Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Khamis, 5 November 2009

Satu Malaysia Satu Mufti :

SHAHIDAN CADANG HANYA SATU JAWATAN MUFTI DI MALAYSIA :
KANGAR: 05 Nov. 2009 - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mencadangkan hanya satu jawatan mufti diwujudkan di negara ini bagi mengelakkan pertikaian dan perselisihan pendapat sesama mereka. Katanya, pada masa ini, setiap negeri mempunyai mufti dan perbezaan pandangan di kalangan mufti-mufti akan menimbulkan keresahan rakyat kerana isu agama adalah sensitif. "Perkara ini perlu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan pada mesyuarat akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) berhubung kenyataan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain AlGhari mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Zamihan baru-baru ini mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Dr Mohd Asri membabitkan Bahasa Arab dan Sastera dan pendedahan itu disifatkan Shahidan sesuatu perkara yang mengaibkan. Shahidan juga berharap peraturan baru diwujudkan berhubung pelantikan mufti termasuk memastikan mereka mempunyai pendidikan bertaraf doktor falsafah (PhD) dan hafal Al-Quran selain mahir dalam hal ehwal syariah.
Sementara itu, Shahidan berkata, laporan kepada Jaips dibuat bagi membersihkan nama baik kerajaan negeri Perlis yang telah melantik Dr Mohd Asri sebagai Mufti Perlis sebelum ini. Pengarah Jaips, Malek Hussin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perlis (Maips) berkata, laporan Shahidan itu akan dikaji dan dipanjangkan ke peringkat Maips termasuk menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Maips. Mengiringi Shahidan membuat laporan itu ialah bekas Pengarah Jaips, Md Sadik Ismail.
Semalam, Shahidan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kenyataan Zamihan, selain memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu Dr Mohd Asri. - Bernama
Ulasan Selempang Merah :
Mufti bagi setiap negeri di Malaysia telah wujud sekian lama semenjak Kesultanan Melayu menerima dan menganut agama Islam. Mufti memainkan peranan penting dalam Kesultanan Melayu untuk memberi pandangan dan teguran kepada pemerintah. Ianya wujud sejak zaman Kerajaan Bani Umaiyyah lagi.
Dalam menjaga keharmonian dan perpaduan umat Islam, sememangnya amat wajar jika di negara kita hanya ada seorang mufti. Namun begitu, kita mesti menghormati hak istimewa Sultan-Sultan atau Raja-Raja Melayu dalam negara kita yang menjadi lambang kepada Ketua Agama bagi setiap negeri. Jika jawatan Mufti bagi setiap negeri telah dimansuhkan, ianya juga boleh mengundang masalah yang lain dan ianya perlu dikaji dengan lebih terperinci lagi.
Bagi pandangan saya, sepatutnya setiap kenyataan Mufti bagi setiap negeri perlulah mengadakan muzakarah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan kecelaruan penerimaan masyarakat yang kebanyakkannya jahil tentang hukum ahkam permasaalahan agama. Bagi saya, Jabatan Mufti perlu diwujudkan dalam negara kita bagi menyelaraskan pandangan-pandangan atau fatwa yang bakal dikeluarkan. Oleh itu, Mufti bagi setiap negeri akan merujuk kepada Ketua Mufti Malaysia. Manakala kenyataan fatwa hanya boleh diumumkan oleh Ketua Mufti. Adapun Majlis Fatwa yang ada sekarang kurang memainkan peranan yang penting. Adalah lebih munasabah jika Kerajaan melantik seorang yang benar-benar layak iaitu individu yang tidak menyebelahi mana-mana politik untuk menjawat sebagai Ketua Mufti Malaysia yang sebaris dengan jawatan Menteri Kabinet.
Walau bagaiamanapun, bagi golongan awam (yang bukan ahli agama) perlu diingat bahawa perbezaan pandangan bagi setiap mufti mempunyai hujjah atau dalil yang berpandukan al-Qur'an dan al-Hadis. Dalam hal ini, perkara yang perlu dinilai ialah hujjah siapa yang lebih kukuh atau kuat. Contohnya; hujjah dengan menggunakan ayat alQur'an adalah lebih kuat berbanding al-Hadis. Namun, tanpa sokongan hadis, maka hujjah seseorang itu akan menjadi lemah. Adapun dalam hadis pula terdapat peringkat-peringkat tertentu dalam membuktikan kekuatan kebenaran hadis itu sendiri. Sebagai contoh, terdapat hadis yang martabatnya Hadis Soheh, Hadis Mursal, Hadis Dho'ef, Hadis Maudu' dan sebagainya.
Bagi golongan yang mengkaji dan mendalami agama, sudah pasti mereka ini mahir dalam menentukan hujjah siapa yang paling kukuh dan kuat berdasarkan sumber-sumber rujukan yang muktabar (yang diakui kesahehannya). Seseorang ahli agama belum tentu hebat jika dia kurang membaca dan mengkaji. Walaupun jika kita ada segulung Ijazah Syari'ah, belum tentu membuktikan kehebatannya jika ilmunya tidak ditambah dan diperkembangkan lagi. Sebab itu kebanyakkan Ulamak Silam, merasakan diri mereka semakin jahil dalam ilmu agama setelah bertahun-tahun lamanya mendalami ilmu Islam. Semakin lama semakin tawadduk (merendah diri).
Sebab itu dalam satu riwayat yang ma'aruf menjelaskan bahawa Imam Syafi'e r.a. bersembahyang dengan mengikut kaedah mazhab gurunya iaitu Mazhab Maliki ketika menjadi imam dalam solat di negara yang berfahaman Mazhab Maliki sebagai tanda hormatnya kepada tok gurunya Imam Malik r.a.. Begitu juga pengorbanan Imam Ahmad bin Hanbal r.h. yang tegas walaupun disebat dengan cemeti dan dipenjara, namun beliau tetap mempertahankan pendapatnya bahawa al-Qur'an itu Qadim dan akhirnya dipersetujui oleh umat Islam sehingga ke hari ini.
Peranan golongan agama hari ini mestilah berani dalam membetulkan permasaalahan yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini. Dari segi akidah, kita semua (penganut agama Islam di Malaysia), adalah berfahaman Ahli Sunnah Wal-Jama'ah. Manakala maksud Ahli Sunnah Wal-Jama'ah ialah golongan yang berpegang teguh dengan al-Qur'an, Sunnah Rasulullah s.a.w., dan perkara yang dibawa oleh para sahabat, serta menentang perkara-perkara bida'ah.
Wallahu a'lam..

Tiada ulasan: