Islam Agama Keamanan

Member Bloger :

Rabu, 28 Oktober 2009

MARILAH MEMPERBAIKI IMEJ UMNO...(sambungan)

sambungan...

TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT :

Berdasarkan dalil Al-Quran dan Al-Hadith yang saya nyatakan sebelum ini, ianya amat jelas menerangkan kepada kita berkenaan isu aurat. Isu aurat kaum wanita bukanlah suatu isu yang baru dan remeh-temeh. Ini kerana ianya amat jelas termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ianya juga merupakan salah satu dosa yang berat, yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Oleh kerana itulah dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, berlakunya kes perceraian suami isteri akibat curang, membunuh atau membuang anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan sebagainya. Kita sudah sedia maklum, bahawa Syaitan telah berjanji kepada Allah s.w.t. untuk menyesatkan manusia hingga ke hari kiamat. Inilah dendam kasumat Iblis/Syaitan terhadap Nabi Adam a.s. hingga ke anak cucunya. Perihal Syaitan yang mensasarkan dosa 'membuka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya telah dijelaskan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud :-

" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .."
(Surah Al-A'raf : Ayat 20)

Oleh itu, sebagai kesimpulan mengenai tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita diwajibkan menutup aurat adalah seperti berikut :-

a) MEMBEZAKAN MANUSIA DENGAN BINATANG :

Allah SWT berfirman :

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan"
( Surah Al-A'raf : Ayat 26)

Dalam ayat di atas, amat jelas sekali bahawa Allah s.w.t. menerangkan kepada kita sebagai umat manusia agar sentiasa menutup aurat. Ayat tersebut ditujukan kepada sesiapa sahaja iaitu kepada sekalian anak Adam (manusia) tanpa mengira lelaki atau perempuan, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Justeru barangsiapa yang berpaling dari perintah ini, secara lojiknya dari akal fikiran yang waras, ia boleh menyebabkan seseorang itu jatuh martabatnya sebagai manusia yang berakal dan boleh disama-tarafkan seperti binatang yang tidak berakal.

b) DAPAT MENGURANG ATAU MENGHINDARKAN KES CABUL DAN ROGOL :

Dalam penjelasan saya di atas, kes ini dapat dibendung apabila umat manusia mematuhi perintah Allah s.w.t. dengan sepenuh keimanan mereka. Ianya jelas berdasarkan hujah yang saya jelaskan sebelum ini dan berpandukan kepada nas Al-Qur'an sebagaimana firman Allah s.w.t. dari surah Al-Ahzab : ayat 59 :

" Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu,
anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua
hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab (tudung) mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka
agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu".
(Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

c) MENUTUP AURAT ADALAH SIMBOL SYIAR ISLAM :

Ia juga boleh difahami dari surah Ahzab ayat 59 di atas, apabila Allah s.w.t. menyebut : ("... yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam... "). Ianya jelas menunjukkan kepada kita iaitu salah satu fungsi tutupan aurat juga merupakan simbol syiar Islam kepada setiap individu penganut Islam. Firman Allah : (" Barangsiapa yang membesarkan syi'ar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati ").

d) KETAATAN PADA PERINTAH ALLAH MERUPAKAN SATU UJIAN :

Saya yakin hal ini amat jelas, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

" Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji
siapakah yang terlebih baik amalannya ".
(Surah Al-Mulk : Ayat 2)

e) UNTUK MEMBEZAKAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN :

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa setiap pakaian, mestilah menepati cita rasa kita sebagai pengguna. Malah yang pasti, ketika kita memilih pakaian tersebut mestilah bersesuaian dengan jantina kita. Sebab itulah Islam hanya mewajibkan wanita memakai tudung dan haram bagi lelaki memakainya. Jika lelaki yang memakai tudung, pasti kita akan gelak ketawa serta menganggap lelaki tersebut sebagai gila atau pondan. Oleh itu, bagaimana pula jika kaum wanita yang tidak bertudung ? Tidakkah, mereka telah menyerupai kaum lelaki kerana tidak bertudung ? Dalam Kitab Sahih Al-Bukhari ada menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda ;

" Allah s.w.t. melaknat lelaki yang cuba menyerupai wanita
dan wanita yang cuba menyerupai lelaki ".
(Riwayat Al-Bukhari)

f) MEMPERKASAKAN IMEJ PAKAIAN SYI'AR ISLAM :

Kebanyakkan 'trend' masyarakat hari ini, sama ada dalam sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini, pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Sudah pasti ianya bertujuan untuk menjaga standard khas bagi organisasi dan restoran tersebut ditahap terhebat. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya ataupun dikalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Kesemuanya ini adalah untuk menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.

Justeru, Islam adalah satu agama yang amat sempurna di dunia ini dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan yang melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walau bagaimanapun, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional. Justeru itu, sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.

Ungkapan "don't judge a book by it's cover" ini sering kita dengari. Saya yakin, anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya lebih baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat. Malah, ada di antara andaian mereka bahawa "wanita yang bertudung pun ramai yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi". Mereka juga mengaku baik, tidak mengganggu orang lain, tidak mengumpat dan buat benda-benda tidak elok. Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya, lantas berhujah dengan hadith Nabi s.a.w. yang soheh iaitu :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu,
tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu".
(Riwayat Muslim)

Hujah seperti ini amat dikesali apabila mereka berhujah dengan sewenang-wenangnya menggunakan hadis ini untuk menyokong imej pakaian dan nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu". Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang". Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging,
yang bila ianya baik maka baik seseorang itu,
dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu,
ketahuilah, ia adalah hati".
(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat melalui tindak tanduknya. Maksudnya di sini ialah apabila tindakan seseorang sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai. Manakala baik di peringkat kedua ialah samada hatinya bertujuan kerana Allah atau selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja. Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض "
فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه ,
"فإنما أقطع له قطعة من النار
Maksudnya :
"Sesungguhnya aku hanya manusia,
dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku,
dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya,
maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang ku dengari sahaja.
Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman
dan hukuman itu mengambil hak yang lain
(akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah),
maka janganlah kamu mengambilnya,
sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka".
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ;
Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadis ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan maklumat pendakwaraya dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah s.w.t. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam. Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat dalam satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :

من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها "
" من غير أن ينقص شيئاً
Maksudnya :
" Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk,
maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya
tanpa sedikit kurang pun dosanya.. "
( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih)

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? Setelah dosa yang menggunung telah mengaratkan hatinya ?

Sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Adil dan Maha Pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah s.w.t. dengan mentaati-Nya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinlah.. bahawa janji Allah s.w.t. itu pasti benar, Rasul-Nya juga pasti benar, Syurga dan Neraka juga pasti benar. Jika mempercayai-Nya (beriman dengan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya), maka mengapa tindakan kita masih seolah-olah meraguinya ?

Semoga kita dikurniakan hidayah untuk kembali ke pangkal jalan yang betul.. Carilah keberkatan hidup dan keredhaan dari-Nya.. Pasti kita tergolong dikalangan orang yang bersyukur dan berjaya. Amin..
Sekian.

1 ulasan:

Al Sunna berkata...

Assalamu alaikum,

Nice blog, the content in this blog is very useful to the people who are looking out for islamic knowledge.