Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita dipanjangkan usia dan insya-Allah, kita sama-sama akan berkesempatan menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w. pada tanggal 12 Rabiulawal 1431 (26 Februari 2010) ini.
Mengenang kelahiran, seterusnya mengimbau sirah baginda termasuk pahit getirnya menyerukan Islam, akan terasa betapa dekat diri ini padanya. Namun demikian, hanya tinggal perasaan yang hakikatnya pada hari ini, kita semakin hari semakin jauh daripada kekasih Allah s.w.t. tersebut s.a.w. .
Apa tidaknya, kita cukup bimbang mulut kita saja berkomat-kamit menyebut nama Rasulullah s.a.w. dalam majlis-majlis seperti berzanji dan sambutan Maulidur Rasul sedangkan cara hidup kita tersasar daripada sunnah baginda s.a.w. .
Memang betul pada majlis-majlis khas itu, kadangkala kita begitu terbawa-bawa dalam memuji-muji Rasulullah s.a.w. .
Malangnya dalam kehidupan kita hari ini, secara kita sedar atau tidak, ada di antara kita sebenarnya telah menghina Islam yang telah didakwahkan sepenuh jiwa oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya itu.
Semua peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang perlu diikuti oleh manusia sudah termaktub dalam kitab al-Qur'an dan hadis, tetapi apakah kita termasuk pemerintah, mengikuti atau sesiapa sahaja dikalangan umat Islam telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya?
Atau kita bermain-main terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., mengikuti apa yang kita fikirkan sesuai untuk diri dan menolak apa yang difikirkan tidak sesuai?
Dalam perkembangan semasa di negara kita, kita amat dukacita apabila kes-kes jenayah yang berkaitan dengan perundangan Islam masih belum mampu dimartabatkan oleh kita sebagai umat Muhammad s.a.w. yang sepatutnya meta'ati segala perintah Allah s.w.t. . Malah, kes-kes jenayah tersebut diadili oleh Mahkamah Sivil yang kadangkalanya diadili oleh orang bukan Islam yang jelas menolak Islam.
Jelas sekali dalam menangani kes seperti ini Islam tidak diperlukan, lantas apakah maknanya kita meluangkan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. pada majlis-majlis khas seperti Maulidur Rasul?
Saban tahun pada majlis-majlis seperti ini pemimpin akan beretorik, mengucapkan pesanan penuh syahdu seperti 'teladanilah Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat' atau pun 'Rasul adalah contoh ikutan'.
Namun, dengan mengetepikan hukum-hakam Islam, dan kemudian membabitkan diri dalam membuka keaiban orang dalam suasana paling jijik dalam sejarah, tidak malukah kita untuk terus mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah s.a.w.?
Tanyalah diri kita secara jujur, adakah kita tergolong sebagai golongan munafiq (hipokrit paling besar)?
Adakah kita hanya sekadar mendabik dada mengaku cintakan Rasul, tetapi sebenarnya kita tergolong sebagai golongan penghina ajaran baginda s.a.w. ?
Ramai dikalangan umat Islam pada masa ini adalah kaki rasuah, perompak harta negara, pengamal riba dan pemakan duit haram daripada sumber judi dan arak. Namun ianya menjadi sungguh aneh pada sambutan Maulidur Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit memberitahu satu dunia bahawa kita amat cintakan Rasul.
Oleh itu, contohilah Rasulullah s.a.w. . Rumah Rasul terlalu daif, biasanya dapurnya tidak berasap selama beberapa hari. Selalu berlapar, pakaiannya bertampal, perabot beliau hanya katilnya yang kasar dan apabila meninggal dunia tidak meninggalkan harta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan