Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Jumaat, 7 Mei 2010

ANTARA MUSUH UTAMA ORANG BERIMAN - "SYAITAN" :

-JANGAN BERKAWAN DENGAN SYAITAN-
11 PERKARA AMALAN HARIAN SYAITAN :

Allah s.w.t. telah menyuruh kita menjadikan syaitan sebagai musuh.
Firman Allah s.w.t. :
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu). (6:35 al-Fatir).
Boleh dikatakan bahawa semua manusia akan mengakui bahawa syaitan sebagai musuhnya. Namun, tidak ramai di antara kita yang mengetahui bagaiman cara untuk menghadapi syaitan dan di manakah ruang-ruang yang syaitan boleh masuk pada diri setiap makhluk yang bergelar manusia. Dalam ruangan ini merupakan di antara sebahagian dari ruang-ruang yang perlu tutup atau berjaga-jaga agar kita tidak diperdayakan oleh syaitan yang tidak mampu kita melihatnya selain dengan keizinan Allah s.w.t. Antaranya ialah :
1. SYAITAN BERMALAM DI DALAM HIDUNG :
Sabda baginda s.a.w. : "Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya hendaklah dia memasukkan dan mengeluarkan air dari hidungnya tiga kali. sesungguhnya syaitan bermalam di dalam lubang hidungnya". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
2. SYAITAN KENCING DI DALAM TELINGA :
Apabila diberitahu kepada Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajud dan bangun ketika waktu subuh, Nabi s.a.w. bersabda : "lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya". (Hadis Sahih Bukhari & Muslim).
3. SYAITAN MASUK DALAM MULUT YANG TERBUKA KERANA MENGUAP :
"Apabila seseorang menguap, hendaklah dia menutup dengan tangannya. Sesungguhnya syaitan masuk ke dalam mulutnya yang terbuka". (Hadis Sahih Muslim).
4. SYAITAN KETAWA MELIHAT MANUSIA YANG BERKATA "AAAAAH" SEMASA MENGUAP :
Nabi s.a.w. bersabda : "Janganlah seseorang itu berkata "aaaaah" semasa menguap. Syaitan akan ketawa bila dia membuka mulut semasa menguap.
5. MEMAKI ORANG MEMBANTU SYAITAN MEROSAKKAN MANUSIA :
Seorang lelaki mencela seorang yang dikenakan hukuman sebat kerana minum arak. Nabi s.a.w. bersabda : "Jangan kamu berkata sedemikian kepada orang yang dihukum. Janganlah kamu membantu syaitan merosakkkan dia". (Hadis Sahih Bukhari).
Moralnya di sini ialah : Janganlah kita memaki atau menghina seseorang walaupun sudah jelas kesalahannya. Memaki hamun dalam apa jua keadaan adalah dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w.
6. SYAITAN TIDAK MASUK RUMAH YANG DIBACA SURAH AL-BAQARAH :
Nabi s.a.w. bersabda : "Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah". (Hadis Sahih Muslim).
Pengajarannya : Bagi sesiapa yang baru masuk rumah atau rumahnya diganggu, maka digalakkan untuknya membaca surah al-Baqarah beramai-ramai.
7. SYAITAN MAKAN DARI MAKANAN YANG TIDAK DIBACAKAN BISMILLAH DAN BERMALAM PADA RUMAH YANG TIDAK DIMASUKI DENGAN BISMILLAH :
"Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya dan menyebut nama Allah semasa masuk dan menyebut nama Allah semasa makan. Syaitan akan berkata kepada konco-konconya, [kamu tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam]. Apabila dia masuk kerumahnya tanpa menyebut nama allah, syaitan akan berkata: [kamu semua mendapat tempat bermalam]. Apabila dia tidak menyebut nama Allah semasa makan, syaitan akan berkata: [kamu mendapat makan malam dan tempat bermalam]". (Hadis Muslim).
8. MAKANAN JATUH YANG DIBIARKAN ADALAH HABUAN SYAITAN :
"Apabila jatuh sebahagian suapan makanan kamu, hendaklah kamu buang kotoran yang melekat pada makanan dan hendaklah dia makan. Jangan biarkan ia dibiarkan untuk dimakan oleh syaitan". (Hadis Muslim).
9. SYAITAN PENGGANGGU SOLAT :
Suatu hari, Amru bin al-As mengadu kepada Rasulullah s.a.w. : "Ya Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah mengganggu ku bersolat dan menimbulkan was-was dalam bacaanku". Maka Rasulullah s.a.w. pun menjawab : "Itulah syaitan yang dipanggil khinzab. Apabila engkau merasai gangguannya hendaklah engkau minta perlindungan dari Allah dan ludah ke kirimu tiga kali". Amru berkata : "Aku melakukan apa yang Rasulullah s.a.w. sarankan, lalu Allah menghilangkan segala gangguan syaitan tersebut". (Hadis Muslim).
10. MINUM BERDIRI BERSAMA SYAITAN :
Nabi s.a.w. bertanya kepada orang yang minum berdiri : "Adakah engkau suka minum bersama dengan kucing?". Dia menjawab ; "Tidak". Nabi s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya kamu telah minum dengan makhluk yang lebih teruk dari kucing atau syaitan". (Hadis Ahmad).
11. SYAITAN SEMAKIN BESAR BILA DIMAKI :
Seorang sahabat Nabi s.a.w. telah memaki syaitan apabila tunggangannya terjatuh. Nabi s.a.w. bersabda : "Janganlah kamu berkata: "Celaka Syaitan". Kalau kamu berkata begitu, syaitan akan berasa besar diri seperti rumah dan berkata: "mendapat kekuatanku", tapi hendaklah kamu berkata: "Bismillah" (Dengan nama Allah). Apabila berkata sedemikian, syaitan akan jadi hina sehingga seperti lalat". (Hadis Abu Daud)
Ingatlah, bahawa syaitan akan cuba menyesatkan manusia selagi nyawa manusia itu dikandung badannya. Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya syaitan berkata : "Demi kemuliaanmu wahai tuhan (Allah), aku (syaitan) akan sentiasa menyesatkan hamba-hamba-Mu (Allah) selagi mana nyawa berada di tubuh mereka". Tuhan (Allah) menjawab: "Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, aku akan sentiasa mengampunkan mereka sebagaimana mereka meminta keampunan kepadaKu". (Hadis Riwayat Ahmad).

Tiada ulasan: