Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Rabu, 14 Oktober 2009

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN (BAHAGIAN 1) : SYIRIK :

BAHAYA SYIRIK
YANG SEMAKIN MENULAR DIKALANGAN
UMAT ISLAM
DAN
DALAM POLITIK DI MALAYSIA.
Pengertian Syirik :
Syirik bermaksud menyekutukan atau menyamakan Allah S.W.T. dengan sesuatu makhluk-Nya sama ada dari segi zat-Nya, sifat-Nya, ataupun perbuatan-Nya.
Contohnya : Jika seseorang itu menyamakan Allah S.W.T. dengan patung atau sebagainya dalam kepercayaan agama lain adalah dianggap syirik, wal iyazu billah.
Syirik boleh berlaku jika seseorang itu menyekutukan Allah S.W.T., sama ada dengan perbuatan, perkataan, melalui hati.
Mensyirikkan Allah S.W.T. diharamkan kerana perbuatan tersebut menafikan kekuasaan Allah S.W.T. dan merupakan suatu kezaliman yang besar.
Firman Allah yang bermaksud :
“Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya
syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.
(Surah al-Ma’idah, ayat 72)
Firman-Nya lagi yang bermaksud :
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-Nya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”
(Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud :
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-Nya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya”.
(Surah an-Nisa’, ayat 116)

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar".
(Surah Luqman, ayat 13)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk. Sabda Baginda lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu".
Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah S.A.W.:
“Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: “Engkau menjadi suatu yang lain sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini suatu yang berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda menjawab: “Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu sendiri".
(Hadis riwayat Muslim)

Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda mengenai dosa besar iaitu :
mensyirikkan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh nyawa dan memberi penyaksian palsu.
(Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. telah menasihatkan para sahabat dan orang Islam supaya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan hidup seseorang iaitu :
mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. kecuali dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan peperangan dan menuduh perempuan Mukmin suci melakukan zina.
(Hadis riwayat Muslim)

JENIS-JENIS SYIRIK :
Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).
Pertama : Syirik Jali :
ialah syirik yang besar, terang dan nyata atau menyekutukan Allah S.W.T. secara terang-terangan yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur.
Contohnya :
1. Menyembah sesuatu selain Allah S.W.T.
2. Menyatakan Allah S.W.T. tidak bersifat dengan sifat-sifat Allah S.W.T.
3. Meragui tentang kekuasaan Allah S.W.T.
Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu :
1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.

2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.

3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.


Kedua : Syirik Khafi :

ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan sifat peribadi individu muslim sendiri. Sama ada di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Contohnya :

1. Riak, takbur, dan sombong kepada Allah S.W.T.

2. Mengagungkan kehebatan sesuatu selain Allah S.W.T.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud:
“Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya".
(Surah al-Kahfi, ayat 110)
Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.
Rasulullah S.A.W. dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat
supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.
Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi".
(Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh".
(Surah al-Hajj, ayat 31)
Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.
Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.
Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Beberapa langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup manusia, termasuk pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh.
Selain itu diperbanyakkan penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya. Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.
Cara Mengelakkan Perbuatan Syirik :
Pertama :
Umat Islam hendaklah sentiasa didedahkan dengan ajaran Islam secara meluas yang merangkumi semua bidang kehidupan.
Kedua :
Menanamkan keyakinan yang teguh terhadap kekuasaan Allah s.w.t. pada jiwa individu muslim sejak kanak-kanak lagi.
Ketiga :
Mendidik masyarakat Islam supaya mereka mempelajari ilmu agama secukunya. Menuntut ilmu agama adalah wajib bagi setiap muslim sehinggalah ke akhir hayat.
Keempat :
Umat Islam hendaklah diberitahu tentang kesan buruk perbuatan syirik.
Kelima :
Menerapkan akhlak-akhlak mahmudah supaya menjadi amalan dan penghayatan dalam kehidupan harian.
Keenam :
Menghapuskan tempat-tempat yang menjadi punca masyarakat melakukan syirik.
Ketujuh :
Sentiasa berwaspada dengan helah-helah ajaran agama lain dalam negara.
Contoh Perbuatan Syirik Yang Sering Dilakukan Dalam Masyarakat Kita Ialah:
Pertama :
Memohon hajat di kubur yang dianggap keramat dan boleh menunaikan sesuatu hajat.
Kedua :
Percaya pada kuasa lain boleh menyembuhkan penyakit. Seperti kita berkeyakinan bahawa doktor atau pawang atau bomoh atau ustaz yang mengamalkan perubatan Islamlah yang menyembuhkan penyakit. Sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah s.w.t. Adapun ubat, doktor, ustaz perubatan Islam, bomoh dan pawang hanyalah penyebab penyakit kita menjadi sembuh. Manakala yang menyembuhkan sebenarnya ialah Allah S.W.T dengan keizinan-Nya.
Ketiga :
Bersekongkol atau turut serta dalam upacara ibadah agama lain yang sesat lagi menyesatkan. Malah turut serta melakukan upacara yang syirik tersebut.
Keempat :
Percaya dan yakin pada ilmu sihir atau ilmu hitam serta beramal dengannya.
Kelima :
Percaya pada tangkal azimat yang dapat menyembuhkan penyakit atau dapat melindungi kita daripada malapetaka.
Implikasi / Kesan Amalan Syirik :
Perbuatan mensyirikkan Allah s.w.t. dengan sesuatu sangat dilarang oleh Islam. Oleh sebab itu, setiap individu muslim hendaklah menjauhi diri daripada perbuatan tersebut supaya selamat di dunia dan di akhirat.
Syirik mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada individu dan masyarakat, sebagaimana berikut :
A. Terhadap Individu :
1. Membatalkan iman;
2. Hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah s.w.t.;
3. Dibenci oleh umat Islam yang lain;
4. Dimurkai Allah s.w.t.;
5. Menafikan kekuasaan Allah s.w.t.
B. Terhadap Masyarakat :
1. Akidah masyarakat akan menjadi rosak;
2. Maruah masyarakat Islam akan dipandang rendah dan tercemar;
3. Menimbulkan permusuhan dalam masyarakat;
4. Masyarakat Islam akan menjadi lemah.
Kesimpulan :
Wahai saudara seIslamku sekalian. Saya amat berasa sedih kerana masih terdapat segelintir di dalam masyarakat Islam kita yang sanggup melakukan perkara-perkara seperti ini.
Sebenarnya para ustaz dan ustazah telah menerang serta memperjelaskannya secara terperinci di setiap sekolah di seluruh Malaysia dalam sistem pendidikan negara kita. Namun, perbuatan ini tetap juga berlaku. Dimanakah kesilapannya ? Adakah mereka ini suatu ketika dahulu di zaman pelajar sekolah adalah pelajar-pelajar yang ibarat menerima ilmu "masuk telinga kanan, keluar telinga kiri ?
Perbuatan syirik adalah dosa besar yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan boleh jatuh kafir. Amalan syirik merupakan amalan orang kafir yang sentiasa mensyirikkan Allah s.w.t. dengan sesuatu.
Oleh itu, bersegeralah bertaubat nasuhah tanpa mengulangi perbuatan tersebut. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menerima taubat kita. Amin..
Harapan saya ialah agar umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah bertakwa (takut) kepada Allah s.w.t. Apatah lagi, jika kita sebagai ahli politik. Ini penting kerana disebabkan perbuatan kita tersebut (mensyirikkan Allah s.w.t.), maka ianya juga boleh menyebabkan pengikut kita menjadi sesat lagi menyesatkan.
- wALLAHU a'LAM-

5 ulasan:

C L J berkata...

TK atas peringatan SM.
Dalam selesa dan yakin kita kadang lalai melihat dari mata pelanggan.
Semuga kita tidak lalai daripada peringat memperingati.
Pohon selalu disemak dan ditunjuki sebarang yang boleh membawa akibat tidak baik kepada dari dan orang lain.

Selempang Merah berkata...

Salam bro Che Leh Jangok..
Terima kasih atas sokongan anda..
Selagi nyawa dikandung badan, Amar Makruf Nahi Munkar akan diteruskan melalui blog ini.
Ianya bertujuan meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam usaha membantu menyelamatkan aqidah umat Islam akhir zaman ini.
Insya'Allah..

Tanpa Nama berkata...

Salam selempang merah, Gila kuasa tu satu... yang paling memburukkan PAS di mata rakyat ialah kelakuan ulama2 PAS't yang tidak berkaliber dan dalam kata lainnya "bodoh macam lembu!" la jugak. Baguslah, PAS't sekarang ni menghancurkan diri mereka sendiri. Tak sabar MC nak tengok dorang runtuh macam Durian Busuk!

Tanpa Nama berkata...

im following ur blog .. .

Selempang Merah berkata...

Salam Media Cyber..
Tidak mustahil PAS akan tersungkur teruk sbb skrg PAS bukan perjuangkan Islam lg mcm dulu.. Malahan pula, PAS dah berkerjasama dgn kafir harbi (DAP = Anti Islam) dan golongan munafik (PKR)..
Marilah kita sama2 tunggu dan lihat keputusan PRU13 nanti..
Yang penting sekali, UMNO jgn ulangi kesilapan mcm zaman Pok Loh yg byk mengaloh..
Wallahu A'lam..