Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Sabtu, 7 November 2009

IBLIS & SYAITAN, MUSUH NO.1 UMAT ISLAM :

ANTARA 12 PINTU
YANG SERING DIGUNAKAN SYAITAN
UNTUK MENGHANCURKAN MANUSIA :

Untuk mencapai kecemerlangan, tipu daya syaitan perlu dikenali dan diawasi kerana syaitan merupakan musuh utama kita dan syaitan sentiasa mencari kesempatan untuk menyerang dan merosakkan manusia. Jambatan yang seringkali digunakan oleh syaitan untuk merosakkan kita ialah hati-hati kita. Syaitan mengganggu hati-hati manusia mendatangkan was-was dihati itu sehingga melahirkan manusia yang keliru, manusia yang tidak menentu cara fikir dan halatuju hidupnya sehingga natijahnya mereka terbabas dan berkemungkinan juga mereka menjadi sesat.
Justeru kita perlu mengenali dan mengawasi strategi iblis dan syaitan. Mengikut Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin. Antara pintu yang sering digunakan syaitan untuk menghancurkan manusia ialah, :
PERTAMA :
Perasaan marah - Marah ini boleh menghancurkan kita. Dari perasaan marah lahirlah sikap hendak mendera anak-anak sebagai contohnya. Dari perasaan marah kita membunuh orang lain. Dari perasaan marah kita bersengketa. Dari perasaan marah kita sesama jiran bergaduh dan begitulah seterusnya. Hasilnya keburukkan.
KEDUA :
Nafsu syahwat - Manusia adalah makhluk yang ada nafsu dan syahwat. Kita tidak boleh membuangnya. Yang perlu kita lakukan ialah mengawalnya. Tetapi syaitan akan merangsang nafsu syahwat sehingga kita tidak mampu mengawalnya dan ketika itu berlakulah pergaulan bebas. Natijahnya porak perandalah sistem sosial dalam sesebuah masyarakat.
KETIGA :
Perasaan tamak dan dengki - Bila perasaan ini menguasai insan, insan terus melupakan batasan agama. Dia sanggup memberi dan menerima rasuah kerana dikawal oleh perasaan tamak dan dengki, malah politik wang merupakan perkara lumrah bagi orang yang tamak dan dengki ini.
KEEMPAT :
Kekenyangan - Maksudnya makan terlampau banyak sehingga melahirkan kelalaian dan kealpaan. Biasanya tuan-tuan dan puan-puan, bila kita terlampau kenyang apa yang kita lakukan. Kita hendak tidur, bersandar, berehat lebih dan kesan daripada itu lahirlah lalai dan lupa kepada Allah.
KELIMA :
Kecintaan kepada hiasan dan harta benda - Islam tidak melarang kita mengambil sedikit sebanyak perhiasan. Islam tidak pernah melarang kita daripada mengambil harta benda yang kita perlukan, malah kita boleh menjadi jutawan dengan usaha yang betul. Tidak dilarang oleh agama tetapi yang dilarang ialah kecintaan yang melampau sehingga kita melupakan ibadah. Kita melupakan solat. Kita melupakan batas-batas agama demi untuk memperolehi perhiasan dan harta benda. Maka lahirlah jutawan yang tidak solat. Lahirlah hartawan yang tidak pernah mengeluarkan zakat. Lahirlah orang yang banyak perhiasan di tubuhnya dan pada ketika yang sama dia sombong dan lahirlah pembaziran dalam kehidupan. Ketika itu syaitan bertepuk tangan kerana kita tidak cinta kepada agama sebaliknya cinta kepada sesuatu yang akan berpisah daripada kita.
KEENAM :
Pergantungan kepada manusia - Bila kita bergantung kepada sesiapa, kita menjadi hamba kepada manusia. Kita berkata bila awak tidak ada hancurlah saya. Padahal sebenarnya kalau dia tidak ada, Allah ada. Maka pergantungan kepada manusia pada manusia amat berbahaya jika kita layani. Tidaklah ia bermaksud kita tidak boleh meminta bantuan kepada insan. itu bukan maksudnya. Yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali bahawa kita akan terbabas ialah bila kita bergantung kepada manusia.
KETUJUH :
Gopoh gapah dan terburu nafsu - Sikap tergesa-gesa telah menghancurkan ramai orang. Tergesa-gesa menghukum manusia. Kamu pelacur, rupanya tersilap tetapi telah terlanjur berkata. Maka gopoh gapah dan terburu nafsu amat disukai iblis dan syaitan.
KELAPAN :
Kecintaan kepada dinar, dirham dan emas - Dalam bahasa mudah kecintaan kepada wang ringgit. Wang ringgit kita perlukan tapi kecintaan kepadanya itu yang berbahaya. Ramai orang sanggup overtime untuk dapatkan wang tapi untuk solat tak ada time. Itu bahayanya.
KESEMBILAN :
Sikap kedekut dan bakhil - Wang banyak, ada orang yang memerlukan. Ahh !!! ini wang saya. Awak malas bekerja. Awak layak menjadi midkin. Sikap inilah boleh merosakkan sebab jika tidaklah kerana doa orang miskin mungkin kita pun tidak menjadi kaya.
KESEPULUH :
Fanatik mazhab dan kelompok - Setengah orang dia bersolat di belakang imam yang bermazhab lain. Dia bermazhab Syafie, imamnya bermazhab Hanafi. Terus dia mufarakah. Dia berhenti dari solatnya sebab dia berkata imam itu bermazhab lain dengan saya. Tidakkah sikap seperti itu melahirkan pecah belah. Sebab itulah syaitan suka dengan fanatik mazhab. Tuan-tuan dan puan-puan perlu ingat. Saya tidak berkata tidak boleh bermazhab, malah saya hendak berkata kita perlu bermazhab. Imam Al-Ghazali menegur golongan yang fanatik mazhab. Bermazhab tidak mengapa. Fanatik mazhab jangan. Sebab bila kita fanatik, kita akan mengatakan semua orang lain salah kecuali kita saja yang betul. Lantas ia pintu yang disukai oleh iblis dan syaitan. KESEBELAS :
Berfikir tentang zat, sifat dan af'al Allah tanpa ilmu - Ini jelas sekali boleh menghancurkan kita tuan-tuan dan puan-puan. Orang yang berfikirkan tentang Allah tanpa ilmu memang boleh menghancurkan dirinya sendiri. Akhirnya dia akan berkata Allah itu sama dengan sifat yang baharu. Allah itu tidak adil sebab menjadikan orang itu susah, menjadikan orang ini senang tanpa dia faham rahsia-rahsia dan kebijaksanaan ilahi menetapkan sesuatu dalam keadaannya. Lantas berfikir tentang Allah tanpa ilmu adalah suatu yang disukai iblis dan Syaitan sebab dia akan merosakkan kita.
KEDUA BELAS :
Sikap suka berburuk sanka terhadap orang-orang islam - kita mudah prejudis terhadap orang lain dan ini amat berleluasa dalam masyarakat. lihatlah apa yang berlaku bila kita bercakap tentang agama. kita akan melihat dahulu samada orang itu bermazhab apa. Kita hendak prejudis tentangnya. semua ini boleh melahirkan buruk sangka dan menghancurkan ukhuwah islamiah dan persaudaraan islam. natijahnya kita akan terus bergaduh, kita akan terus berseteru walaupun peluang untuk kita berbaik-baik ada. Tetapi kita tidak mampu manafaatkan sebab mudah berburuk sangka lebih menguasai hati kita.
KESIMPULANNYA :
Oleh itu, peringatan Al-Ghazali tentang pintu-pintu yang sering digunakan syaitan untuk menghancurkan kita dapat sama-sama kita manafaatkan. Semoga insyaallah kita akan menjadi golongan yang memusuhi iblis dan syaitan. Jadikan iblis dan syaitan musuh no. 1. Untuk mengenali strategi musuh kita kena ada ilmu dan semoga ilmu yang kita sebutkan tadi dari Ihya Ulumuddin membantu kita untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Tiada ulasan: