Nampaknya, isu perarakan Maulidur Rasul semakin hangat diperkatakan sama ada dari kalangan yang berilmu sehinggalah yang cetek ilmunya. Berbagai bentuk huraian serta pandangan mereka bagi menterjemahkan isu ini mengikut akal fikiran dan kehendak hati mereka. Walau bagaimanapun, ada pandangan yang boleh diguna pakai dan ada juga yang tidak boleh di pakai langsung.
Adakah salah jika kita tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tersebut ? Adakah salah jika kita melakukan perarakan tersebut ? Apa yang penting di sini ialah kita sepatutnya kembali kepada hukum melakukan perarakan ini mengikut apa yang telah digariskan oleh Al-Qur'an & Hadis. Adakah terdapat dalam mana-mana ayat dalam Al-Qur'an yang mengatakan bahawa melakukan perarakan ini adalah WAJIB ? Saya yakin, tiada sesiapapun akan menjumpai dalil dari ayay-ayat Al-Qur'an, mahupun di dalam Hadis-Hadis Nabi s.a.w. berkenaan tentang kewajipan melakukan perarakan ini.
Walau bagaimanpun, adakah terdapat hujah-hujah yang mengharamkan/melarang perarakan Maulidur Rasul ini dalam Al-Qur'an ataupun Hadis? Saya yakin, tiada seorang alim ulamak pun yang akan menjumpai hujah-hujah menharamkan/melarang perarakan Maulidur Rasul dari ayat-ayat suci Al-Qur'an ataupun Hadis-Hadis Nabi s.a.w.
Oleh itu, timbul beberapa persoalan kepada kita sebagai umat Islam bahawa : Apakah kepentingannya perarakan ini untuk diadakan ? Apakah kebaikan perarakan ini terhadap Syiar Islam ataupun umat Islam itu sendiri ?
Bagi pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mempersoalkan tindakan kerajaan Pulau Pinang dengan mengatakan : "memang perarakan Maulidur Rasul tiada dalam syarak dan lebih menjurus kepada satu "trend", tapi ianya menjadi antara cara kita menarik minat belia kepada sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. dan agama Islam".
PERSOALAN :
Adakah benar perarakan Maulidur Rasul ini mampu menarik minat belia kepada sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. ? Apakah jenis pengisian yang mampu diberikan dalam perarakan Maulidur Rasul ini terhadap belia-belia kita ? Adakah dengan hanya berarak menyambut Maulidur Rasul, belia-belia Islam ini mampu memahami dan menghayati sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. ?
Di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata : Kerajaan Negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan bagi menyambut Maulidur Rasul memandangkan bulan Maulud tidak mempunyai sebarang fadilat dan kelebihan berbanding bulan Ramadan.
“Boleh jadi, orang negeri lain sambut Maulud besar-besaran. Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa. Di rumah saya sendiri, saya tak pernah buat Maulud. Sebenar-benar Maulud bagi saya, bagi orang seperti kami (gerakan Islam) ialah mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara. Ini sebenar-benar Maulud,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu berkunjung ke rumah Pengerusi Eksekutif SBJ Binajaya Sdn Bhd sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini, semalam.
Sementara di Kuala Terengganu pula, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, “Tidak cukup dengan sambut maulud setahun sekali, berarak, angkat sepanduk, berselawat, dalam masa yang sama kita tengok di hadapan mata kita, hukum-hukum Islam, perintah Allah Ta'ala tidak diamalkan”.
Jelasnya, Allah memerintahkan nabi-nabi dan rasul-rasul mengarahkan umat masing-masing supaya beriman, menolong dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah sekiranya sempat dengan baginda s.a.w. untuk memenangkan Islam. “Menolong untuk memenangkan Islam, menang untuk apa, menang untuk memerintah, mendirikan kerajaan,” ujarnya yang menafsirkan ayat 81, surah Aali Imran berhubung perintah Allah tersebut.
Jelasnya, setelah dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul, maka Rasulullah mengajak kaum keluarganya dan mereka yang ditemui supaya mengucapkan dua kalimah syahadah di samping mengajak mereka mendirikan kerajaan yang beramal dengan hukum-hukum Allah sebagaimana yang diturunkan di dalam al-Quran.
Tambahnya, Nabi s.a.w. juga mengumpulkan para sahabat, orang-orang beriman selain mengajak ahli-ahli kitab Yahudi dan Kristian dan mengutuskan surat kepada raja-raja dalam dunia supaya menganut Islam dan menerima Islam sebagai agama yang memerintah dan berdaulat.Justeru itu, tegasnya perjuangan itu tidak berhenti walaupun Rasulullah s.a.w. sudah wafat.Maka, katanya, adalah tidak cukup dengan sekadar sambutan Maulidur Rasul setahun sekali dengan berarak, mengangkat sepanduk dan berselawat tetapi dalam masa yang sama tidak melaksanakan perintah Allah Taala.
Tambahnya lagi, akibat tidak melaksanakan hukum-hukum Islam menyebabkan keadaan menjadi huru-hara dengan peningkatan jenayah seperti rompakan, kecurian, pembunuhan dan sebagainya.
Di samping itu, ujarnya, bencana semakin banyak berlaku kerana manusia meninggalkan perintah Allah supaya beramal dengan hukum-Nya dalam semua perkara.“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya. Tambahnya lagi, para sahabat dibunuh dan dihalau dari kamung halaman kerana berjuang bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk mendirikan kerajaan dan memerintah dengan syariat Allah.
Dari penjelasan tokoh-tokoh di atas, sebenarnya perkara yang hendak dibangkitkan oleh masyarakat Islam di Pulau Pinang, atau NGO, ataupun Kepimpinan UMNO ialah untuk menjelaskan kepada rakyat Pulau Pinag khasnya dan seluruh Malaysia amnya, bahawa inilah yang akan berlaku kepada umat Islam jika pembangkang yang dipimpin oleh DAP memerintah negeri ataupun negara. Jika kita tidak berubah persepsi kita mulai hari ini, tidak mustahil Pulau Pinang akan mengikut jejak langkah Singapura. Inilah hasil pertemuan Lee Kwan Yew dengan Lim Guan Eng. Tidak mustahil antara tujuan LGE ialah bertujuan untuk menafikan wujudnya umat Islam di Pulau Pinang dengan menyekat beberapa aktiviti umat Islam di sana. Oleh kerana itulah dia membatalkan perarakan tersebut setelah mendapat khidmat nasihat dari Tok Gurunya TG Nik Aziz dan TG Hadi Awang. Persoalan yang timbul ialah rugikah jika LGE membenarkan perarakan ini? Adakah LGE sebenarnya memang anti Islam yang mahu bersembunyi dari topeng Umar Abdul Aziz? Dari sudut pandangan Islam, tindakan LGE tidak salah.
Namun, tindakannya telah menyekat salah satu aktiviti umat Islam bagi menzahirkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebenarnya, kita hendaklah mengkaji berapa banyak kebaikan dan keburukan perarakan ini. Jika kebaikan lebih banyak, maka ianya sesuai dilaksanakan bagi meninggikan syiar Islam di negara kita sebagai salah satu usaha dakwah kepada rakyat Malaysia.
Ya Allah, Ya Samii'hun Alim.. Kurniakanlah kepada kami taufiq dan hidayah dalam usaha menegakkan kalimah "La ila ha illAllah, Muhammadar Rasulullah". Satukanlah hati umat Islam di negara kami agar kami mudah melaksanakan perintah-Mu, meninggalkan segala larangan-Mu. Jadikanlah kami umat yang sentiasa bersaudara tanpa mengira sebarang bentuk parti dalam meninggikan syiar Islam. Amin.. Ya Rabbal aalamin..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan