Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Khamis, 18 Februari 2010

RAHSIA KEJAYAAN RASULULLAH S.A.W. :

Kejayaan besar seorang Rasul yang tidak mampu dibuat oleh mana-mana tokoh pun selainnya ialah menyelamatkan kehidupan manusia di dunia lagi dan memberi syafaat kepada umatnya di Akhirat.

Rasul penyelamat roh dan fizikal manusia, membangunkan tamadun rohaniah dan tamadun material yang selamat dan menyelamatkan. Hingga dengan itu manusia dan dunia yang sudah rosak dengan dahsyatnya berjaya dipulihkan.

Firman Allah s.w.t. :
Maksudnya: "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." (Surah at-Taubah : ayat 128)

Kalaulah pemimpin-pemimpin ideologi, politik dan falsafah boleh buat kerja yang paling rumit ini tidak perlulah Allah mengutuskan rasul ke bumi ini. Peranan rasul adalah paling penting, yang tiada tandingannya. Hanya rasul yang boleh selesaikan masalah dunia jahiliah yang sesekali melanda dunia. Dalam sejarah, Allah s.w.t. mengutuskan seorang rasul hanya setiap 700 tahun sekali atau 500 tahun sekali atau 300 tahun sekali. Yakni di waktu semua sistem hidup manusia di dunia benar-benar sudah jammed, buntu dan koma yang tiada seorang ahli fikir lagi yang boleh memberi jalan keluar.

BAGAIMANA RASULULLAH MENERIMA WAHYU ?
Rasulullah s.a.w. mempunyai roh yang sangat suci dan kuat hingga Baginda dapat melakukan sesuatu yang mustahil dapat dibuat oleh seorang filasuf. Sebagai utusan Allah s.w.t., Baginda s.a.w. beroleh pimpinan langsung dari Allah s.w.t. .

Caranya Adalah :

1. Baginda dapat melihat dan mendengar Jibril, pembawa ilmu wahyu dari Allah. Cara itulah Rasul belajar dengan mendapat ilmu melalui perantaraan Jibril.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat." (Surah an-Najm : Ayat 4-5)

2. Kadang-kadang hatinya yang amat terang itu, menerima langsung gelombang ilmu Allah s.w.t. yang jatuh ke hatinya, tanpa perantaraan Jibril.

Bagi ulama-ulama mujtahid atau mujaddid pewaris Rasul pula, hati mereka yang sangat bertaqwa kepada Allah membolehkan roh Rasulullah s.a.w. menjatuhkan terus ilmu Allah s.w.t. ke hati mereka. Inilah dinamakan ilmu ilham.

Rasulullah s.a.w. sangat mengenali Allah s.w.t. dan berhubung rapat dengan malaikat. Tahap kenalnya Rasulullah s.a.w. kepada Allah s.w.t. begitu tinggi sekali sehingga Bagindalah makhluk yang paling takut dan paling cinta kepada Allah s.w.t.. Itulah satu-satunya keistimewaan seorang rasul yang tidak mampu ditiru oleh seorang manusia biasa yang bukan rasul seperti kita.
Kerana itulah Rasulullah s.a.w. mampu melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. .

Para Sahabat bukan sekadar percaya bahkan terlalu cinta dan terlalu takut kepada Allah s.w.t. . Berbeza sekali dengan kelompok-kelompok lain, para Sahabat mendapat sebesar-besar rahmat dan nikmat yang tiada tandingannya, yakni mendapat Allah s.w.t. . Hati mereka sangat kenal Allah, hingga Allah begitu dicintai, ditakuti, disembah, disucikan dan diagungkan.

Firman Allah s.w.t. : Maksudnya : "Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Surah al-Anbiya' : Ayat 107)

BUDAYA HIDUP PARA SAHABAT YANG BERTAQWA :

Bila hati manusia sudah mendapat sifat taqwa, maka dari pokok taqwa itu akan lahirlah buah-buah kehidupan dengan banyaknya. Akan lahirlah sebuah tamadun insaniah yang sangat cemerlang.

Manusia sesamanya akan mampu berkasih sayang, rasa bersama, saling bekerjasama dan boleh bertimbang rasa walau apapun bangsa dan agama manusia itu.

Hati manusia yang dibangunkan dengan perasaan takut dan cintakan Allah s.w.t. oleh guru rohaniah yang pakar, yang rohnya aktif dan boleh pula mengaktifkan roh-roh pengikutnya, sungguh akan melahirkan manusia-manusia yang baik-baik, yang soleh dan solehah.

Pokok taqwa yang tumbuh di hati akan melahirkan manusia yang berkasih sayang, rasa bersama, saling bekerjasama, bertimbang rasa sesama manusia sekalipun berlainan bangsa, agama, bahasa, warna kulit, budaya dan sebagainya.

Golongan kaya menolong yang miskin. Golongan miskin sabar dan tidak meminta-minta. Orang yang bersalah meminta maaf. Orang yang tidak bersalah memberi maaf. Orang-orang besar, para ulama, guru-guru, ibu bapa dihormati dan dimuliakan. Golongan bawahan disayangi, diberi simpati, diperhati dan diambil peduli.

Tiada kasta miskin kaya dalam masyarakat orang bertaqwa, kerana mereka menganut fahaman bahawa miskin dan kaya sama sahaja di sisi Allah. Mulia dan hina bukan ditentukan oleh kaya atau miskin tetapi oleh taqwa.

Sistem dan budaya ini bermula dalam masyarakat Rasulullah s.a.w., sangat subur dalam tempoh 300 tahun berikutnya dan terus diwarisi oleh masyarakat Islam selama 700 tahun yakni sebelum empayar Islam jatuh ke tangan Barat.

Kalau masyarakat kita hari ini penuh dengan kes-kes jenayah, pergaduhan, pembunuhan, jatuh-menjatuhkan, hasad dengki, pencurian, penipuan, rasuah, penzaliman, penindasan, pengkhianatan, perogolan, penzinaan, benci-membenci, fitnah-memfitnah, hina-menghina dan sebagainya, masyarakat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dan 300 tahun selepas Rasulullah s.a.w. sunyi dari semua kezaliman seperti seperti yang disebut di atas. Kalau ada pun terlalu kecil angkanya hingga tidaklah menjadi ancaman apa-apa kepada majoriti masyarakat. Kehidupan manusia bolehlah dikategorikan sebagai aman, damai, selamat, tenang dan makmur.

Allah s.w.t. menamakan masyarakat seperti ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (Surah Saba' : Ayat 13)

Di dalamnya manusia mengecapi syurga dunia yang penuh kebahagiaan, kasih sayang, persaudaraan dan keharmonian. Yakni syurga sementara sebelum Syurga hakiki yang abadi di Akhirat, hasil dari pembangunan material yang diimbangi dengan pembangunan insaniah.

wALLAHu a'lam.


Tiada ulasan: