Islam Agama Keamanan



Member Bloger :

Selasa, 26 Januari 2010

Misteri Yakjuj & Makjuj :

Manusia Terpenjara Antara Dua Gunung
Ribuan Tahun Akan Muncul
Apabila Dunia Hampir Kiamat.
Tahukah anda bahawa disebalik pembangunan dan kemodenan di seluruh pelusuk dunia pada hari ini, masih terdapat satu kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri.
Disebalik pembinaan kota besar hasil kemajuan pembangunan dan kemodenan yang melanda hampir seluruh pelusuk dunia hari ini, masih ada kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri. Hingga kini, penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih belum menemui wilayah asing itu sekali gus menyebabkan kewujudan makhluk tersebut tidak dapat dikenal pasti oleh pengkaji atau manusia umumnya.
Bagaimanapun, kewujudan makhluk itu adalah benar lagi sahih dan suatu harti nanti, mereka akan muncul juga di hadapan manusia. Akan tetapi, ketika makhluk itu muncul, sudah terlambat untuk manusia berbuat apa-apa. Tiada lagi kajian mengenai sejarah kewujudan atau penyelidikan sains dilakukan terhadap makhluk itu seperti penemuan artifak atau spesis baru ketika ini kerana waktu munculnya makhluk yang dikenali Yakjuj dan Makjuj itu, dunia sudah terlalu hampir dengan kiamat!
Sejak dikurung ribuan tahun dahulu, kewujudan dan lokasi ‘pusat tahanan’ Yakjuj dan Makjuj masih menjadi misteri kepada kita sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, kewujudan dua makhluk itu adalah pasti, lantaran ia dinyatakan dalam al-Qur'an serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib diimani manusia khususnya umat Islam menerusi tanda besar berlakunya kiamat.
Hasil pembelajaran dan pembacaan ketika menuntut di universiti dahulu, Yakjuj dan Makjuj bukanlah berupa haiwan atau spesis lain sebaliknya ia adalah manusia yang berasal daripada keturunan Nabi Adam a.s. Berpandukan keterangan sebuah hadis, bangsa Yakjuj dan Makjuj berasal daripada keturunan anak lelaki Nabi Nuh a.s. iaitu Yafis yang berkembang melewati masa sehinggalah Zulkarnain membina tembok bagi menghalang mereka keluar daripada lokasi mereka.

Cerita mengenai sejarah Yakjuj dan Makjuj tertera di dalam al-Qur'an menerusi surah al-Kahfi, ayat ke 92 hingga 98.
Allah s.w.t. berfirman menerusi ayat surah al-Kahfi ayat 92 hingga ayat 98 yang bermaksud :

“ Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi) [92]. Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua-dua gunung itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan [93]. Mereka berkata: ‘Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?[94]

Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka [95]. Berilah aku potongan-potongan besi. Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain : ‘Tiuplah (api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti api), dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) akan aku tuangkan ke atas besi panas itu [96].

Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat melubanginya [97]. Zulkarnain berkata : Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar ” [98].


Manakala kebangkitan Yakjuj dan Makjuj telah dinyatakan dalam surah al-Anbiya’, ayat 96 dan 97 sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj ; dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi [96]. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang benar (kiamat) maka tiba-tiba terbelahlah mata orang kafir. (Mereka berkata) : Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim” [97].

Adapun selain daripada rujukan dua surah al-Quran di atas, terdapat banyak hadis yang kuat bagi menjelaskan Yakjuj dan Makjuj. Walau bagaimanapun, terdapat juga perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai ciri-ciri bangsa Yakjuj dan Makjuj yang tidak diterangkan secara terperinci berdasarkan nas-nas al-Qur'an atau Hadis.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, beliau menerangkan ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj yang antara lain bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia tengah. Pendapat lain menambah bahawa Yakjuj dan Makjuj berkemungkinan berasal daripada bangsa Tartar dan Mongul manakala lokasi tahanan mereka adalah kawasan pergunungan luas Caucasus.

Para ulama' juga cenderung dengan mengatakan Yakjuj dan Makjuj berasal dan dikurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran ayat ke 90 dari surah al-Khafi yang menyebutkan Zulkarnain sampai ‘di tempat terbit matahari’ iaitu timur dunia.

Kebanyakan ulama' ramai yang menyatakan bangsa Yakjuj dan Makjuj masih wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah s.w.t. menerusi tembuk yang dibina oleh Zulkarnain sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an. Namun, tugas bangsa Yakjuj dan Makjuj setiap hari sejak ribuan tahun lalu adalah mengorek tembok tersebut untuk keluar ke dunia manusia dari penjara yang telah dibina oleh Zulkarnain tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan benteng berkenaan sehinggalah hampir hari kiamat. Allah akan mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj dan Makjuj bebas ke dunia manusia apabila hampirnya kiamat dan peristiwa itu menjadi satu daripada 10 tanda besar kiamat. Terdapat juga riwayat yang menjelaskan bahawa selagi dunia ini masih dilaungkan azan, Yakjuj dan Makjuj tidak mampu keluar dari penjaranya sehinggalah dunia ini tiada lagi orang yang melaungkan azan.

Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh Nabi Isa a.s. dan bangsa itu akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada siapa yang mampu menewaskan bangsa Yakjuj dan Makjuj tersebut.

Sesungguhnya, ketika era zaman Nabi Isa a.s. setelah diturunkan ke bumi, Nabi Isa a.s. akan memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj. Baginda a.s. kemudian berdoa kepada Allah s.w.t. dan Allah membinasakan mereka dengan mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat itu daripada bumi.

Berdasarkan dalil kewujudan Yakjuj dan Makjuj, kita seharusnya yakin untuk mempertahankan akidah Islam dan tidak bertangguh memohon keampunan dan keredaan Allah s.w.t. kerana mereka yang masih lalai adalah golongan yang diterangkan dalam surah an-Anbiyaa’ di atas seperti firmanNya : “(Mereka berkata) : Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim”.

wALLAHu a'lam..




Tiada ulasan: