Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Selasa, 16 Februari 2010

MENGAPA NABI MUHAMMAD S.A.W. DIGELAR "UMMIY" ?

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN
RASULULLAH S.A.W.
ADALAH SEORANG YANG "UMMIY" ?
Semoga Allah s.w.t. mengampunkan kita di atas salah tanggap dan salah tafsir terhadap status Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai seorang Rasul yang "Ummiy". Selama ini kita difahamkan bahawa Ummiy itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, ertinya buta huruf.
Jika begitu fahaman kita, ertinya kita menganggap Baginda s.a.w. orang yang tidak belajar, bererti seorang yang bodoh. Ensiklopedia Barat juga mendefinasikan Muhammad s.a.w. sebagai seorang yang illiterate.
Bagi golongan yang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa masalah baginya. Bagaimana pula bagi yang prihatin dan yang hatinya terbuka ? Mungkin kita merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud "Ummiy" tersebut. Mana mungkin seorang Rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf.
Sebenarnya yang dimaksudkan "Ummiy" itu ialah orang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa.
Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan rohnya. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan dapat menjadi pandai.
Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa, kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain.
Bagi orang biasa, jika tidak mengikut kaedah ini, maka tidak akan menjadi pandai. Itulah lumrahnya. Tetapi itu adalah proses untuk manusia biasa.
Oleh kerana Rasulullah s.a.w. itu adalah seorang manusia yang luar biasa, maka Allah s.w.t. memandaikan Baginda s.a.w. tanpa melalui proses yang dialami manusia biasa seperti kita.
Demikianlah Maha Besarnya Tuhan Yang Satu (Allah s.w.t.), Rasulullah s.a.w. dipandaikan melalui proses luar biasa. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. sebenarnya seorang yang belajar tidak secara biasa tapi secara luar biasa. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasulullah s.a.w. tidak belajar. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. tidak perlu membaca dan menulis.
Mari kita bahaskan pula perkataan "Ummiy" tersebut. "Ummiy" didasarkan kepada ‘ibu’:
1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. Jika tidak ada ibu, mana mungkin dapat melahirkan zuriat.
2. Bagi yang tidak bernyawa yang disebut ibu juga contohnya, ibu roti. Daripada ibu rotilah dapat hasilkan roti. Itu disebut ibu juga.
3. Ibu secara batin atau maknawi punya erti yang lebih hebat, iaitu ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh, tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah s.w.t. terus menganugerahkan ilmu kepada Rasulullah s.a.w. tanpa menggunakan alat.
Itulah sebabnya Rasulullah s.a.w. dikatakan "Ummiy" iaitu belajar secara terus dari Tuhan Yang Esa (Allah s.w.t.). Allah s.w.t. terus menganugerahkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan roh.
Oleh itu, menjadi suatu kesalahan besar, sekiranya kita mengatakan Rasulullah s.a.w. tidak belajar. Rupa-rupanya begitu hebat Allah s.w.t. memproses hamba-hamba yang dikehendaki- Nya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya antara mukjizat Rasulullah s.a.w. yang cukup agung dan hebat.
"Ummiy" itu adalah lambang kebesaran Rasulullah s.a.w. sebenarnya. Oleh itu, memang selayaknyalah bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. itu dikatakan ibu, kerana baginda ialah ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, perpaduan dan lain-lain lagi kerana daripadanya lahirlah ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, pengorbanan, perjuangan dan lain-lain.
Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi Baginda s.a.w. menjadi ibu berlandaskan gelaran "Ummiy" tersebut ialah kerana rohnya adalah ciptaan Allah s.w.t. yang pertama sekali penciptaannya. Dan dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad s.a.w. inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, Syurga, Neraka dan lain-lain.
Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah s.a.w. sehinggakan Baginda s.a.w. dilantik menjadi Penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya. Musuh-musuh Islam, khususnya Yahudi dan puak orientalis barat sebenarnya sangat mengenali siapa Rasulullah s.a.w. atau lebih hebat daripada apa yang kita ketahui. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka.
Namun, disebabkan mereka adalah syaitan yang bertopengkan manusia, maka mereka cuba dan terus mencuba mengelirukan dan mengelabukan pemikiran umat Islam dengan mengatakan bahawa : “Rasulullah s.a.w. itu "Ummiy" iaitu tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al-Quran itu bukan dari tulisan Rasulullah”.
Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud "Ummiy" yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah s.a.w. . Akhirnya umat Islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah s.a.w. itu buta huruf, dan kesan saikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat Islam menjadi umat yang mundur bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan, dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.
Usaha-usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah s.a.w. memang telah sekian lama dirancang oleh musuh-musuh Islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah s.a.w. sebagai tidak bertamadun agar umat Islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah s.a.w. cuba ditutup dan dilindungi.
Oleh itu, untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa "Ummiy" adalah satu mukjizat besar Rasulullah s.a.w. dan bukannya buta huruf. Mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini.
Rasulullah s.a.w. digelar "Ummiy" kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana surah Al-Fatihah dikatakan Ummul Kitab, kerana di dalamnya adalah intipati Al-Quran. Begitu jugalah dengan Rasulullah s.a.w., di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu.
Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepada Rasulullah s.a.w. itu adalah ibu ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali kail mestilah kemas dan tahan, peralatannya mestilah gagah dan sesuai dengan ikan yang hendak dikail.
Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Allah s.w.t. sepertimana Rasululah s.a.w. mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan kepada baginda adalah diajar terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan roh. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

wALLAHu a'lam.

Tiada ulasan: