Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Ahad, 3 Januari 2010

Kalimah "ALLAH" - Kristian Di Malaysia Punca Perpecahan Keharmonian Rakyat Malaysia :

Selama berabad-abad Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan negeri-negeri Melayu ini dirujuk sebagai model negara berbilang-bilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi.

Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai.

Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekali gus “tuan rumah”.

Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa (Melayu) inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.

Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, disamping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini.

Memang dalam sejarahnya, negeri-negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini.

Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu, hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu-gugat.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimah "Allah" ketika ini berpunca akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimah "Allah" dalam konteks agama Kristian Katholik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam negara ini untuk menerima tuntutan mereka.

Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam, Allah di atas segala-galanya. Demikianlah hakikatnya, Allah selama-lamanya ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keIslaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan yang disembah selain Allah (Yang Maha Esa).

Hanya Dialah satu-satunya tuhan bagi umat Islam yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-ism al-a’zam, nama agung bagi dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Anda (khususnya yang bukan Islam), kajilah kitab Al-Qur'an. Kalimah "ALLAH" tercatat di setiap muka surat dalam Al-Qur'an dari helaian pertama hinggalah helaian terakhir. Jika kita kaji kitab-kitab agama lain pada zaman ini (sama ada kitab agama samawi iaitu Bible (Injil), Taurat dan apatah lagi kitab agama Hindu dan Budha dan lain-lainnya) sudah pasti tiada satu kalimah "ALLAH" yang diguna-pakai oleh mereka kecuali di Indonesia dan beberapa negara Arab yang disebabkan pengaruh politik sesebuah negara tersebut.

Sebagai nama khusus-Nya, kalimah "ALLAH" amat berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-'Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh fahaman agama lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah, lalu disebut asma’uLLAH al-husna (nama-nama Allah).

Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (‘alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius.

Bagi umat Melayu-Muslim, sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, "Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia".

Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi SAW memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu, surah ini bermula dengan kata Qul (katakanlah) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Dengan penurunan surah al-Ikhlas ini, bukti bahawa Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan untuk memperbetulkan fahaman mereka khususnya ahli kitab.
Oleh itu, jelaslah kepada kita, Nabi Muhammad dan kita umat Islam diperintahkan untuk menegakkan kalimah "ALLAH" di muka bumi ini tanpa membenarkan ALLAH disyirikkan dengan sesuatu apa pun. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna bersifat tauhid, nama yang menolak syirik, dan sekali gus nama yang menafikan faham tritunggal (tidak beranak dan tidak diperanakkan). Oleh kerana itu, surah ini disebut juga dengan nama Suratut tawhid.

Memang ia surah yang merumuskan fahaman tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “…a personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej peralatan konsep (conceptual correction) terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani.

Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau tritunggal. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawa makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid.

Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya?

Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katholitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan berleluasa.

Ajaran Katholik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif?

Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya, wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

"What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution.

Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries.

Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision.

It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority". Sila rujuk : (http://takemon.wordpress.com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya.

Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di sebalik tuntutan tersebut.

Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatholikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi.

Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mengherotkan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirobah erti dan isinya.

Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat peribumi Melayu.

Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini Stamford Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society.

Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan peribumi Melayu itu dilakukan atas nama “…cultivating the waste and barren soil of the native mind”.

Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu.

Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan daripada masyarakat ketika itu sebagai “Abdullah Paderi”. Kini, Khalid Samad and the geng, telah memberi laluan kepada musuh Islam untuk meluaskan lagi pengaruh mereka.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian.

Provokasi-provokasi keagamaan seharusnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan.

Apapun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual.

Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keIslaman.

Fiqh kita mengambil kira ‘uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.
WALLAHU a'lam..

3 ulasan:

Avishmael berkata...

Selempang Merah, anda dan golongan anda tidak paham. Tidak menghalang orang Kristian menggunakan kalimah Allah bukanlah bererti kita membiarkan syirik. Penggunaan kalimah Allah ialah isu bahasa, bukan isu akidah. Allah bukan untuk org Islam, dan bukan juga utk org kafir. Tapi Allah ialah untuk Tuhan. Allah is for God. Tuhan yg mcm mana? God yg mcm mana? Allah ialah TUHAN YANG MENCIPTAKAN ALAM. Ingatlah dalam surah al-A'raf ayat 104, bagaimana Nabi Musa menerangkan kepada Fir'aun tentang siapa Allah(terjemahan):

"Dan berkatalah Musa: Wahai Firaun! Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari TUHAN SEKELIAN ALAM (Allah)" (Al-A'raf ayat 104)

Malah Allah sendiri menerangkan siapa itu Allah dalam surah al-Fatihah ayat 2:

"Segala puji bagi Allah TUHAN SEKELIAN ALAM" (Al-Fatihah ayat 2)

Dan lihatlah juga bagaimana Nabi Ibrahim mengenal Allah dalam surah al-An'am ayat 79:

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI"

Avishmael berkata...

Begitu juga dalam surah Ibrahim ayat 10:

"Rasul2 mereka bertanya : Patutkah kamu ragu tentang wujudnya Allah, yang MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI?"

Dan sudah menjadi fitrah manusia, apabila baru nk kenal Allah, mereka akan merujuk Ia sbg Tuhan sekelian alam. Ini dpt dilihat dlm surah al-A'raf ayat 120-122 ketika ahli sihir Firaun bertaubat, lantas terus mengisytiharkan keimanan mereka kepada Allah:

"Dan ahli2 sihir itu dgn sendirinya merebahkan diri bersujud. Sambil berkata : kami beriman kepada TUHAN SEKALIAN ALAM. Tuhan Musa dan Harun (Allah)"

Dan renungkanlah wahai Selempang Merah, ketika org kafir menuduh Allah punya anak seperti yg dirakam dlm surah al-Baqarah ayat 116, Allah menjawab tuduhan mereka dgn memperkenalkan diri-Nya kpd mereka dalam ayat tadi dan disambung ke ayat berikutnya (117):

"Maha Suci Allah, bahkan apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah, semua tunduk kepadanya. Allah PENCIPTA LANGIT DAN BUMI, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka (cukuplah) Dia mengatakan kepadanya "jadilah", maka jadilah"

Berdasarkan dalil2 yg saya bagi, pantas saja bg kita mengatakan takrif kalimah Allah ialah TUHAN SEKELIAN ALAM, YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, YANG MENCIPTAKAN KITA.

Selagimana seseorang itu, tidak kira apa agamanya, merujuk Allah sbg Tuhan sekelian alam, pencipta langit dan bumi, yang menciptakan semua makhluk, maka, penggunaan kalimah Allah itu kene pd tempatnya. Walaupun dia mensyirikkan Allah, penggunaannya betul dari SUDUT BAHASA.

Isu keesaan Allah lain pula ceritanya. Soal keesaan tidak termasuk dlm takrif kalimah Allah. Ini soal akidah, soal kebenaran, ttg siapakah yg benar dalam bertuhankan Allah. Inilah yg menjadi pertikaian antara Muslim dan Kristian. Islam kata Allah Esa, Kristian pun kata mcm tu gak, tapi ada tiga (bodohkan diorang).

Sebab tu Selempang Merah, Allah mengutuskan Nabi utk menerangkan keesaan Allah, bukannya suruh pi halang depa drpd mengatakan "Allah itu Tuhan kami"!

Dalam surah al-Haj ayat 40, Allah melaknat org musyrik krn mengusir org Islam krn mengatakan "Tuhan kami ialah Allah". Apakah kamu dan gerombolan kamu hendak melakukan hal yg sama terhadap org Kristian yg pernah mempunyai hubungan baik dgn org Islam sewaktu zaman Nabi dulu? Mereka hanya mahu katakan Allah itu Tuhan mereka. Tak kira lah bagaimana akidah mereka, Allah tetap Tuhan mereka. Itu pun cukup baik mereka nk terima Allah sbg Tuhan mereka. Kamu (org Islam) pulak yg nk menghalang? Subhanallah. Dalam ayat yg sama, Allah melarang kita menyerang rumah ibadat termasuk gereja kerana nama Allah disebut di dalamnya. Tapi disebabkan oleh org yg berpahaman seperti kamu, habis gereja di PJ dan desa Melawati diserang dgn bom buatan sendiri. Tgk berita tak?

Saya sebenarnya malu nk berdebat dgn anda hanya disebabkan psl org kafir Kristian ni. Tp, di sini saya nk menegakkan hak yg benar. Seluruh manusia berhak mengatakan Allah itu Tuhan mereka. Tak kira bagaimana akidah mereka, itu kita boleh bawa bincang dgn mereka. kalau mereka serang umat Islam, kita wajib serang mereka. Tapi dalam kes ni, mereka nk berkongsi Tuhan dgn kita, wajarkah kita serang mereka? Saya sayangkan anda sbb anda saudara saya. Sbb tu saya nk buka minda anda.

Bayangkan Selempang Merah, kalau satu hari nanti, M'sia ditimpa bencana alam (nauzubillah), apakah anda redha mendengar najib berkata, "kpd rakyat m'sia, tak kira agama apa, berdoalah kpd TUHAN MASING-MASING supaya selamatkan M'sia"? Apakah anda redha? Klu anda redha, bererti anda mengaku ada banyak Tuhan. Lain agama lain Tuhan, begitu?

Bukankah lebih baik keadaannya kalau najib kata begini, "kpd rakyat malaysia, tak kira agama apa pun, BERDOALAH KPD ALLAH, TUHAN KITA SEMUA agar m'sia selamat". Bukankah ini lebih adil terhadap Allah? Fikirkanlah....

WAllahu a'lam

Avishmael berkata...

Saya ada 1 cadangan berkenaan isu ini demi 1Malaysia. Orang Kristian beriya-iya nk guna kalimah Allah dalam kitab mereka. Dalam masa yang sama, orang Islam membantah keras akan hal ini.

Demi perpaduan 1Malaysia, apa kata PM mewakili orang Melayu Islam membuat perjanjian terbuka dgn tokoh agama Kristian yg mewakili komuniti Kristian Malaysia. Bila saya kata "perjanjian terbuka", maksud saya buat live telecast lah.

Begini perjanjiannya. Kerajaan akan berlaku ihsan kpd orang Kristian dgn membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah dalam ajaran mereka. Sebagai tukar gantinya, kerajaan akan mengenakan HUKUMAN BERAT ke atas mana-mana pihak yg cuba menyebarkan Kristian kpd umat Islam di negara ini. Ini bermakna, segala risalah ataupun ajaran Kristian tidak akan diberi tempat dalam urusan arus perdana. Ajaran Kristian tidak boleh disebarkan secara terbuka oleh mana-mana saluran; tidak kira melalui para mubaligh, media massa atau media elektronik.

Segala aktiviti orang Kristian mestilah berpusat hanya di gereja dan dalam kejiranan majoriti penganut Kristian sahaja. Segala risalah ataupun maklumat mengenai Kristian hanya boleh didapati di gereja, tidak boleh dari tempat lain. Ini termasuklah majalah mingguan The Herald Tribune. Sesiapa yg nk access ajaran Kristian, gereja lah tempatnya.

Tiada satu pun ajaran Kristian yg keluar dari gereja, dan tiada satu pun umat Islam yg masuk ke gereja. Tiada lagi promosi perayaan Christmas secara terbuka di Malaysia. Tiada lagi pokok Christmas besar di lobi Suria KLCC. AGAMA KRISTIAN AKAN DIWARTAKAN SEBAGAI AGAMA TERPENCIL DI NEGARA INI DARI PERLIS HINGGA KE SABAH.

Dengan termeterainya perjanjian ini, dengan disaksikan oleh semua rakyat Malaysia secara langsung di tv, maka kedua-dua belah pihak beroleh kemenangan.

Orang Kristian menang dari segi memperoleh hak menggunakan kalimah Allah, agama Islam juga menang dari segi mempertahankan kesuciannya sebagai agama rasmi negara. Kalau dibawa ke mahkamah pun, orang Islam akan menang kerana isu Islam sbg agama rasmi negara memang termaktub dalam perlembagaan.

Amacam. Ok tak idea ni?