Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Khamis, 15 Oktober 2009

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN (BAHAGIAN 2) : KUFUR :

Pengertian KUFUR atau KAFIR ialah seseorang yang tidak beriman dengan rukun iman atau rukun Islam atau salah satu daripadanya.

Firman Allah S.W.T. :

( وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَتَعۡسً۬ا لَّهُمۡ وَأَضَلَّ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٨) ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَرِهُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأَحۡبَطَ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٩
Maksudnya : "Dan orang-orang yang kafir, maka celakalah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (al-Qur'an) lalu Allah S.W.T. menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka".
(SURAH MUHAMMAD; AYAT 8-9)

JENIS-JENIS KUFUR, MAKSUD, DAN CONTOH :

Kufur Terbahagi Kepada Dua Bahagian, Iaitu :


PERTAMA : Kufur Hakikat/Akidah ;

Maksudnya : Tidak beriman kepada rukun iman dan rukun Islam atau menafikan rukun iman dan rukun Islam serta menolak syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Contohnya :

1. Tidak mempercayai rukun iman atau salah satu daripadanya.

2. Tidak mempercayai hukum dan kandungan dalam al-Qur'an.

3. Menafikan ketetapan Allah S.W.T. seperti mengubah hukum solat dan haji sebagai tidak wajib.

4. Memperlekehkan hikmat Allah S.W.T. yang menentukan ketetapan syariat seperti solat hanya membuang masa, haji hanya menghabiskan harta, dan puasa hanya melemahkan manusia.

KEDUA : Kufur Nikmat :

Maksudnya : Mengingkari Khalik atau Allah S.W.T. sebagai pemberi nikmat kepada manusia dan makhluk ciptaan-Nya serta mengingkari hukum-hukum yang disyariat oleh-Nya.

Contohnya :

1. Nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T. digunakan untuk maksiat.

2. Tidak mengeluarkan zakat atau tidak melakukan solat atau tidak menunaikan haji dengan sengaja sekali pun telah memenuhi syarat-syarat wajib melakukannya.

3. Membazirkan nikmat Allah S.W.T. dengan sengaja.

4. Rezeki Allah S.W.T. tidak dimanfaatkan dengan sewajarnya.

PERBEZAAN ANTARA MUKMIN (ORANG YANG BERIMAN) DENGAN KAFIR :

PERTAMA :
Mukmin : Mengucap dua kalimah syahadah (Asyhadu Anlaa Ilaaha Illallaah, Wa Asyhadu Annaa Muhammadar Rasulullaah).
Kafir : Tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah.

KEDUA :
Mukmin : Percaya (beriman) kepada rukun iman.
Kafir : Tidak percaya kepada rukun iman.

KETIGA :
Mukmin : Sentiasa menjaga / melaksanakan ibadah fardhu (wajib), patuh dan taat kepada perintah Allah S.W.T.
Kafir : Mengingkari, menentang dan tidak taat untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.

KEEMPAT :
Mukmin : Mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah S.W.T.
Kafir : Sentiasa mendapat laknat Allah S.W.T.

KELIMA :
Mukmin : Mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan.
Kafir : Menentang segala yang disyariatkan oleh Islam.

KEENAM :
Mukmin : Mendapat balasan syurga.
Kafir : Mendapat balasan neraka.

JENIS-JENIS KAFIR :
PERTAMA : (KAFIR ZIMMI) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang telah menetap di negara Islam (misalnya Malaysia) dan mematuhi undang-undang negara itu serta memberi ketaatan sepenuhnya kepada pemerintah berkenaan (misalnya; MCA, MIC, Gerakan dll).
2. Mereka wajib dilindungi dan haram memeranginya, selagi mereka taat dan mereka dikenakan jizyah (cukai diri/kepala).

KEDUA : (KAFIR MUSTA'MIN) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang mendapat perlindungan pemerintah Islam.
2. Mereka berhak mendapat perlindungan dan tidak boleh dicerobohi.
3. Mereka dikenakan bayaran ufti (bayaran perlindungan atau jaminan) oleh pemerintah.

KETIGA : (KAFIR MAAHAD) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang telah membuat perjanjian damai seperti mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Islam mengikut syarat-syarat persetujuan bersama.
2. Mereka tidak boleh diperangi selagi mereka patuh kepada perjanjian tersebut.

KEEMPAT : (KAFIR HARBI) :
Ciri-cirinya :
1. Orang kafir yang jelas menjadi musuh Islam di mana mereka memerangi orang Islam atau negara Islam seperti Israel dan Amerika.
2. Mereka boleh diperangi dan wajib berperang jika ada bukti mereka akan mengancam keselamatan negara Islam.

FAKTOR-FAKTOR YANG BOLEH MENYEBABKAN KITA MENJADI KUFUR :
1. Kurang didikan agama.
2. Terpengaruh dengan godaan persekitaran kerana iman yang lemah.
3. Kesempitan hidup.

2 ulasan:

C L J berkata...

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh :

Bagaimana pula kedudukan orang islam yang bekerjasama dengan kafir harbi yang jelas menolak hukum islam untuk mengancam/melemahkan negara yang diperintah oleh orang Islam ?

Selempang Merah berkata...

Wa'alaikumus salam..

Berkenaan persoalan Che Leh Jangok akan saya jelaskan dengan lebih terperinci dalam keluaran akan datang.

Untuk maklumat tuan secara ringkasnya ialah :-

Rasulullah s.a.w. tidak menerima bantuan orang kafir (golongan musyrik) dalam setiap perkara yang membabitkan maruah Islam.

Ianya dijelaskan di dalam Kitab As-Sahih. Bahawa Nabi sallahualaihiwasalam pernah keluar menuju Badar untuk berperang. Lalu muncul seorang lelaki dari kaum musyrikin menyusul mahu mengikuti baginda berperang sehingga sampai di Herat. Lalu lelaki musyrik itu bertanya kepada baginda, bahawa dia mahu mengikuti baginda berperang dan rela berkorban untuk baginda Rasul. Maka dijawab oleh Rasulullah s.a.w. ; “Apakah kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya?” lalu lelaki musyrik itu menjawab; tidak. Maka dibalas kembali oleh baginda s.a.w. dengan sabdanya : “ Kembalilah, kerana saya tidak akan meminta pertolongan daripada orang musyrik.” (Hadith Sahih Riwayat Ahmad dan Muslim).

Wallahu A'lam.