Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Khamis, 31 Disember 2009

UNTUK PARA PEROKOK... BERAZAMLAH UNTUK SIFAR ROKOK BERMULA TAHUN 2010 :

KECEKAPAN agensi penguat kuasa mengekang penyeludupan rokok wajar dipuji, namun lambakan rokok seludup mampu dikawal sekiranya rakyat sendiri memboikot pembelian.

Perokok tidak kisah walaupun harga rokok semahal manapun, berikutan penyeludupan keretek mampu memenuhi permintaan para perokok tegar. Walaupun langkah kerajaan menaikkan harga rokok berkuatkuasa 1 Januari 2010 ini, mungkin belum mampu menggerunkan perokok tegar kerana bagi mereka, walau semahal mana sekalipun harga yang ditetapkan, masih ada sumber lain untuk mendapatkan harga rendah sesuai dengan kehendak nafsu serta kemampuan mereka.
Rokok seludup dari negara jiran seperti keretek ataupun pelbagai jenama rokok putih yang dikenali sebagai ‘rokok original’ dikalangan perokok terlalu mudah diperolehi, bukan saja di pasaran gelap, malah ada yang berani menjualnya secara terbuka. Pemantauan demi pemantauan dan tindakan demi tindakan diambil oleh pihak berkuasa seolah-olah tidak pernah memberi kesan kepada penyeludup kerana apabila satu ditahan, akan muncul dua lagi yang melakukan kegiatan yang mampu memberi pulangan cukup lumayan kepada penyeludup.
Kita biasa mendengar atau membaca laporan akhbar, kejayaan pihak berkuasa merampas sejumlah rokok keretek diseludup melalui laut. Tetapi, biasanya yang dirampas hanyalah bot pancung dan sejumlah rokok, sedangkan penyeludupnya berjaya melarikan diri. Entah berapa kali sebelumnya, penyeludup yang meninggalkan barang bernilai tinggi itu sudah berjaya membolosi sekatan pihak berkuasa. Tidak mustahil mereka mengulangi kegiatan itu dengan mengatur strategi lebih bijak bagi memastikan misi seterusnya berjaya untuk menebus kerugian yang mereka alami apabila terpaksa meninggalkan barang seludup kepada pihak berkuasa.

Kejadian sama juga sering kita dengar dalam aktiviti penyeludupan melalui jalan darat, apabila yang dirampas hanyalah kenderaan dan juga barang yang dibawa, sedangkan si pembawanya berjaya meloloskan diri sambil merangka kaedah baru untuk misi seterusnya. Perokok tegar yang bergantung kepada bekalan dari seberang itu pula sentiasa mengharapkan kejayaan penyeludup kerana kegagalan membawa masuk barangan murah itu mungkin menyebabkan mereka terpaksa membeli rokok berjenama mahal harganya untuk melepaskan gian dan ketagihan mereka.
Ini diakui oleh seorang nelayan di Batu Pahat, yang ditemui sebelum pembentangan Bajet 2010, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini. Nelayan berusia lingkungan 40-an itu mengakui yang selama ini dia bergantung kepada bekalan rokok keretek dari seberang. Apabila diberitahu kemungkinan harga tembakau akan dinaikkan, dia tersenyum dan berkata, dia tidak kisah jika kerajaan menaikkan harga rokok setinggi mana sekalipun kerana katanya, harga rokok yang dihisapnya akan tetap mampu dibelinya. “Kita tak tahu macam mana pula kali ini, mungkin harga rokok dinaikkan lagi, tetapi apa nak risau... di sini mudah dapat bekalan rokok murah. Tak perlulah beli rokok yang mahal, rokok ini pun sudah cukup, janji berasap,” katanya sambil menghembuskan asap dengan aroma cengkih yang cukup kuat. Kata nelayan itu lagi, rokok dari seberang mudah dibawa masuk ke negara ini menggunakan bot nelayan dan bot pancung, malah juga yang dibawa dengan tongkang, namun sebagai perokok yang bergantung kepada bekalan dari seberang itu, dia juga khuatir jika penyeludup gagal melaksanakan misi mereka. “Jika mereka ditahan, bekalan tentunya kurang dan peniaga pula akan menaikkan harga.
Walaupun tidak setinggi harga rokok biasa dalam pasaran, tentu kita terasa juga apabila harga yang dijual lebih tinggi dari biasa. Ini pernah berlaku, apabila peniaga memberi alasan pembekal kena tahan pihak berkuasa, sebab itu terpaksa menjual lebih mahal,” katanya. Ketika bertemu seorang rakan di Kuching pula, penulis tertarik apabila dimaklumkan pelbagai jenama rokok baru yang tidak pernah ditemui sebelum ini antaranya OKI, DGi dan Parkway muncul di pasaran sejak harga rokok dinaikkan beberapa tahun lalu. Harganya pula jauh lebih rendah daripada harga pasaran biasa, iaitu RM1.50 untuk sekotak mengandungi 20 batang rokok, malah ada juga pekedai dikatakan sanggup menjual serendah RM1 untuk rokok jenama sama.
Peniaga pula biasanya menjual rokok berkenaan ‘bawah meja’ kepada pelanggan, terutama remaja yang meminta jenama terbabit. Bagi pelanggan tetap pula, peniaga biasanya terus memberikan rokok yang disimpan di dalam laci di kaunter apabila diminta. Tinjauan sekitar bandar raya Kuching mendapati, harga pelbagai jenama rokok putih yang dibawa masuk secara haram dan menjadi pilihan sebahagian besar perokok masa kini kebanyakannya dijual pada harga di bawah RM3. Kebanjiran rokok seludup yang harganya serendah RM1 sekotak itu membuatkan pelbagai kempen yang dilaksanakan kerajaan dengan peruntukan berjuta-juta ringgit selama ini tidak memberi sebarang kesan untuk mengurangkan tabiat merokok kalangan rakyat Malaysia, malah dengan harga serendah itu turut menyumbang kelahiran ramai perokok baru kalangan remaja.
Apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No2) 2009 yang menetapkan harga minimum rokok RM6.40 bagi 20 batang mulai Jumaat ini, pastinya penyeludup akan lebih rancak melaksanakan misi mereka. Agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab mengekang aktiviti lintas sempadan pula akan bekerja lebih bagi menghalang kemasukan pelbagai jenama rokok murah dari negara jiran, namun mampukah mereka melaksanakannya dengan berkesan?
Bukan bertujuan mempertikaikan kemampuan pihak berkuasa, tetapi kita sedar jarak sempadan perairan negara, terutama di pantai barat Semenanjung Malaysia yang menjadi pintu masuk penyeludupan dari Indonesia terlalu panjang, mustahil dikawal setiap inci dan setiap minit. Kita tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa apabila rokok seludup terus berada dalam pasaran di negara ini. Penyeludup juga sentiasa memasang mata dan telinga untuk memerhatikan pergerakan pihak berkuasa yang menyukarkan pengesanan dilakukan. Sempadan darat di Borneo yang jaraknya lebih 1,000 kilometer pula diliputi hutan tebal serta gunung ganang. Mana mungkin pihak berkuasa, termasuk tentera mampu meletakkan anggotanya sepanjang sempadan untuk mengesan seratus peratus pergerakan penyeludup. Terlalu banyak laluan tikus yang ‘ditebuk’ oleh penyeludup wujud sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjadi cabaran utama pihak berkuasa sejak sekian lama.
Hari ini tutup satu laluan tikus, esoknya penyeludup buka laluan baru di dua atau tiga tempat lain pula. Dalam hal ini, tumpuan harus diberikan terhadap peniaga sama ada kedai runcit atau kedai kopi kerana kebanyakan mereka menjual rokok seludup. Jika mereka tidak menerima rokok daripada penyeludup, mungkin kegiatan itu dapat dikurangkan. Langkah menggempur peniaga yang menjual rokok haram mungkin praktikal, berikutan kesukaran yang dihadapi pihak berkuasa untuk menutup sepenuhnya sempadan negara daripada penyeludup.
Kerajaan juga harus lebih tegas dalam pemberian bantuan kepada individu seperti yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menolak perokok daripada senarai yang layak menerima bantuan. Begitu juga dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya menetapkan tabiat tidak merokok perlu dijadikan sebagai prasyarat untuk penerima bantuan sara hidup bulanan atau bantuan lain. Kebanyakan penerima bantuan dikenal pasti ialah kalangan perokok. Mungkin dengan syarat ditetapkan itu boleh membantu mengubah tabiat mereka. Tidak kiralah, sama ada rokok dihisap mereka dikategorikan sebagai miskin tegar itu rokok haram atau halal.





Tiada ulasan: