Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Isnin, 18 Januari 2010

Daulah Othmaniah Hanya Tinggal Sejarah :

Sesudah runtuhnya Kerajaan Baghdad dengan naiknya Bangsa Monggol dan Tartar, boleh dikatakan tiada lagi sebuah Kerajaan Islam yang besar dapat menjadi tumpuan harapan Dunia Islam. Negeri-negeri Islam berpecah-belah, apatah lagi wilayah Islam itu memang luas sekali. Tetapi dengan timbulnya Kerajaan Othman atau Daulah Othmaniyah, dapatlah Islam kembali menunjukkah kegagahperkasaan yang luar biasa dan dapat menyambung usaha dan kemegahan yang lama.

Daulah Othmaniyah dari permulaan sampai ke abad 20 ini telah mempertahankan kemegahan Islam, baik secara menyerang di zaman jayanya mahupun secara bertahan di zaman menurun. Seratus tahun yang telah berlalu, negeri-negeri Eropah Timur (Balkan) adalah kerajaan-kerajaan yang bernaung di bawah pemerintahan Kerajaan Turki Othmaniyah. Kekuasaannya meluas ke menara-menara menjulang langit di bekas kekuasaan Kerajaan Byzantien (Constantinopel), setelah negeri besar itu ditakluki oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada pertengahan Abad Ke-15 (1453). Begitu juga ianya pernah pula Sulaiman Al-Qanuni dua kali menyerang Kota Vienna, pusat kerajaan Austria. Maka sampai sekarang ini, masih terdapat umat Islam di negara-negara seperti Bulgaria, Yugoslavia, Checz dan Slovakia, Polandia, iaitu keturunan-keturunan Islam Turki Othmaniyah yang pernah mengibarkan bendera " Bulan Bintang " di negara-negara tersebut.

Secara umumnya Sejarah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. telah berkembang secara meluas di seluruh dunia. Kerajaan Bani Ummaiyyah, Kerajaan Bani Abbasiyyah, dan Empayar Turki Uthmaniyah boleh dikatakan penyambung kekuatan Islam selepas pemerintahan Khulafak ar-Rasyidin.
Dalam tahun 661 Masehi - Setelah sekitar 6 bulan Khalifah Saidina Hasan memerintah, 2 kelompok besar pasukan Islam iaitu Pasukan Khalifah Saidina Hasan di Kufah dan pasukan Muawiyah di Damsyik telah siap untuk memulakan suatu pertempuran besar. Ketika pertempuran hendak berlangsung, Muawiyah kemudian menawarkan rancangan perdamaian kepada Khalifah Hasan yang kemudian dengan pertimbangan persatuan Umat Islam, rancangan perdamaian Muawiyah ini diterima secara bersyarat oleh Khalifah Saidina Hasan dengan kekuasaan khalifah diserahkan oleh Khalifah Hasan kepada Muawiyah. Tahun itu kemudian dikenal dengan nama Tahun Perdamaian/Persatuan Umat (Am Jamaah) dalam sejarah Umat Islam. Sejak saat itu Muawiyah menjadi Khalifah Umat Islam yang kemudian dilanjutkannya dengan sistem Kerajaan Islam yang pertama iaitu pergantian pemimpin (Raja Islam) yang dilakukan secara turun temurun (Daulah Umaiyyah) dari Daulah Umaiyyah ini kemudian berlanjut kepada Kerajaan-Kerajaan Islam selanjutnya seperti Daulah Abbasiyah, Fatimiyyah, Usmaniyah ..
Bagaimanapun keadaan Kerajaan Turki yang sekarang ini, yang telah berubah daripada satu negera memakai Sultan/Khalifah menjadi sebuah Republik "secular" yang tidak berdasar agama, namun bangsa Turki sendiri tetap bangsa pemeluk Islam yang teguh beragama dan mempunyai sejarah gilang-gemilang. Walaupun pakaiannya berubah namun jiwa Islam masih teguh di Turki. Maka di dalam kita mempelajari sejarah Umat Islam tidaklah dapat kita mengabaikan Sejarah Kerajaan Turki-Othmaniyah ini.
Asal-usul Kerajaan Othmaniyah :
Nama Kerajaan Othmaniyah itu diambil dari dan dibangsakan kepada nenek-moyang mereka yang pertama, Sultan Osmani ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Shah ibn Kia Alp, kepala kabilah Kabi di Asia Tengah.
Tatkala bangsa Tartar bangkit menyerbu ke Dunia Islam, menakluk, membakar, membunuh dan merampas, maka Sulaiman Shah, datuk dari Sultan Othman, melihat bahaya itu bagi negeranya di Mahan. Bermuafakatlah dia dengan anggota persukuannya yang besar itu, supaya lekas pindah ke negeri lain yang lebih aman, iaitu tanah Anatolia di Asia Kecil. Kehendaknya itu dituruti oleh anak buahnya. Mereka pun berangkatlah menuju Anatolia, meninggalkan kampung halamannya yang kelak akan menjadi padang jarak padang tekukur saja, apabila tentera Tartar masuk dan tiada akan dapat mereka pertahankan. Adapun banyak anak buahnya yang mengikuti dia itu ialah lebih kurang 1000 orang berkuda. Kejadian ini berlaku di dalam abad ke-7 Hijrah.
Beberapa lamanya mereka berhenti di negera Akhlat tetapi tidak lama kemudian tentera Tartar pun telah dekat pula sampai ke negeri itu sehingga dengan segera mereka pindah pula ke negeri Azerbaijan. Kemudian terdengarlah berita bahawa gelombang bangsa Tartar itu telah jauh dari negera asal mereka iaitu Mahan dan negera yang telah kosong itu tidak jadi mereka masuki. Maka terniatlah di hati Sulaiman Shah hendak pulang dan membangunkannya kembali. Dalam perjalanan pulang itu seketika lamanya mereka berhenti di benteng Jaabar dalam wilayah Orga. Setelah itu mereka seberangilah sungai Ephrat. Tiba-tiba sedang menyeberang itu , air menjadi besar sehingga Sulaiman Shah, kepala kabilah itu tenggelam dalam sungai yang besar itu dan tidak dapat di tolong dan jenazah beliau dikebumikan dekat benteng Jaabar itu.
Beliau meninggalkan empat orang putera ; Sankurtakin, Kun Togdai , Artugrul dan Dandan. Anaknya yang pertamalah yang melanjutkan maksud ayahnya, pulang ke kampung dan anak yang berdua lagi iaitu Artugrul dan Dandan meneruskan niat ayahnya yang kedua iaitu meneruskan perjalanan ke daerah Anatolia, mencari daerah yang subur. Mereka memilih tanah Erzerum. Artugrul diangkatlah oleh persukuannya menjadi kepala kabilah.
Adapun yang pulang ke negeranya itu tidaklah terdengar khabar beritanya lagi dalam sejarah.
Setelah kedua saudara yang kecil sampai ke daerah Anatolia, maka Artugrul mengutus puteranya Sauji menghadap Sultan Alaieddin Kaiqubaz Sultan Saljuk Rumi, memohon supaya baginda sudi memberi izin berdiam di dalam wilayah kekuasaannya dan mohon diberi tanah untuk bercucuk tanam dan juga mengembalakan ternakan mereka. Permohonan itu diperkenankan oleh Sultan Alaieddin dan dalam perjalanan pulang hendak menyampaikan berita itu kepada ayahnya maka meninggallah Sauji.
Setelah selesai menguburkan jenazah Sauji dan dalam keadaan girang kerana mendapat tanah tetapi sedih kerana kematiannya, mereka teruskan perjalanan menuju ke tanah yang telah dihadiahkan itu. Semasa di tengah perjalanan mereka melihat dua angkatan tentera sedang bertempur dengan hebatnya. Yang satu pihak besar jumlahnya sedang satu pihak lawannya bilangannya kecil sahaja.
Maka timbullah semangat keadilan pada pihak Artugrul sehingga dengan segera dia menyerukan anak buahnya supaya segera menyerbu ke medan perang itu dan berdiri di pihak yang lemah dan semangat mereka bertambah gelora apabila diketahuinya bahawa pihak lawan yang lebih kuat itu adalah tentera Monggol iaitu musuh ketat mereka dan pihak yang lemah itu ialah tentera Sultan Alaieddin Saljuk yang mempertahankan negeranya dari serangan Monggol dan juga yang memberikan hadiah tanah kepada mereka. Maka dengan bantuan yang tiba-tiba itu keadaan pun menjadi sebaliknya. Serangan Monggol telah dapat ditangkis dan akhirnya kedudukan tentera Saljuk bertukar daripada bertahan kepada menyerang dan tentera Monggol mengundurkan diri.
Sangat gembira Sultan Alaieddin mendengar berita kemenangan itu . Diundangnyalah Artugrul ke istana dan diterimanya dengan serba kehormatan dan diberinya pula tanah dan wilayah kekuasaan lebih luas daripada apa yang telah dijanjikannya kepada puteranya, Sauji. Apabila terjadinya peperangan dengan pihak musuh, sentiasalah Artugrul membawa anak buahnya memberikan bantuan kepada Sultan Alaieddin dengan penuh kesetiaan sehinggalah tentera Artugrul diberi gelaran oleh Sultan "Muqaddimah Sultan" (tentera pelopor baginda), kerana bila berperang tentera Artugrul-lah menduduki barisan hadapan.
Pada tahun 1288 Masehi, mangkatlah Artugrul dan gantinya ialah Sultan Alaieddin menunjuk cucunya yang sulung iaitu Othman ( 1288 - 1326 ), putera Sauji. Dan dari Osman I inilah diambil dari nama keturunan Kerajaan Bani Othman.
Ourkhan I ( 1326 - 1359 M )
Murad I ( 1359 - 1389 M )
Bayazid ( 1389 - 1403 M )
Sulaiman ( anak Bayazid )mengangkat dirinya sendiri menjadi Sultan.
Muhammad I ( anak bayazid )menyusun kekuatan hendak merampas warisan dari ayahnya yang kucar-kacir dan mangkat pada 1421M.
Murad II ( 1421 - 1451 M )( menyusul )
Sultan Muhammad Al-Fatih
( menyusul kemudian )
Empayar Turki Uthmaniyyah :
* 1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
* 1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia.
* 1301M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar Turki Uthmaniyyah.
* 1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
* 1389M- Tentera Uthmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
* 1402M- Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di Ankara.
* 1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
* 1453M- Constantinople ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Berakhirnya Empayar Byzantine.
* 1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
* 1526M- Perang Mohacs.
* 1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
* 1571M- Perang Lepanto berlaku.
* 1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV.
* 1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
* 1687M- Sultan Muhammad IV meninggal dunia.
* 1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
* 1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
* 1792M- Perjanjian Jassy.
* 1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
* 1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
* 1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
* 1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
* 1822M- Bermulanya perang kemerdekaan Greece.
* 1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut Uthmaniyyah di Navarino.
* 1829M- Perjanjian Adrianople.
* 1830M- Berakhirnya perang kemerdekaan Greece.
* 1841M- Konvensyen Selat.
* 1853M- Bermulanya Perang Crimea.
* 1856M- Berakhirnya Perang Crimea.
* 1876M- Perlembagaan Uthmaniyyah diluluskan.
* 1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi kuasa autonomi.
* 1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki Muda ditubuhkan. Perlembagaan Uthmaniyyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia dan Herzegovina.
* 1912M- Perang Balkan pertama.
* 1913M- Perang Balkan kedua.
* 1914M- Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
* 1919M- Mustafa Kemal Atatürk mendarat di Samsun.
* 1923M- Sistem kesultanan dihapuskan. Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
* 1924M- Pejabat khalifah dihapuskan. Tamatnya pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah.
sumber wikipedia..
wALLAHu a'lam..

Tiada ulasan: