Islam Agama Keamanan

Member Bloger :

Selasa, 27 Oktober 2009

MARILAH MEMPERBAIKI IMEJ UMNO..

WAHAI PUTERI DAN WANITA
UMNO
(PARTI MELAYU ISLAM)
MARILAH KITA SAMA-SAMA BERUBAH,
MEMPERBAIKI IMEJ UMNO
UNTUK
AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.

BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT
MENGELAKKAN KES ROGOL ATAU CABUL ?

Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.

Hakikatnya, sebagai hamba Allah s.w.t. dan umat Rasulullah s.a.w. kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman :-

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka.
Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali
(sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu".
(Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik".

Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)

Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah s.w.t. adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

BANTAHAN YANG SERING DISUARAKAN OLEH KAUM HAWA :

"Eleh, tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?". Inilah hujah balas yang sering saya dengar bila isu ini ditimbulkan.

"Demikianlah juga nafsu jahat. Apabila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya. Sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam. Tidak dapat dinafikan juga, peranan vcd, laman porno di internet, akhbar, majalah dan novel lucah amat besar peranannya dalam kes cabul dan rogol ini" terang saya.

Persoalan yang sering timbul ialah, mengapa menutup aurat tidak dapat mencegah kes cabul dan rogol ?
Islam bukanlah agama yang membebankan atau menyusahkan penganutnya. Malah setiap perintah dan larangan Allah s.w.t. ada hikmah yang tersurat mahupun tersirat. Jika kita lihat dengan teliti, ayat 59 - surah al-Ahzab di atas sebenarnya ayat tersebut ditujukan kepada seluruh kaum wanita, sama ada Islam ataupun bukan Islam agar tidak berpakaian seksi. Kemaslahatan atau kepentingan menutup aurat adalah bertujuan untuk menjaga semua kaum wanita dari dicabuli atau dirogol oleh lelaki yang bernafsukan kebinatangan. Sebenarnya, ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa seluruh wanita bertanggungjawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing.

Maka, apabila ada yang seksi, ini bermakna ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang ketagihan, bagaikan penagih dadah yang gila ketagihan dadah.

Tapi itulah cabaran terbesar bagi kaum lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA. Wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya merupakan ujian terbesar sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah s.w.t. :

زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat
dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."

Ayat tersebut dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi s.a.w. juga pernah bersabda :

ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Maksudnya :
"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku
yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita"
(Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

BAHAYA JIKA HUKUM DIPERMAINKAN :

Dalam sebuah hadith ada menjelaskan : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!".
(Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)
- Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.

Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi s.a.w. bersabda :-

ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya,
maka kalimah itu boleh mencampakkannya
di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat"
( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988 )

Contohnya, apabila seseorang berkata (kebiasaan yang diperkatakan oleh seseorang lelaki) apabila terpandang wanita seksi :"tak pe ustaz kan.., pandangan pertama tak berdosakan? Pandangan pertama, rezeki namanya..". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka. Perkataan sedemikian sebenarnya termasuk dalam bab mempermain-mainkan agama.

KETIDAKSEMPURNAAN MENUTUP AURAT
DIKALANGAN KAUM HAWA HARI INI :

Masalah ini timbul disebabkan kejahilan dan keegoan wanita Islam hari ini berhubung penutupan aurat yang betul mengikut syari'at Islam. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?
Antara jawapannya adalah seperti berikut :-
KESILAPAN PERTAMA :
Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan
nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESILAPAN KEDUA :
Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESILAPAN KETIGA :
Bertudung tetapi baju kebarung, kainnya terbelah.
KESILAPAN KEEMPAT :
Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESILAPAN KELIMA :
Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul
dan hujung rambutnya (memakai selendang).
KESILAPAN KEENAM :
Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja.
Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESILAPAN KETUJUH :
Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher,
maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESILAPAN KELAPAN :
Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis
sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian kaum hawa menyangka bahawa tutup aurat itu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT, ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR."
(an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Manakala yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, iaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi, yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat tersebut ialah apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.

Dalam ayat di atas Allah s.w.t. memerintahkan kepada kaum perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin. Yang sependapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a. Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.

Menurut Syeikh Al-Qaradhawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.

Namun demikian, perlu diambil perhatian, seorang muslimah mesti bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri jika perlu, demi menjaga meluasnya kerosakkan, kemaksiatan dan banyaknya kefasikkan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikhuwatiri akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan
perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya."
(Surah An-Nur: Ayat 31)
Kesemua jenis berpakaian yang disebutkan tadi adalah diharamkan sebagaimana yang telah disepakati oleh para Ulama' Islam. Perintah menutup aurat ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang semestinya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: bahagian dada perempuan, paha, betis dan sebagainya.

Hadis yang menjelaskan kenyataan di atas ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu :(l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi
yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam);
(2) Perempuan-perempuan yang berpakaian
tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat
dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat,
rambutnya sebesar punuk unta.
Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga,
serta tidak dapat akan mencium bau syurga,
padahal bau syurga itu mudah dicium sejauh perjalanan demikian dan demikian".
(Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian, kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat. Oleh itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qardhawi)

‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.

Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah lagi, apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini.

ISLAM MELARANG UMATNYA BERPAKAIAN NIPIS :

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan :
"Hai Asma'!
Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya),
tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu,
melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya".
(Riwayat Abu Daud)

Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis di atas, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.

Dr Yusof Al-Qardhawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

KESILAPAN KESEMBILAN :
Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات

Maksudnya :
Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang
(di sebelah dalamnya)
(Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .

Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi s.a.w. memalingkan wajahnya. Maka para sahabat pun berkata : dia (wanita itu) memakai seluar. Maka Rasulullah s.a.w. memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.

KESILAPAN KESEPULUH :
Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Sama ada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya. Kita tidak tahu ke arah manakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga boleh membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan atau berunsur dakwah.

Larangan ini telah dijelaskan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit".
(Surah Al-Ahzab : Ayat 32)
Bersambung...

6 ulasan:

Che Leh Jangok berkata...

Benar.
Cuma satu ni yang payah.
Nak tanam iman kedalam hati hati umat.
Hamba biasa sangat melihat anak anak yang disyarathan memakai tudung ke sekolah. Malahan tudungnya itu sudah disyaratkan. Tetapi sampai ditempat menunggu bas, tudungnya dah hilang.
Persoalannya bagaimana nak tanamkan iman sehingga perkara perkara seperti menutup aurat dengan sempurna itu menjadi pilihan sendiri.
Waktu belajar ugama kat sekolah dah ada 4 ustaz/zah bagi satu kelas.
Apa lagi yang patut dibuat.

Selempang Merah berkata...

Salam Che Leh Jangok..

Terima kasih di atas persoalan yg anda timbulkan..

Kenapa pemakaian tudung tlh diterapkan di sekolah semenjak sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, tetapi tiada keberkesanan?

Jika kita berbincang secara ilmiah, sudah pasti golongan agama akan memberikan jawapan bahawa ianya berpunca dari kelemahan iman seseorang.

Cuba kita hayati kembali sirah Rasulullah s.a.w. yg tlh berjaya menerapkan keimanan yg kukuh kpd para sahabat.. Bagaimana para sahabat begitu yakin 100% serta dpt mentaati setiap perintah Allah s.w.t. dan Rasul-Nya tanpa sebarang bantahan dan persoalan.. Mungkin kita akan terdetik di dalam hati mengatakan bahawa Baginda adalah seorang nabi dan Rasulullah. Sudah tentu baginda s.a.w. mempunyai keistimewaan ketika berdakwah atau itu sebahagian dari mukjizatnya yang tersirat ketika berdakwah.

Selempang Merah berkata...

sambungan...

Jika benarlah itu punca kejayaan dakwah Baginda hanya kerana mukjizat atau kelebihannya sebagai seorang rasul.. saya yakin, sudah pasti Rasulullah s.a.w. begitu mudah berdakwah tanpa sebarang halangan spt. dibaling dgn najis, batu, berlakunya peperangan dan sebagainya.

Setelah kita fahami dan hayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menegakkan kebenaran bukanlah melalui politik, tetapi usaha tersebut dapat diteruskan dgn menyelami masyarakat pd ketika itu dengan penerangan yg bersungguh2 tanpa menyembunyikan sesuatu fakta.

Selempang Merah berkata...

sambungan..

Oleh yang demikian, kita patut bersyukur kerana lahir dan hidup di dalam sebuah negara Islam yang bebas mengamalkan agama kita tanpa sebarang sekatan. Malah agama rasmi Malaysia adalah agama Islam. Lantaran itu, saya cadangkan agar diselitkan iklan-iklan pendek mengenai kewajipan menutup aurat, tujuannya dan kesan faedah pemakaiannya di televisyen. Contoh pertama; dlm iklan tersebut menggambarkan org yg bertudung menjadi pilihan utama menjadi calon isteri seseorang. Contoh kedua; perempuan yg tidak bertudung merasakan spt tersisih krn keengganannya menutu aurat. Contoh ketiga; ibu bapa merasa sedih jika anaknya gagal menjadi muslim sejati. Contoh keempat; banyak lagi iklan yg kita boleh fikirkan sesuai utk diselitkan di dalam iklan televisyen.Walau bagaimanapun, Penerbit atau Pengarah televisyen hendaklah memastikan siaran yang mereka keluarkan tidak menggambarkan galakkan pendedahan aurat sebagaimana yg dilakukan atau dibanggakan oleh artis2 di negara kita dalam memperagakan diri mereka dikhalayak ramai. FINAS juga merupakan badan yg benar2 bertanggungjawab dalam penapisan filem dan televisyen dari sebarang unsur yg menggalakkan penonton remaja mendedah aurat.

Selempang Merah berkata...

sambungan..

Selain daripada itu, ibu bapa & guru merupakan penyumbang utama dalam membentuk modal insan negara. Oleh itu, ibu bapa & guru mestilah menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak/pelajar mereka. Bukan menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Ini kerana kebanyakkan dikalangan ibu bapa tidak memainkan peranan yg sebenar (namun saya yakin, tidak semua begitu). Tetapi itulah suasana yg berlaku dalam masyarakat kita. Ramai juga guru yg mendedahkan aurat. Begitu juga perokok. Sekolah memandang berat masalah salah laku disiplin pelajar, terutama kes merokok dikalangan pelajar. Semakin hari semakin meningkat. Setelah disoal-selidik, para pelajar menjawab, "bapa saya pun merokok. Saya pernah nampak guru juga merokok di luar sekolah. saya pernah nampak ustaz/pak imam pun merokok juga". Oleh kerana perkara inilah menyebab anak-anak kita pada hari ini, seolah-olah sukar dibentuk.

Selempang Merah berkata...

Faktor seterusnya, kelemahan anak-anak kita pada hari ini dalam memilih kawan karibnya. Pengaruh kawan adalah faktor utama mengapa anak kita berubah, sedangakan sebahagian daripada ibu bapa telah mendidik mereka dalam konsep pemakaian menutup aurat sejak kecil lagi. Oleh itu, ibu bapa mestilah mengawasi setiap gerak-geri anak2nya sebelum nasi menjadi bubur.

Terdapat juga dikalangan masyarakat kita mengatakan, sepatutnya kerajaanlah yang bertanggungjawab mewajibkan pemakaian menutup aurat bagi umat Islam.. Mungkin bagi yang tidak bersetuju akan mengatakan kerajaan sebagai zalim. Oleh itu, cara yg paling sesuai ialah pemimpin mestilah menjadi contoh kepada rakyatnya. Isteri-isteri pemimpin juga mestilah menutup aurat. Saya yakin dan percaya, jika kita berubah dari hari ini insya'Allah umat Islam di Malaysia akan menutup aurat sepenuhnya tanpa paksaan, tetapi atas dasar kesedaran kepentingan menutup aurat.

Maaf, jika jawapan saya kurang menyenangkan atau terlalu panjang.

Oleh itu, yakinlah dengan firman Allah yang bermaksud :

"Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri". [Surah al-Anfaal 8:53].

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya". [Surah al-Ra’d 13:11].

Para pembaca yang saya hormati sekalian..

Ketahuilah bahawa seburuk-buruk sifat manusia itu ialah apabila dia mengetahui keburukannya tetapi tidak pula mahu mengubahnya. Tidak kah kita merasa jijik, hari ini pakai seluar dalam ini, esok pula pakai seluar dalam yang sama?

Pokok pangkal persoalannya, mahukah kita berubah? Tepuklah dada, tanyalah iman.. Fikir-fikirkanlah… Sekian.

Wassalam. Wallahu ‘Alam.