Gelagat Guan Eng Macam Orang 'Lupa Diri' :
Kini Akar Umbi DAP Pulau Pinang Mula Suarakan Kekecewaan Dengan Sikap Ketua Menterinya :
Oleh Amin Ridzuan Ishak
SEORANG pemimpin DAP di Pulau Pinang menyamakan pergolakan politik di negeri itu bagaikan drama Korea yang pernah menjadi kegilaan anak remaja negara kita.
"Tak habis-habis hendak bergaduh dan orang ramai sudah tentu tidak sabar menunggu episod berikutnya. Ini macam tengok drama Korea," katanya yang bertugas di pejabat Ketua Menteri sejak kerajaan pakatan pembangkang memerintah Pulau Mutiara.
Mungkin beliau cuba bergurau apabila menyamakan pergolakan menyaksikan bosnya, Lim Guan Eng teruk dikritik dua wakil rakyat mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang sudah pun keluar PKR dan Tan Tee Beng, masing-masing Ahli Parlimen Bayan Baru dan Nibong Tebal.
Tetapi, beliau harus sedar bahawa situasi berlaku kini bukannya drama Korea yang akhirnya tidak memberi sebarang faedah kepada mana-mana pihak kecuali hiburan. Ini berkaitan hak dan kepentingan orang ramai.
Walaupun kritikan Zahrain yang pedas di halwa telinga Guan Eng serta individu menyokongnya berunsurkan kekecewaan kerana partinya tidak dilayan dengan adil, kepentingan rakyat tidak boleh dilupakan.
Seperti dalam isu gerai penjaja kecil, Zahrain membangkitkan perkara itu selepas tidak tahan melihat pengusaha di kawasannya yang hanya mahu sesuap nasi, diganggu.
Selain itu, label diberikan Guan Eng oleh Zahrain sebagai seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis sebenarnya untuk memberi isyarat kepada rakyat negeri ini mengenai sikap sebenar anak Melaka itu.
Selain itu, label diberikan Guan Eng oleh Zahrain sebagai seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis sebenarnya untuk memberi isyarat kepada rakyat negeri ini mengenai sikap sebenar anak Melaka itu.
Bekas Pengerusi Perhubungan PKR itu bimbang jika Setiausaha Agung DAP itu terus dibiarkan mengetuai kerajaan Pulau Pinang, semakin hilang arahlah negeri terkenal dengan jolokan Pulau Mutiara.
Kekecewaan Zahrain itu turut dikongsi Tan yang membangkitkan isu kegagalan kerajaan negeri menyalurkan wang peruntukan kepada Ahli Parlimen sehingga menyebabkan nasib rakyat gagal dibela.
Ia adalah isu rakyat, bukannya semata-mata kecewa terhadap DAP, rakan dalam pakatan pembangkang. Aspek ini cukup penting kepada Tan kerana kawasan diwakilinya adalah kawasan terletak di luar bandar.
Tidak cukup dengan 'serangan' dua wakil rakyat PKR itu, ahli DAP sendiri yang majoritinya berjuang kuat kepada parti pula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap anak kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu.
Mereka kecewa dengan sikap Guan Eng yang jelas berubah selepas saja duduk di kerusi empuk Ketua Menteri di Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Guan Eng didakwa mula menjauhkan diri daripada ahli akar umbi DAP yang banyak membantu parti itu memenangi pilihan raya umum lalu dan cenderung membawa orang dari luar Pulau Pinang.
Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, Guan Eng enggan mendengar segala kritikan secara positif, malah beliau melenting dan membuat pelbagai tuduhan. Maka, keluarlah tuduhan seperti ejen Umno dan Barisan Nasional kepada orang yang menegurnya. Kritikan dilontarkan terhadapnya langsung tidak didengari dan tidak dipedulikan.
Lebih teruk apabila orang sekelilingnya pula bertindak membuat pelbagai tuduhan liar yang tidak diketahui kebenarannya. Bagi membalas serangan Zahrain, DAP Pulau Pinang mendakwa kenyataan mengkritik Guan Eng dibuat kerana kecewa selepas Syarikat RM2 disokong Ahli Parlimen itu tidak diberikan tender pengurusan Kelab Golf Bukit Jambul.
Tidak cukup dengan itu, ada usaha mengaitkan syarikat itu dengan keluarga terdekatnya. "Saya bagi amaran, jangan babitkan keluarga dalam hal ini. Saya tidak perlukan apa-apa projek kerajaan negeri untuk hidup. Saya boleh hidup tanpanya. Saya ada integriti," kata Zahrain ketika mengulas tuduhan liar dibuat terhadapnya.
Mungkin akan ada lagi kritikan terhadap Guan Eng selepas ini dan irama sama, iaitu ejen Umno dan BN terus dilontarkan kepada si pengkritik, tetapi buat Guan Eng sekurang-kurangnya dengarlah kritikan.
Janganlah kerana terlalu selesa di Tingkat 28, semua kritikan tidak dipedulikan sehingga rakyat yang 'menyayanginya' mula menggunakan kuasa untuk menghukum.
Jangan biarkan kemarahan rakyat kembali memuncak seperti dilakukan lebih 3,000 orang Melayu dalam satu perhimpunan menggabungkan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau Gabungan Melayu Sedaq (Sedar) pada 5 Februari lalu, kembali berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan