tokoh simpanan Allah s.w.t. di zaman ini. Kerana melalui pimpinan PBT serta Al-Mahdi inilah umat Islam akan membangunkan empayar kali kedua. Bumi penuh dengan keadilan, kemakmuran aman dan sejahtera setelah menamatkan cengkaman angkara kezaliman Yahudi.
Kepada dua pimpinan inilah sumber kekuatan umat Islam yang bukan kekuatan lahiriah tetapi kekuatan rohaniah, karamah atau bantuan Allah. Cuba kita renungkan sejenak, Yahudi ada tempat bersandar kekuatan iaitu Amerika dan Presiden Amerika, dipihak umat Islam mahu bersandar kepada siapa? Mana pemimpin dan negara sandaran bagi umat Islam?
Semuanya sudah djinakkan oleh Yahudi semenjak ratusan tahun yang lalu melalui berbagai cara terutamanya sistem ideologi yang sangat terpisah dari Tuhan. Akibatnya iman, taqwa, perpaduan dan syariat Tuhan amat terpinggir dari kehidupan umat Islam. Tuhan sudah tidak dibawa campur tangan dalam menghadapi kekuatan Yahudi.
Ramainya jumlah umat Islam, minyak, kuasa beli, sumber asli semuanya tidak menjadi kekuatan untuk menentang Yahudi kerana tiada pemimpin, tiada iman,tiada taqwa dan tiada perpaduan. Lebih-lebih lagi amat jauh dari bantuan dan pertolongan Allah s.w.t. yang merupakan sumber kekuatan paling utama.
Semua kekuatan itu, yakni bantuan dan pertolongan Allah s.w.t., pemimpin, iman, taqwa dan perpaduan hanya akan dikembalikan oleh PBT dan Al-Mahdi, dua tokoh yang amat ditakuti juga amat dimusuhi oleh Yahudi. Bani Israel sudah pernah membunuh para Nabi. Maka tidak hairan mereka juga mahu membunuh Al Mahdi dan PBT.
Malang sungguh umat Islam termasuk ulama kerana turut sama memusuhi tokoh yang bakal menyelamatkan seluruh umat Islam. Kalau beginilah sikap umat Islam, kita sama-sama lihat Yahudi akan terus mengganas tanpa ada kuasa dunia dapat menghalangnya termasuk PBB.
Ingatlah wahai sekalian manusia, sesungguhnya tentera Allah s.w.t. adalah lebih canggih dari kekuatan tentera musuh-musuh Islam. Hanya dengan sekelip mata sahaja Allah s.w.t. akan memusnahkan musuh-musuhnya. Namun, Allah s.w.t. masih memberi peluang kepada mereka agar menerima Islam dan bertaubat untuk mengesakan Allah s.w.t. Akhirnya seluruh dunia akan berkata yang sebenar-benarnya pengganas ialah Zionis Israel.

Isnin, 22 Februari 2010

Membongkar Tarikh Kelahiran Sebenar Nabi Muhammad S.A.W. :

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi PenyayangPuji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Di antara cuti umum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia ialah pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia dianggap sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (Maulidur Rasul).

Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda s.a.w. yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal.

Keadaan ini tentunya menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi s.a.w..

Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungan-nya? Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi s.a.w. berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas.

Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jld. 2, hal. 144)

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah."Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajjal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb. Rabi'ul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabi'ul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan.

Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah: · Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah s.a.w. iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu berusia 63 tahun. · Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi. · Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi s.a.w. jatuh pada tahun 571M. Berdasarkankira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabi'ul Awwal menepati 12hb. April 571M. ·

Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi s.a.w., walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal. Mereka hanya berselisih tentang tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan dalam bulan Rabiul Awwal tersebut.

Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabi'ul Awwal bersamaan 20hb. April 571M.

Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas. Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6), Safiyyul Rahman Al Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal. 54), 'Allamah Sibli Nu'mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176), Maulana Abul Kalam Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan dihadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu: · Tahun kewafatan Baginda s.a.w. ialah 11H.· Dalam bulan Rabiul Awwal. · Antara 1hb. hingga 12hb. · Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52). · Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll). · Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w. seperti berikut :

1. Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.

2. Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabi'ul Awwal.

Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabi'ul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M Berdasarkan fakta-fakta yang telah kami kemukakan, pihak kami berharap agar ketetapan hari lahir Nabi Muhammad s.a.w. yang ditentukan sebagai hari cuti umum itu dikaji dan diubah kepada tarikhnya yang sebenar kerana amatlah malang dan memalukan sekali kita orang-orang Islam jika kita merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)

MINDA DR. MAZA

ISU perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik. Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut. Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w.

Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi'ul Awwal. Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi'ul Awwal. Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi'in dan tabi al-tabi'in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada 'Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad 'Abd al-Qadir Abu Faris: "Pada pendapat kami -Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala "dia Allah" dan dia satu dari yang tiga. Tujuan 'Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan jenerasi kemudian menyeleweng" (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan). Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.

Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai. Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w. Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka.

12 Rabi'ul Awal - Hari Yang Paling Istimewa :


BIODATA YANG SEPATUTNYA
TIDAK DILUPAI OLEH SETIAP MUSLIM :

MAKAM NABI MUHAMMAD S.A.W. IBNU ABDULLAH

Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman iaitu seorang hamba perempuan kepada bapa Rasulullah s.a.w.).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah dan suaminya bernama Abu Kabsyah).
USIA 5 TAHUN· : Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.
USIA 6 TAHUN· : Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah s.a.w.) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN· : Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan baginda telah dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 : TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun). Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi dikalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN· : Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , Jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad s.a.w. ialah14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN· : Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.· Baginda s.a.w. bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang ketika itu sudah berusia 40 tahun. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN·: Banjir besar telah melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.· Rasulullah s.a.w. diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ketempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN· : Menerima wahyu di gua Hira' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
USIA 53 TAHUN· : Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq.· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622 Masihi.
USIA 63 TAHUN ·: Kewafatan Rasulullah s.a.w. di Madinah al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah bersamaan 8 Jun 632 Masihi.
ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W. :-
1. Khadijah Binti Khuwailid.
2. Saudah Binti Zam'ah.
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
4. Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
7. Zainab Binti Jahsy.
8. Maimunah Binti Harith.
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
10. Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' yang bermaksud "Ibu Orang Miskin").
ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W. :-
1. Qasim.
2. Abdullah.
3. Ibrahim.
4. Zainab.
5. Ruqaiyah.
6. Ummi Kalthum.
7. Fatimah Al-Zahra'.

ANAK TIRI RASULULLAH S.A.W. :-
1. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN :-
1. Thuwaibah :
(1) Hamzah.
(2) Abu Salamah, Abdullah bin Abdul Asad.
SAUDARA SUSUAN :-
1. Halimah Al-Saidiyyah :
(1) Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib.
(2) Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza.
(3) Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza.
(4) 'Aisyah binti Harith bin Abdul 'Uzza.

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH S.A.W.
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB) :-
1. Al-Harith.
2. Muqawwam.
3. Zubair.
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib.
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza).
8. Abdul Ka'bah.
9. Hijl.
10. Dhirar.
11. Umaimah.
12. Al-Bidha (Ummu Hakim).
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah.
16. Barrah.
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam).
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. : "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintaiaku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama' Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda. Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah :

- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah s.a.w.

- Aku melihat cahaya dari lidahnya.

- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.

- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.

- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.

- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.

- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.

- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.

- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.

- Wajahnya bagaikan bulan purnama.

- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.

- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.

- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.

- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan aslidi bahagian sudut.

- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekalipertama kali melihatnya.

- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.

- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.

- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.

- Janggutnya penuh dan tebal menawan.

- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.

- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.

- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.

- Rambutnya sedikit ikal.

- Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu tapi disisir rapi.

- Rambutnya terbelah di tengah.

- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.

- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa.

- Seimbang antara kedua bahunya.

- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.

- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.

- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.

- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.

- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.

- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.

- Warna putihnya lebih banyak.

- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.

- Warna kulitnya putih tapi sihat.

- Kulitnya putih lagi bercahaya.

- Bentuk badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh (tegap).

- Badannya tidak gemuk.

- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.

- Perutnya tidak buncit.

- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan orang ramai baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka.

KESIMPULANNYA : Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.

Kata-kata hikmat :Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak.


Antara Kisah Rasulullah S.A.W. Sebagai Pengajaran :

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga".

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Putih yang kemerah-merahan' ) Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah". Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini" tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia". "Aku tidak bertanyakan alasanmu", sahut Nabi s. a.w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan lemah lembut terhadap isterinya". Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain dalam solat amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar". "Ya Rasulullah.. mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak".

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH s.w.t. dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah s.a.w. menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur".

Rasulullah s.a.w. bersabda,"SAMPAIKAN LAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT".


Ahad, 21 Februari 2010

Oleh SUZALIE MOHAMAD

GAGASAN 1Malaysia adalah kesinambungan daripada agenda perjuangan negarawan terdahulu demi melihat Malaysia mencapai status negara maju dan aman. Status yang hendak dicapai itu adalah berlandaskan acuan sendiri yang membezakan pendekatan asimilasi seperti mana dilaksanakan di kebanyakan negara-negara maju lain yang mana identiti kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan identiti nasional yang sama. Melenyapkan dan menggantikan etnik bukan pendekatan gagasan 1Malaysia.

Prinsip utama gagasan itu adalah memanfaatkan keunikan kepelbagaian kaum sebagai satu kekuatan yang menjana pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus memahami hasrat pendekatan itu supaya keamanan dan kestabilan negara dapat dicapai. Hanya apabila setiap rakyat dari latar belakang kaum, agama dan fahaman yang pelbagai bersatu padu, barulah Malaysia akan terus maju dan aman.

Gagasan itu bertujuan membudayakan rakyat bersikap menerima seadanya keunikan kepelbagaian kaum agar dapat hidup bersama dan saling hormat menghormati. 1Malaysia adalah pendekatan serampang dua mata untuk memberi keadilan sosial kepada semua lapisan kaum dan juga pemantapan negara dan bangsa. Melalui strategi itu, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengutamakan kepentingan rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan perkongsian nikmat secara bersama tanpa ada yang berasa terpinggir.

Dokumen rasmi 1Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa 1Malaysia adalah satu wadah untuk meneruskan agenda membina negara seperti mana yang telah dipelopori oleh pemimpin terdahulu. Demi pembinaan negara bangsa, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu. Hanya dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, barulah ia boleh membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan lancar.
Perkara itu ditegaskan dalam surah Al-Imran, ayat 103 bahawa perpaduan itu adalah satu anugerah besar daripada Allah SWT yang sewajarnya dimanfaatkan manusia. Dalam ayat itu, kita dilarang memecahbelahkan masyarakat yang boleh membawa kepada permusuhan. Pengajaran daripada ayat itu boleh kita kaitkan dalam konteks 1Malaysia iaitu kita hendaklah berpegang teguh kepada prinsip hidup secara berjemaah dan mendukung agenda perpaduan serta pembangunan negara. Kita hanya boleh hidup secara berjemaah apabila kita bersatu padu. Apabila hidup bersatu padu dapat dijalinkan, maka pecah belah dapat dielakkan, paling tidak melalui perundingan, bukannya pergaduhan.

Perpecahan, permusuhan dan benci membenci sungguh merugikan negara dan bangsa. Sejarah silam telah menunjukkan bagaimana sebuah negara itu musnah dan tergadai akibat perpecahan dan perselisihan rakyatnya.

Menurut beliau, ahlul kitab Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah berpecah dan berselisih faham kerana tersasar daripada menegakkan pangkal kefahaman tentang keesaan Allah sehinggalah tercetus perselisihan penafsiran di antara mereka tentang Allah.

Dalam dunia Kristian, perselisihan itu telah memecahbelahkan mereka tentang Nabi Isa AS kerana ada golongan yang mempertahankan bahawa Nabi Isa AS itu hanyalah manusia yang mulia, Rasul Allah dan dia bukan Tuhan. Tuhan hanya satu iaitu Allah. Di samping itu, timbul pula fahaman bahawa Isa itu sendiri Allah, yang menjelmakan diri menjadi anak, lalu datang ke dunia. Kerana perbezaan fahaman itulah, maka perpecahan gereja berlaku antara gereja Inggeris dan gereja Katholik di Britain.

Kekuatan negara menjadi lemah akibat perpecahan rakyat dan boleh mengundang musuh luar mengambil peluang daripada kelemahan itu. Sejarah silam telah menceritakan bagaimana perebutan kuasa antara Bani Abbas (Khalifah Abbasiyah) dan Bani Umayyah (Khalifah Umayyah) telah menyebabkan kerugian jiwa dan kehancuran sebuah Khalifah Islam.
Perpecahan itu telah menyebabkan tentera Tartar dan Mongol di bawah pimpinan Hulako menawan kota Baghdad. Begitu juga halnya peristiwa pertumpahan darah kerana perselisihan perkara dunia dan perebutan kuasa antara Saidina Ali dan Mu'awiyyah di medan perang Siffin menyebabkan 35,000 tentera Ali menemui ajal manakala tentera Mu'awiyyah, 45,000 orang. Inilah beberapa akibat perpecahan dan perselisihan yang boleh mengundang kehancuran yang dapat dijadikan pengajaran.

Gagasan 1Malaysia adalah selaras dengan tuntutan agama Islam. Hasrat murni 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', adalah hasrat yang bagus bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat. Mengutamakan kepentingan rakyat dalam urusan pemerintahan telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa Baginda mendirikan kerajaan awal Islam di Madinah.
Rasulullah SAW berjaya menyatukan kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi dengan memeteraikan perjanjian yang meletakkan asas penjagaan dan kepentingan rakyat sebagai satu kewajipan yang diutamakan. Penelitian dalam sirah Rasulullah mendapati bahawa Nabi Muhammad SAW lebih mementingkan umat daripada diri sendiri, kaum kerabat dan para sahabatnya.

Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, semasa menyampaikan pandangan beliau pada Syarahan Perdana bertajuk 'Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Menuju Gagasan 1Malaysia' menyatakan bahawa strategi membina semangat 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina kesepaduan rakyat Malaysia adalah terjemahan daripada pendekatan Islam. Beliau menegaskan bahawa faktor agama adalah pemangkin sebenar realiti ke arah pencapaian gagasan 1Malaysia. Sekiranya penghayatan kepada pengurusan agama dibuat dengan baik, maka politik, ekonomi dan perpaduan akan bertambah mantap. Oleh itu, menurut beliau pemahaman mengenai gagasan 1Malaysia penting kerana jika tidak dijelaskan dengan betul, akan ada takrifan tertentu yang boleh membawa kepada pemahaman salah.

Selain selaras dengan kehendak Islam, gagasan 1Malaysia juga seiring dengan Wawasan 2020. 1Malaysia akan merealisasikan setiap cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 sekali gus meletakkan teras perpaduan rakyat sebagai landasan kemajuan dan keamanan negara. Intipati gagasan itu merupakan satu nilai murni yang dituntut dalam agama Islam.
Sebanyak tiga cabang akan diterapkan ke dalam amalan kemasyarakatan dan perlu dihayati oleh setiap rakyat iaitu penerimaan, mendukung prinsip kenegaraan dan keadilan sosial. Ketiga-ketiga teras itu amat penting kerana ia akan memastikan rakyat dapat bersama-sama pemerintah merealisasikan kesemua rancangan pembangunan demi kepentingan rakyat dan negara.

Seiring dengan pelaksanaan teras itu dalam amalan kerajaan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, rendah hati (tawaduk), kesederhanaan, dan berbudi bahasa akan dibudayakan dalam hubungan antara rakyat dan pemerintah.

Keutamaan akan diberikan kepada semua lapisan rakyat tanpa meminggirkan tahap prestasi dan kualiti penyampai perkhidmatan di pihak kerajaan. Aspek-aspek seperti perpaduan, kualiti, kepentingan rakyat, kemajuan, keamanan negara, masyarakat beretika dan berpegang kepada agama, kesemuanya terkandung di dalam gagasan itu yang selaras dengan ajaran dan tuntutan Islam.

Penulis ialah Fellow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Muhasabah Menyambut Maulidur Rasul :

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

Ironinya menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini.
Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam.

Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia keseluruhannya".

Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan dengan seruan untuk mentauhidkan Allah s.w.t. serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa olehnya.

Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. .

Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.

Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman a.s., sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad s.a.w. pun sukar untuk diperoleh.
Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.
Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak.
Bukankah Allah s.w.t. dengan jelas menyatakan dalam surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. .

Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. . Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam.

Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral. Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad s.aw. diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. .

Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa.

Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. . Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat. Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

MAULIDUR RASUL MENGUKUHKAN PERPADUAN :

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

TERSENTAK hati dan rasa kesal kerana ada di kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai fadilat dan menyimpang. Setelah tradisi berjalan sekian lama, hanya sambutan kali ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu.
Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda?
Dengan mengingati kelahirannya, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin umat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?
Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentang sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penuh keinsafan, berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid'ah maka bid'ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa pelaku bid'ah itu mencintai Nabi. Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.
Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita.
Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.

Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri.
Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari Allah' yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)." (maksud Surah Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri.

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Jom Kita Mendaftar Sebagai Ahli PERKASA :

PERKASA :

Secara ringkas tujuan penubuhan Perkasa ialah untuk menyediakan landasan bagi kaum peribumi untuk menegakkan hak2 mereka tanpa mengira fahaman politik. Perkasa akan bertindak sebagai badan berkecuali untuk menangani isu2 semasa yang membabitkan pribumi e.g soal kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dll.
Cadangan nama asal “Pertubuhan Pribumi Perihatin (PERIHATIN)” telah diubah kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) setelah ada yang hadir mengatakan nama PERIHATIN telah pun digunakan oleh pertubuhan terdahulu.
Di akhir majlis, Dato’ Ibrahim Ali telah dilantik sebagai Presiden dan Dato’ Fuad Hassan sebagai Timbalan Presiden pro-tem committee sehingga lah mesyuarat agung pertama diadakan dalam masa sebulan.
1.0 LATAR BELAKANG :

1.1 Selain daripada Sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, sejarah Melayu baru belum sempat merasai nikmat kebangitan tamadunnya yang panjang semenjak mencapai kemerdekaan. Gagasan penjajahan yang memaksa bangsa itu menerima hakikat kompromi sosio-ekonomi-politik, kini mulai merasakan kesan hubungan yang akan menjadi corak kestabilan Malaysia.

1.2 Pribumi berkeyakinan “kompromi paksaan” itu tidak wajar meleburkan hak dan identiti bangsa teras sebagai pra-syarat muafakat bangsa Malaysia baru. Corak perubahan kuasa pribumi akibat persaingan sengit politik yang mengatasi semangat permusyawarahan, merungkai kekuatan teras bangsa ini sehingga bakal menjadi serpihan-serpihan pribumi yang lemah dan hilang kuasa tawar menawar.

1.3 Fenomena penjajahan bentuk baru datang pula menyergah dengan memaksakan liberalisasi dan globalisasi disaat belum pun sempat bangsa pribumi ini memperkukuhkan sendi-sendi Agama, ekonomi, budaya, nilai dan jatidirinya. Kewujudan talibarut penjajah baru di kalangan pribumi sendirilah yang mempengaruhi pemikiran generasi baru Melayu kearah pemikiran global dan universal sehingga hilang “rasa bangsa” dan “rasa agama” serta beradat budaya sendiri. Kaum-kaum pendatang kemudiannya, yang memiliki akar-umbi kuat dari tamadun negara asalnya, dalam kebebesan dan kepelbagaian Malaysia, terus rakus mempastikan penaklukan ekonomi dan seterusnya mencabar kuasa politik prinbumi yang menjadi satu-satunya tunggak kestabilan Negara.

1.4 Tidak banyak Negara didunia yang memiliki komposisi kaum yang unik seperti Malaysia dapat kekal lama mengharungi konflik dan percaturan hubungan kaum majoriti terhadap minoriti. Hanya dengan pemahaman dan penerimaan terhadap sejarah perjuangan bangsa, tolenransi dan muafakat kaum pribumi serta penghormatan perjanjian social oleh kaum-kaum lainnya barulah usaha membangunkan bangsa Malaysia mengikut acuan yang tersendiri akan berjaya.

1.5 Diatas kesedaran inilah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang didaftarkan oleh pendaftar pertubuhan pada 12hb September, 2008, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bertekad untuk menyedarkan kealpaan bangsa terhadap hak dan tanggungjawab mereka dari kemunduran yang berselimutkan kemajuan. PERKASA bertanggungjawab bagi melindungi hak-hak ini untuk diwariskan kepada generasi pribumi khususnya dan Malaysia umumnya supaya hidup aman dan kekal sepanjang zaman. Hak-hak bangsa pribumi yang dilindungi perlembagaan hanyalah dapat kekal selama “angka” kerusi TERAS politik pribumi dapat terus bertahan dalam jumlah yang mencukupi dan tidak berpecahbelah.

2.0 TUJUAN PENUBUHAN PERKARA (FASAL 4) :

2.1 Memperkasakan Islam Sebagai Agama Persekutuan.
2.2 Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
2.3 Memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
2.4 Mempertahankan hak-hak keistimewaan Orang Melayu.
2.5 Memperkasakan kaum Pribumi.
2.6 Menyatupadukan kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia.
2.7 Mempertahankan kedaulatan Negara

AHLI JAWATANKUASA PENAJA PERKASA :

Presiden Dato’ Ibrahim Ali
Timbalan Presiden Dato’ Fuad Hassan
Naib Presiden Datuk Ruhainie Ahmad
Naib Presiden Datuk Hj. Shuaib Hj. Lazim
Naib Presiden Dato’ Mokhtar Samad
Setiausaha Agung Syed Hassan Syed Ali
Pen. Setiausaha Agung
Bendahari Datuk Abd. Rahman A. Bakar
Ketua Penerangan Datuk Ruhainie Ahmad

Ahli Jawatankuasa Salahuddin Hisahm
Mohd. Rozal Abd. Rahman
Mohd. Radzi Mustafa
Hjh Foziah Dato Nawawi
Raizul Azmi Zulkeply
Yusof Merah
Ahmad Jaddawi Ghazali
Selamat SaimonDaud Ibrahim
Raizul Azni Zolkepli
Wan Ahmad Talib
Kpt. Don Abdullah
Hanisha Izaireen
Zanuddin Salleh
Jismi Azahari Johari

Keahlian :

1) Setiap Borang Pendaftaran perlu disertakan bersama dengan Yuran Keahlian dan Pendaftaran sebanyak RM10.00 untuk seumur hidup ( sekali bayaran sahaja).

2) Pembayaran boleh dibuat melalui :
a) wang pos atau cek dibuat atas nama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau
b) kreditkan ke dalam akaun pertubuhan iaitu
Bank RHB ( Cawangan KLCC ) Akaun No: 2141 3800 1207 53.

3) Setelah membuat pembayaran secara online atau ‘cash deposit’, sila maklumkan pembayaran melalui talipon 03-26944102/5102, pejabat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, 10-6-6 level 10,Grand Season Avenue,72 Jalan Pahang, 53000 Kuala Lumpur.

4) Pastikan anda menyatakan butir-butir anda seperti nama, no K/P dan nombor telefon apabila membuat pangilan.

Kami sentiasa mengalu-ngalukan penglibatan kaum bumiputera dalam pergerakan kami.
Terima kasih.
Setiausaha Agung.

Perkahwinan Boleh Elak Maksiat :

Perkahwinan Boleh Mengelakkan Manusia Terjerumus Dalam Maksiat :


DARIPADA Jabir, katanya dia mendengar Nabi bersabda: "Apabila ada antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya bagi melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya." (Hadis riwayat Muslim)


Perkahwinan adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung, bahkan tempat beristirahat, membina kasih sayang dan mencari keredaan Allah.
Sesungguhnya, manusia perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi dan fitrah dijadikan Allah. Maka atas tuntutan itu, tanpa adanya perkahwinan, manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat.

Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan menggalakkan umatnya berkahwin seperti mana sabda Rasulullah: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu). (Hadis riwayat Bukhari)

Sabtu, 20 Februari 2010

Umat Islam Disaran Hulur Bantuan Kepada Rakyat Palestin Yang Dizalimi Israel :

Saling membela, berkasih sayang erat ukhuwah :
Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

PERSAUDARAAN Islam antara tonggak terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Sejarah Islam sudah memahatkan episod gemilang generasi Rasulullah SAW yang mengangkat martabat Islam ke mercu paling tinggi pada zaman permulaannya.
Masyarakat Islam berpaksikan pada prinsip persaudaraan dalam menghadapi pelbagai situasi seperti peperangan, perdamaian, penghijrahan dan perniagaan. Islam menganjurkan umat Islam membina persaudaraan dalam mesej utama kepada umatnya.
Biarpun berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa, ia bukanlah batu penghalang ke arah itu dan Islam tetap menyatukan mereka atas dasar iman serta takwa kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Ada dua prinsip utama mesti dipelihara setiap Muslim dalam membina persaudaraan sebagai pemangkin ke arah kekuatan dan kejayaan umat Islam iaitu prinsip saling membela serta prinsip saling berkasih sayang.
Prinsip saling membela bererti setiap Muslim tidak akan sama sekali membiarkan saudaranya direndahkan atau dihina. Dia juga tidak akan membiarkan saudaranya menghadapi bahaya sendirian melainkan wajib baginya untuk membantu, menolong, memperkuat, membela dan melindunginya.
Ini termasuk menjaga rahsia, memelihara aib masing-masing, menolong bila ditimpa musibah atau bahaya terhadap harta, jiwa dan kehormatannya.
Perlu ditegaskan rahmat dan pertolongan Allah hanya akan dikurniakan kepada orang beriman jika dia mempunyai komitmen kuat untuk membela dan membantu orang lemah seperti fakir miskin, membela orang difitnah dan dizalimi.
Sehubungan itu, Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kalian hanya akan dibantu dan diberikan rezeki oleh Allah jika kalian semua membela orang yang lemah." (Hadis riwayat Bukhari)
Membantu golongan fakir miskin bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada anugerah Allah seperti harta, ilmu dan sebagainya untuk mengangkat taraf kehidupan mereka. Sementara membela orang dizalimi dan difitnah menuntut setiap Muslim berusaha membersihkan nama baik mereka.
Di samping itu, orang yang zalim juga harus dibela seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Bantulah saudaramu yang zalim mahupun yang dizalimi. Jawab sahabat: Kami akan membantunya sewaktu dia dizalimi, bagaimana pula kami akan membantunya bila dia berlaku zalim? Ujar Rasulullah: Kamu menegahnya daripada perbuatan zalimnya itulah erti membantunya." (Hadis riwayat Bukhari)
Oleh itu, marilah bersama membantu dan menghulurkan pertolongan kepada saudara kita di Palestin berdasarkan kemampuan yang ada.
Inilah masanya dan giliran untuk membantu meringankan beban serta penderitaan dihadapi daripada segi kewangan, makanan, pakaian, perubatan dan doa supaya mereka lebih tabah, sabar serta diberikan kekuatan menghadapi kekejaman rejim zionis Israel yang zalim.
Umat Islam juga boleh mengambil tindakan memboikot barangan Amerika dan sekutunya sebagai tanda sokongan padu kepada warga Palestin yang kini berjihad mempertahankan maruah dan tanah air tercinta.
Prinsip kedua pula iaitu kasih sayang yang harus didasarkan atas keredaan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang di kalangan kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Prinsip berkasih sayang asasnya meniupkan semangat besar dalam jiwa setiap Muslim bersama meringankan kesulitan hidup dialami saudaranya Muslim, bahkan turut sama mencari jalan menyelesaikan kemelut dan masalah umat.
Sejarah Islam mengabadikan wujudnya model unggul ukhuwah Islamiah yang ditampilkan kaum Ansar yang amat mencintai kaum Muhajirin. Lantas mereka sanggup membahagikan sama rata harta, tanah, barang dagangan, bahkan isteri kepada kaum Muhajirin yang sangat miskin.
Akhirnya kisah pengorbanan penuh gilang gemilang ini diabadikan Allah dalam al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud: "Orang tinggal di kota Madinah dan beriman (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang terpelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang beruntung." (Surah al-Hasyr, ayat 9)
Inilah contoh teladan persaudaraan tulen tiada tolok bandingnya terukir dalam sejarah Islam sehingga setakat ini yang diasaskan atas dasar akidah yang satu ditujukan khusus kepada Allah Maha Esa semata-mata, bukannya mengharapkan kepentingan duniawi atau manfaat bersifat sementara cuma.
Jelaslah, bagaimana Islam berjaya memupuk persaudaraan di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin sehingga mereka saling bekerjasama, duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi tanpa memandang kepada kelebihan pangkat dan keturunan.
Malah, mereka saling hormat menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain sehingga mampu membentuk masyarakat yang bersatu dan kuat serta unggul dalam segala lapangan hidup. Mereka berjaya menonjolkan diri sebagai kuasa besar baru mengatasi kehebatan Rom dan Parsi serta berjaya menyebarkan risalah keadilan Islam kepada seluruh manusia.
Islam mengajar umatnya ikatan penghubung antara umat Islam adalah ukhuwah Islamiah, bukan kesukuan, kebangsaan atau kepartian kerana Islam adalah satu-satunya ikatan yang diwajibkan oleh Allah kepada setiap Muslim.
Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk meyakini setiap mereka adalah bersaudara. Firman Allah bermaksud: "Bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Sumber Rujukan :
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20100207234836/Article/